Archives for February 2021

[Bahagian 1] Guru Perlu Kreatif Mentaksir Pelajar Dalam Norma Baharu

Pic source: https://onlinelearningconsortium.org/assessing-across-modalities-strengthening-the-intentionality-of-curricular-design/

Malaysia berhadapan situasi gelombang ketiga pandemik COVID-19 bermula bulan Oktober 2020. Pada awal bulan Oktober, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan Malaysia dilanda gelombang ketiga pandemik ini setelah negara mencatatkan angka tiga digit kes baharu. Sehubungan itu, sistem pendidikan kebangsaan sekali lagi terkesan berikutan analisis data kes positif, kontak rapat dan kuarantin dalam kalangan pelajar, guru serta warga sekolah yang semakin meningkat. Sehubungan itu, sekolah di seluruh negara terpaksa ditutup buat kali kedua. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil beberapa inisiatif awal. Pertama, KPM telah mengedarkan surat pekeliling ikhtisas, surat siaran, surat pemakluman dan garis panduan KPM yang berkaitan. Kedua, KPM menyediakan Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Inisiatif KPM ini bertepatan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menetapkan setiap pelajar perlu mendapat akses kepada pendidikan untuk mencapai potensi diri bagi menghadapi kehidupan masa hadapan. Oleh itu, pelajar berhak mendapat peluang mengikuti pendidikan walaupun mereka tidak dapat hadir ke sekolah. Sehubungan dengan itu, sistem pendidikan negara perlu mewujudkan satu mekanisme baru dalam kaedah pentaksiran PdPR apabila sekolah terpaksa dibuat buat kali kedua ketika gelombang ketiga pandemik COVID-19 melanda Malaysia. Guru bukan sahaja perlu merancang dan mengaplikasikan pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara berkualiti melalui pembelajaran di rumah malah pada masa yang sama guru perlu meneroka dan merancang pentaksiran alternatif untuk menggantikan peperiksaan dan ujian bertulis secara bersemuka supaya pentaksiran secara formatif dan sumatif dapat terus dilaksanakan kepada pelajar. Bertepatan dengan itu, pentaksiran alternatif dapat memastikan kesinambungan pembelajaran berkualiti sepanjang pelajar melalui home-based learning. Pelaksanaan pentaksiran alternatif membolehkan guru memantau perkembangan pembelajaran pelajar, menjalankan pentaksiran dan memperbaiki mutu pembelajaran pelajarnya semasa pandemik COVID-19.

Terdapat keperluan bagi guru untuk menggabungkan kaedah penilaian alternatif dalam PdP supaya guru boleh menilai kebolehan pelajar dengan berkesan. Definisi pentaksiran alternatif merujuk kepada pelbagai aktiviti selain peperiksaan untuk menilai penguasaan dan mengesan perkembangan pembelajaran pelajar. Pentaksiran ini selaras dengan kaedah Pembelajaran Abad ke-21 yang berteraskan elemen kolaborasi, kreativiti, komunikasi, pemikiran kritikal dan nilai. Pentaksiran alternatif seiring dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang berfokus kepada perkembangan dan kemenjadian pelajar secara holistik. Oleh itu, guru yang melaksanaan PdPR ketika pandemik COVID-19 boleh menggantikan kaedah pentaksiran konvensional dengan pentaksiran alternatif.

Bersambung…

[Bahagian Akhir] COVID-19 Dan Pemikiran Statistik Pelajar

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-covid-19-dan-pemikiran-statistik-pelajar/

Pic source: https://www.tarastats.com/courses-and-workshops/statistical-thinking-for-scholars-and-educators/

Berdasarkan literatur, terdapat sepuluh prinsip pengajaran dan pembelajaran statistik. Prinsip yang pertama adalah para pelajar seharusnya belajar dengan membina pengetahuan. Pelajar belajar statistik dengan membina pengetahuan, bukannya melalui penyerapan maklumat secara pasif. Prinsip yang kedua pula adalah pelajar belajar melalui penglibatan aktif dalam aktiviti pembelajaran statistik. Hal ini bermaksud, pelajar akan belajar dengan lebih baik sekiranya mereka bekerja secara berkumpulan dalam kumpulan kecil bagi menyelesaikan permasalahan dan belajar untuk meyakinkan pendekatan mereka. Prinsip yang ketiga adalah pelajar akan belajar statistik untuk menghasilkan output yang terbaik berdasarkan latihan yang dilakukan. Latihan yang dimaksudkan adalah sama ada dalam bentuk hands-on aktiviti, aktiviti berkumpulan atau dengan menggunakan teknologi. Pelajar juga dapat belajar dengan lebih baik sekiranya mereka mempunyai pengalaman menggunakan idea dalam situasi yang baru. Prinsip keempat menetapkan guru seharusnya memandang serius tentang kesukaran pelajar dalam memahami konsep asas dalam statistik dan kebarangkalian. Banyak kajian yang telah dijalankan menunjukkan pelajar menghadapi kesukaran dalam mempelajari topik statistik dan kebarangkalian serta mereka sering menghadapi kesulitan dalam memahami konsep data dan perubahan. Prinsip kelima ialah guru seharusnya tidak meletakkan jangkaan yang melebihi keupayaan pelajar dalam menilai kefahaman pelajar berkenaan konsep asas statistik. Hal ini kerana, walaupun pelajar dapat menyelesaikan beberapa permasalahan dengan tepat, pelajar masih menghadapi kesulitan dan kesalahfahaman dalam konsep asas statistik. Sehubungan itu, asas statistik perlu diperkukuhkan terlebih dahulu dalam diri pelajar. Prinsip keenam ialah pembelajaran perlu diperkayakan dengan kaedah yang mendatangkan kesedaran terhadap tentang kesilapan konsep serta cuba untuk membaikinya. Pelajar akan belajar dengan lebih baik melalui aktiviti yang merangsang mereka untuk membezakan pemahaman mereka mengenai konsep data dan perubahan.

Seterusnya, kalkulator dan komputer perlu digunakan untuk membantu pelajar dalam menggambarkan dan meneroka data.  Pelajar dapat mempelajari statistik dengan lebih mudah dengan bantuan teknologi seperti komputer dan kalkulator. Hal ini kerana, terdapat banyak perisian statistik yang dapat membantu pelajar untuk memahami serta melihat konsep-konsep dan teori statistik dengan lebih jelas seperti SPSS, MINITAB dan DataDesk. Perisian ini juga bersifat interaktif yang dapat menarik minat pelajar untuk mempelajari statistik. Prinsip kelapan pula adalah pelajar akan belajar dengan lebih baik sekiranya menerima bantuan dan maklum balas tentang pencapaian mereka secara konsisten. Penilaian terhadap aktiviti mahupun projek statistik pelajar boleh digunakan sebagai salah satu cara untuk memberi maklum balas kepada pelajar semasa mereka menyelesaikan permasalahan dalam pembelajaran. Penilaian tersebut bukan sekadar penilaian akhir yang kebiasaannya dilakukan pada akhir pembelajaran. Prinsip yang kesembilan pula adalah pelajar perlu belajar untuk menilai pengetahuan statistik yang mereka pelajari. Hal ini berkaitan dengan penilaian yang akan dijalankan oleh guru kepada mereka.  Prinsip yang terakhir dalam pembelajaran statistik adalah penggunaan kaedah yang dicadangkan dalam pengajaran perlu dipelbagaikan untuk mengelakkan pelajar menghadapi miskonsepsi dalam statistik.

Tamat