Kemenangan Dalam Anugerah Webometrik Kategori Individu Sempena Citra Karisma 2019

Maaf, saya masih belum boleh move on lagi. Bukan apa, saya tengok Majlis Citra Karisma (Majlis Anugerah Kecemerlangan Staf UTM) melalui Facebook UTM secara live sahaja. Apabila nama abam diumumkan sebagai pemenang Anugerah Webometrik kategori individu, boleh bayangkan tak perasaan saya yang berada di bumi Korea Selatan ini. Rasa macam nak guna pintu Doraemon sahaja terus sampai UTM dan naik pentas. Bagi saya, kejayaan ini merupakan satu kisah tentang usaha dan jangan putus asa. Saya memang suka menulis. Selain menulis di makalah-makalah bersifat akademik, saya turut jadikan blog di pautan people.utm.my/halim sebagai platform untuk saya menulis. Kebetulan UTM ada menyediakan anugerah webometrik sempena majlis Citra Karisma setiap tahun, dan saya sebenarnya telah mencalonkan diri sendiri sejak tahun 2016 lagi. Namun masih belum ada rezeki. Alhamdulillah, rezeki saya pada tahun ini walaupun idak dapat bersama meraikannya kerana saya masih berada di Korea. Kejayaan ini pastinya akan menjadi motivasi untuk saya terus menulis di blog berkenaan. Terima kasih semua atas doa dan ucapan.

 

 

 

[Bahagian 1] Catatan di Gwangju: Bandaraya di Barat Daya Korea Selatan Dengan Keunikan Tersendiri

Gwangju, sebuah bandaraya yang tidak sepopular Seoul, Busan mahupun Jeju di Korea Selatan. Tetapi ia tetap mempunyai keunikannya yang tersendiri. Gwangju yang kadang kala disalah tafsir sebagai Guangzhou di China (yang juga disebut sebagai Gwangju dalam bahasa mandarin) merupakan bandaraya ke-enam terbesar di Korea Selatan. Gwangju adalah sebuah bandaraya yang terletak di bahagian barat daya Korea Selatan. Ia terkenal dengan pemberontakan pro-demokrasi pada tahun 1980. Nama Gwangju terdiri daripada perkataan “Gwang” yang bermaksud “cahaya” dan “Ju” bererti “provinsi”. Barangkali nama ini diberikan disebabkan bandaraya ini yang sering diterangi cahaya matahari sepanjang tahun walaupun mengalami empat musim. Saya menjalani fellowship selama enam bulan di salah sebuah universiti terkemuka di bandaraya tersebut. Bak kata orang, sambil menyelam minum air. Saya menitip sedikit catatan pengembaraan saya ketika mula-mula menjejakkan kaki ke bandaraya ini. Terdapat beberapa cara untuk ke Gwangju dari ibu kota Korea Selatan iaitu Seoul. Cara pertama ialah melalui penerbangan domestik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo. Lapangan terbang ini merupakan lapangan terbang kedua di Seoul (selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon) yang menjadi hub penerbangan domestik dan penerbangan antarabangsa jarak dekat yang menghubungkan Seoul. Penerbangan domestik ke Gwangju mengambil masa lebih kurang satu jam. Sekiranya menaiki bas, perjalanan memakan masa selama tiga jam setengah. Saya mengambil keputusan untuk menaiki keretapi laju (KTX) yang mengambil masa selama dua jam dari Stesyen Seoul. Perjalanan saya menaiki keretapi sangat lancar dan perkara yang membuatkan saya berasa kagum ialah masa bertolak dan tiba di destinasi tepat pada waktu sebagaimana yang tercatat pada tiket. Pada hujung minggu pertama saya berada di Gwangju, saya berkesempatan berkunjung ke Asia Culture Center (ACC). Asia Culture Center (ACC) merupakan sebuah pusat di mana terdapatnya kemudahan bertemakan pelbagai budaya Asia. Ini termasuklah termasuk aspek kreativiti, pameran, dan persembahan. Ia mengandungi beberapa bahagian iaitu bahagian Pertukaran Budaya ACC, bahagian Teater ACC, bahagian Rekacipta ACC, bahagian Arkib & Penyelidikan ACC, bahagian Kanak-kanak ACC dan pelbagai kemudahan kebudayaan lain yang mempamerkan budaya dan pengalaman budaya Asia yang unik. ACC memainkan peranan sebagai platform setempat bagi para peserta dari Asia dan seluruh dunia untuk berkumpul dan bertukar idea mereka melangkaui sempadan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti penyelidikan, penciptaan dan sebagainya. Saya sempat meluangkan masa di bahagian penyelidikan di mana terletaknya bahan-bahan rujukan. Walau bagaimanapun, saya tidak dibenarkan membawa sebarang barangan hatta pasport sekalipun yang mana bahan-bahan peribadi perlu diletakkan di rak berkunci yang telah disediakan. Layanan pekerja-pekerja di situ juga amat baik dan mereka mahir berbahasa inggeris. Di salah satu sudut pusat tersebut turut disediakan kedai cenderamata buat pengunjung yang ingin membeli ole-ole sebagai tanda kenangan berkunjung ke pusat berkenaan.

Bersambung…

 

Saya di bandaraya Gwangju

Saya menjalani fellowship di Chonnam National University

 

Anugerah Sempena Majlis Anugerah dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK)

Salam semua

Hari ini, 1 Julai 2019 bersamaan 28 Syawal 1440H, telah berlangsungnya Majlis Anugerah dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK). Alhamdulillah, sempena majlis tersebut, saya telah diberikan anugerah berikut:

  1. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat FSSK
  2. Anugerah Penerbitan
  3. Anugerah Penjenamaan-Webometrik

Alhamdulillah, sesungguhnya anugerah-anugerah ini merupakan bonus kepada saya sebagai ahli akademik. Paling utama dan paling penting ialah kita bekerja kerana Allah s.w.t, sebagaimana motto Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu Kerana Tuhan Untuk Manusia.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat FSSK

 

Anugerah Penerbitan peringkat FSSK

 

Anugerah Penjenamaan (Webometrik) peringkat FSSK

 

Lawatan Singkat di Damyang, Gwangju

Baru-baru ini host profesor saya telah mengajak saya untuk mengunjungi hutan buluh yang dikenali sebagai Juknokwon di Damyang. Pekan Damyang terletak tidak jauh dari kampus Chonnam National University (CNU). Masa yang diambil untuk ke sana dari CNU ialah kira-kira 20 minit dengan menaiki kereta. Gunung Seonginsan di belakang Damyang Hyanggyo telah diubah menjadi Juknokwon Bamboo Garden yang mempunyai air terjun buatan indah, pavilion, laluan pejalan kaki dan pusat eko-pameran yang menjadi destinasi popular untuk pelawat. Ia mengambil masa kira-kira sejam untuk melawat seluruh taman dan menikmati kawasan hutan buluh berkenaan. Angin segar dan mendamaikan yang bertiup melalui buluh dapat merehatkan minda. Juknokwon mempunyai laluan sejauh 2.4 kilometer. Dari permulaan di balai cerap, laluan ini dibahagikan kepada lapan jalan dengan pelbagai tema, mulai dari Lovers’ Road hinggalah ke Old Memory Bypath. Saya dapat melihat patung panda di hutan buluh berkenaan. Saya turut singgah di Dewan Pameran yang mempamerkan pelbagai maklumat yang menarik dan dinamik.

Bersama host profesor saya, Profesor Bomi Shin

 

Juknokwon di Damyang

Bersama Chen dan Minji, pelajar postgrad program pendidikan matematik yang turut serta dalam lawatan singkat ini 🙂

Juknokwon di Damyang

Kegemilangan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia Dalam QS World University Rankings 2020

Baru-baru ini, QS World University Rankings 2020 telah diumumkan. Ia merupakan satu penilaian tahunan yang memberi pengiktirafan pada universiti-universiti terbaik di seluruh dunia. Berbanding tahun-tahun sebelum ini, ranking 2020 ini dilihat terbaik buat institusi pendidikan tinggi di Malaysia. Berdasarkan laporan ranking 2020 tersebut, sebanyak 20 buah universiti Malaysia berjaya disenaraikan antara 1000 universiti terbaik di dunia, berbanding 13 universiti Malaysia yang berada dalam senarai 1000 universiti terbaik pada tahun 2019. Bilangan ini merupakan yang tertinggi berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya, iaitu hanya lapan universiti tersenarai dalam ranking 2016, dan sembilan universiti dalam ranking 2017 dan 2018. Universiti Malaya (UM) merupakan universiti terbaik di negara kita ketika ini apabila terus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok 100 universiti terbaik di dunia dengan berada di kedudukan 70, meningkat dari kedudukan ke-87 tahun lalu. Ini turut menjadikan Universiti Malaya berada di kedudukan ke-18 terbaik di Asia. Dengan kedudukan ini, UM berjaya mengatasi banyak universiti ternama yang lain di Asia seperti Korea University dan Yonsei University di Korea Selatan dan Osaka University di Jepun. Manakala di peringkat dunia, UM berjaya mengatasi University of Birmingham, University of Nottingham dan Durham University di United Kingdom, Boston University dan The Ohio State University di Amerika Syarikat, University of Zurich dan University of Geneva di Switzerland, KU Leuven di Belgium, The University of Auckland di New Zealand dan banyak lagi. Empat universiti penyelidikan yang lain terus mengukuhkan kedudukan sebagai lima universiti terbaik di Malaysia dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) di kedudukan ke-159 berbanding kedudukan 202 pada tahun lalu, diikuti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kedudukan ke-160 berbanding kedudukan 184, Universiti Sains Malaysia (USM) di kedudukan ke-165 berbanding 207 pada tahun lalu dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan ke-217 berbanding 228 pada tahun lalu.

Sumber: Jabatan Pendidikan Tinggi

Artikel Dalam South African Journal of Education

Alhamdulillah. Akhirnya terbit jua. Artikel kami di South African Journal of Education. Diindeks ISI (Q4) dengan IF: 0.74 dan juga Scopus. Alhamdulillah. Feel free to read as it is an open access journal via the following link

http://www.sajournalofeducation.co.za/index.php/saje/article/view/1552/867

Source: http://www.sajournalofeducation.co.za/index.php/saje

Source: http://www.sajournalofeducation.co.za/index.php/saje/article/view/1552/867

Senarai Penerbit Yang Berdaftar Dengan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM)

Senarai Penerbit Yang Berdaftar Dengan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM)

 NO. PENERBIT Laman Sesawang
1. PENERBIT UNIVERSITI MALAYA (UM) http://umpress.um.edu.my/
2. PENERBIT UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM) http://www.penerbit.usm.my/
3. PENERBIT UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM) http://ukmpress.ukm.my/
4. PENERBIT UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (UPM) http://www.penerbit.upm.edu.my/?L=en
5. PENERBIT UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UTM) http://www.penerbit.utm.my/
6. PENERBIT UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM) http://www.iium.edu.my/office/iiumpress
7. PENERBIT UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM) http://uumpress.uum.edu.my/
8. PENERBIT UNIVERSITI MALAYSIA SARAWAK (UNIMAS) http://www.publisher.unimas.my/
9. PENERBIT UNIVERSITI MALAYSIA SABAH (UMS) https://www.ums.edu.my/penerbitv2/
10. PENERBIT UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI) http://penerbit.upsi.edu.my/
11. PENERBIT UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM) http://penerbit.usim.edu.my/en/
12. PENERBIT UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA (UiTM) http://penerbit.uitm.edu.my/wppress/
13. PENERBIT UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU (UMT) http://penerbit.umt.edu.my/
14. PENERBIT UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA (UTHM) http://penerbit.uthm.edu.my/v3/
15. PENERBIT UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG (UMP)
16. PENERBIT UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS (UniMAP) https://penerbit.unimap.edu.my/
17. PENERBIT UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN (UniSZA)
18. PENERBIT UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN (UMK) http://press.umk.edu.my/press/
19. PENERBIT UNIVERSITI PERTAHANAN NASIONAL MALAYSIA (UPNM) http://www.upnm.edu.my/index.php?req=d43
20. PENERBIT UNIVERSITI TEKNIKAL MALAYSIA MELAKA (UTeM) http://penerbit.utem.edu.my/index.php?lang=en
21. INSTITUT TADBIRAN AWAM NEGARA (INTAN) http://www.intanbk.intan.my/iportal/index.php/en/47-penerbitan
22. INSTITUT TERJEMAHAN & BUKU MALAYSIA (ITBM) http://itbm.com.my/
23. DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) http://prpm.dbp.gov.my/
24. INSTITUT AMINUDDIN BAKI (IAB) http://iab.moe.edu.my/index.php/ms/peranan-iab
25. INSTITUT PENYELIDIKAN DAN KEMAJUAN PERTANIAN MALAYSIA (MARDI) https://www.mardi.gov.my/
26. INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM) http://www.ikim.gov.my/index.php/unit-penerbit-ikim/
27. LEMBAGA MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOB) http://www.mpob.gov.my/ms/penerbitan/penerbitan-cetakan
28. PENERBIT UNIVERSITI ISLAM MALAYSIA
29. PENERBIT KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR http://www.kuis.edu.my/v4/
30. PENERBIT INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA http://integriti.my/
31. PENERBIT KOLEJ UNIVERSITI ISLAM MELAKA https://kuim.edu.my/penerbitan/

 

Sumber: MAPIM (Kemaskini sehingga 25 Jan 2018)

Senarai Conference Dalam Bidang Pendidikan Anjuran IEEE Education Society

Salam semua

Di sini saya kongsikan senarai persidangan antarabangsa anjuran IEEE Education Society (prosiding terindeks Scopus)

International Conference on Engineering, Technology and Education 2019 (TALE 2019)

2019 IEEE 11th International Conference on Engineering Education (ICEED)

EDUCON2020 – IEEE Global Engineering Education Conference

Learning with MOOCS 2019

The 49th Annual Frontiers in Education (FIE)

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak memberi manfaat dan maklumat kepada anda semua. Selamat mencuba dan selamat bersidang!

 

Salam Aidilfitri 2019

Bunga kebangsaan si bunga raya,
Buat hiasan si gadis jelita,
Salam aidilfitri buat semua,
Semoga berbahagia di hari mulia.

Hidup aman yang kita kecapi,
Hasil bersatu pada hari ini,
Jari sepuluh disusun rapi,
Salah dan silap harap dimaafi.

[Bahagian Akhir] Kenangan Terindah di Dua Buah Kota Terkenal Pulau Sumatera: Banda Aceh dan Padang

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-kenangan-terindah-di-dua-buah-kota-terkenal-pulau-sumatera-banda-aceh-dan-padang/

Setelah meluangkan tiga hari dua malam di Banda Aceh, saya terbang ke Padang yang terletak di sebelah barat pulau Sumatera. Disebabkan tiada penerbangan terus dari Banda Aceh ke Padang, saya mengambil penerbangan ke sana melalui Medan. Sebagaimana di Banda Aceh, usai menyampaikan ceramah di sebuah persidangan antarabangsa di sana, saya dibawa berjalan-jalan ke tempat-tempat yang menjadi kemestian untuk dilawati kepada pelancong. Destinasi pertama saya di kota Padang ialah Masjid Agung Sumatera Barat yang merupakan masjid terbesar di Sumatera Barat, dan masjid kedua terbesar di Kepulauan Sumatera. Ia terletak di daerah Padang Utara. Pertama kali saya melihat masjid ini, hati terus terpegun dan teruja dengan keunikan seni binanya yang sangat berbeza dengan senibina-senibina masjid yang biasa kita lihat. Keunikan senibina masjid ini terletak pada bentuk bumbungnya iaitu refleksi kepada bumbung tradisional rumah-rumah vernakular Minangkabau. Selain itu, bentangan atapnya dikatakan menggambarkan bentuk bentangan kain yang digunakan untuk mengusung batu Hajar Aswad ketika berlakunya insiden perselisihan faham antara empat kabilah suku Quraisy di Mekah untuk memindahkan batu tersebut. Masjid tersebut terdiri daripada tiga tingkat dan dewan solat utama terletak di tingkat dua. Masjid ini mampu menampung 20,000 orang pada satu-satu masa. Malah saya difahamkan bahawa Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) juga pernah mengerjakan solat sunat Aidilfitri di masjid ini pada tahun 2016. Selepas meluangkan masa selama kira-kira setengah jam di masjid tersebut, saya dibawa mencuba ais durian yang sangat terkenal dalam kalangan pelancong asing dan tempatan. Ais durian ini mengandungi tiga lapisan iaitu lapisan pertama dan yang paling bawah adalah isi durian tanpa biji yang dikisar hingga lembut, kemudian disiram jus durian dan sedikit susu cair manis. Rasanya amat sedap dan menyegarkan apatah lagi cuaca ketika itu agak terik. Usai menikmati ais durian yang sangat lazat, perjalanan diteruskan ke Gunung Padang yang merupakan sebuah bukit kecil dengan ketinggian puncak kira-kira 80 meter di atas paras laut. Masyarakat setempat menamakannya Gunung Padang kerana bukit ini dikatakan sebagai tempat paling tinggi di sekitar pusat bandar Padang. Dari lereng gunung Padang ini, saya dapat menyaksikan pemandangan Lautan India dan pulau Pisang Besar di Pantai Air Manis. Selain dapat menikmati panorama indah lautan luas yang membiru, gunung Padang ini juga terkenal dengan kisah sejarah pendudukan Jepun suatu masa dahulu. Selepas menikmati keindahan lautan dari lereng Gunung Padang, saya meminta untuk berhenti sebentar di Jambatan Siti Nurbaya yang juga merupakan ikon Kota Padang. Jambatan ini menghubungkan kawasan Kota Tua Padang di Berok Nipah dengan kaki Gunung Padang. Jambatan ini mengisahkan tentang cinta antara sepasang remaja, Samsulbahri dan Siti Nurbaya, yang ingin hidup bersama tetapi tidak kesampaian apabila Samsulbahri dipaksa pergi ke Batavia. Tidak lama selepas itu, Nurbaya merelakan dirinya untuk berkahwin dengan Datuk Meringgih yang kaya sebagai cara untuk melangsaikan hutang ayahnya. Dia kemudian dibunuh oleh Meringgih yang memberikannya lemang beracun. Kisah ini berakhir dengan Samsulbahri, yang ketika itu merupakan anggota tentera kolonial Belanda, membunuh Datuk Meringgih. Kisah ini ibarat kisah Romeo dan Juliet versi masyarakat tempatan di situ. Makam Siti Nurbaya dikatakan berada di puncak gunung Padang. Semasa saya tiba di jambatan tersebut, kelihatan para peniaga sedang membuat persiapan untuk menjual pelbagai makanan di tepi sepanjang jambatan berkenaan. Antaranya jagung bakar, air kelapa muda dan banyak lagi. Saya melihat keindahan lereng Gunung Padang yang menghijau dan menjadi penempatan penduduk tempatan sebelum dibawa pulang ke tempat penginapan.

Hampir seminggu meluangkan masa bukan sahaja sebagai penceramah akademik, tetapi juga sebagai pelancong di Banda Aceh dan Padang memberikan kenangan manis kepada saya yang pertama kali berkunjung ke dua buah kota terkenal di Pulau Sumatera tersebut.

Masjid Agung Sumatera Barat

Masjid Agung Sumatera Barat

Pemandangan dari Gunung Padang

Warung di lereng Gunung Padang

Pemandangan dari Jambatan Siti Nurbaya

Tamat