Semakin ramai dijangkiti semula Covid-19, lakukan 6 perkara ini bagi mengurangkan risikonya

MALAYSIA kini berada di tengah-tengah gelombang jangkitan varian Omicron dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjangkakan kes harian Covid-19 di negara ini akan mencecah 15,000 tidak lama lagi.

Tidak hanya kes baharu, penyebaran varian itu membuatkan ramai bekas pesakit turut dijangkiti semula dengan wabak itu. Terbaharu, penyanyi sensasi Nabila Razali memaklumkan dirinya dijangkiti Covid-19 buat kali kedua dan sedang berada dalam kuarantin.

Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) turut memaklumkan sedang giat melakukan kajian berkaitan perkara itu termasuk golongan berisiko yang terdedah kepada jangkitan berulang, tempoh, tahap keparahan dan risiko penularan daripada orang yang dijangkiti ke orang lain.

Sebenarnya seseorang boleh melindungi diri daripada jangkitan semula Covid-19 dengan menerapkan protokol kesihatan yang ketat dan mengambil langkah berjaga-jaga.

1. Vaksinasi lengkap dan booster

Setiap orang disarankan untuk segera mendapatkan vaksinasi dos lengkap dan booster. Kajian menunjukkan vaksinasi Covid-19 dapat mencegah penularan dan mengurangkan keparahan gejala wabak itu sekiranya dijangkiti.

2. Gunakan pelitup muka

Individu yang pernah dijangkiti Covid-19 perlu terus memakai pelitup muka untuk mencegah jangkitan semula. Gunakan pelitup muka jenis N95 dan KN95 yang lebih berkesan berbanding mask jenis lain.

1208605045

3. Jaga jarak

Sudah pernah dijangkiti Covid-19 bukan bererti seseorang boleh mengabaikan SOP menjaga jarak malah sebaik-baiknya tetap menjaga jarak dengan orang lain sekurang-kurangnya satu meter.

Berada terlalu dekat dengan orang lain yang tidak diketahui status mereka dapat meningkatkan risiko jangkitan berulang.

4. Hindari aktiviti berkumpul

Jika tiada hal yang penting, adalah lebih baik duduk di rumah. Sekiranya perlu keluar, jauhi berada dalam kelompok orang ramai yang berkumpul.

2019_06_03_73783_1559498805._large

5. Mencuci tangan

Semakin ramai mula mengabaikan rutin mencuci tangan menggunakan sabun. Ini kerana virus itu dapat melekat di tangan dan masuk ke dalam tubuh tanpa disedari.

Penggunaan pencuci tangan juga sangat membantu bagi memastikan tangan sentiasa bersih dan paling penting dapat mengurangkan risiko jangkitan semula.

6. Menjaga daya ketahanan tubuh

Tahap daya ketahanan tubuh yang lemah dapat meningkatkan risiko jangkitan berulang. Oleh sebab itu pastikan menjaga ketahanan tubuh anda dengan pemakanan seimbang, tidur yang cukup, mengawal tekanan dan bersenam.

kredit artikel : mstar.com

Speak Your Mind

*