Generasi baharu akan tersasar jika akidah tidak dijaga! 4 panduan ini dapat membantu

Generasi muda mempunyai peranan penting namun mereka harus mengutamakan akidah untuk berjaya. Gambar hiasan.
ASSALAMMUALAIKUM para pembaca semoga kita semua dirahmati Allah. Menerusi artikel ini,  kita akan kongsikan kisah dalam al-Quran menunjukkan bagaimana sepatutnya generasi muda atau belia memainkan peranan seperti dikehendaki dalam Islam.

Sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke 62, golongan muda atau belia seharusnya memperkukuhkan jati diri dalam usaha menentukan hala tuju negara dan ia seharusnya berpandukan kepada ajaran Islam dan al-Quran sebagai panduannya.

Kisah mengenai golongan belia turut diceritakan dalam al-Quran seperti berikut:

Dalam surah al-Kahfi ayat 13, Allah menceritakan tentang pemuda Al-Kahfi  bagaimana mereka terpaksa menyembunyikan diri mereka ke dalam gua Al-Kahfi kerana nak menyelamatkan akidah dari dipaksa oleh Raja Diqyanus yang menyembah berhala dan akan membunuh sesiapa sahaja yang tidak menyembah berhala.

Tetapi pemuda Al-Kahfi ini tetap beriman kepada Allah sahaja dan tidak menyembah selain dari Allah walaupun mereka tahu mereka akan dibunuh jika mengengkari perintah raja.

Akhirnya Allah selamatkan mereka dengan menidurkan mereka di dalam gua Al-Kahfi selama 309 tahun.

Dalam surah Yusuf pula bagaimana Allah menceritakan tentang Nabi Yusuf AS yang ditawarkan dengan syahwat, kenikmatan seksualiti tetapi baginda menolaknya dan akhirnya memilih untuk dipenjarakan daripada melakukan perzinaan dengan isteri raja.

Jika seseorang itu menjadikan al-Quran sebagai panduan, insyaAllah mereka akan berjaya. Gambar hiasan.

Menerusi surah Assaffat ayat 102, diceritakan tentang nabi Ibrahim dan nabi Ismail AS di mana Allah mengujinya supaya menyembelih anaknya sendiri nabi Ismail AS.

Apa kata anak muda nabi Ismail AS; “Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari kalangan orang-orang yang sabar.” Begitu taat seorang anak muda dengan perintah Allah sebagai ujian dan Allah menggantikan nabi Ismail AS dengan kibas sebagai sembelihan.

Pada masa Islam mula disebarkan dalam kalangan orang Arab oleh baginda Nabi SAW maka kaum pemudalah yang awal dan paling ramai menerima ajaran Islam seperti Abu Bakar RA ketika berumur 38 tahun, saidina Umar RA berusia 28 tahun, saidina Ali RA berumur kurang 10 tahun dan sahabat lain yang umurnya antara 12 hingga 15 tahun.

Apa peranan generasi muda? Mengikut Dr Yusuf Qardhawi, bekas Ketua Ulama Dunia, generasi muda mempunyai empat kewajipan iaitu:

Wajib memahami Islam secara sahih

Mereka hendaklah mempelajari ilmu agama Islam terutama fardu ain terlebih dahulu sebelum mempelajari ilmu fardu kifayah yang lain.

Akidah hendaklah diteguhkan dahulu sebab tu nabi SAW berdakwah di Mekah selama 13 tahun untuk menguatkan akidah asas umat Islam. Ayat-ayat al-Quran yang diwahyukan kebanyakkannya berkisar tentang akidah seperti dalam rukun iman.

Apabila akidahnya kuat dan teguh baharulah mereka mampu melaksanakan amalan-amalan lain dan mampu mengharungi cabaran yang amat dahsyat. Tambahan lagi cabaran kita di akhir zaman ini amat dahsyat sekali dengan hiburan yang melampaui batasan, pergaulan tanpa batasan, soal halal haram, pemikiran yang rosak dengan ideologi baru seperti liberal dan syiah, pendidikan yang jauh terpisah dari agama Islam dan sebagainya.

Perlu beramal dengan Islam

Maksudnya menjadikan Islam sebagai cara hidup. Hidup dalam batasan yang Allah telah gariskan tentang halal, haram, makruh, sunat dan harus.

Tetapi kalau kita tengok realiti generasi muda, contohnya dalam laporan daripada Jabatan Pendaftaran Negara, lebih 532,158 kelahiran anak luar nikah yang didaftarkan dari 2005 hingga 2015 dengan 536 kes pembuangan bayi.

Pada tahun 2017, hampir 5,000 bayi dilahirkan oleh remaja yang berumur bawah 18 tahun dan 120 kes pembuangan bayi.

Ia tidak lagi termasuk jumlah pasangan yang melakukan zina tetapi si wanita tidak hamil dengan melakukan pelbagai cara selain ada juga menggugurkan anak.

Satu kajian pada 2016 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara yang bertajuk “Faktor Risiko dan Perlindungan Yang Mempengaruhi Kelakuan Seksual Remaja di Sabah dan Sarawak” mendapati pendedahan kepada bahan lucah meningkatkan risiko remaja terlibat dalam kegiatan seksual yang tidak sah.

Sejumlah 22 peratus pelajar aktif seksual memberitahu mereka dipengaruhi kerana menonton pornografi.

Terbaharu dalam minggu ni saya terbaca dalam akhbar mengenai murid tahun 5 merogol kakak sepupu yang berumur 12 tahun.

Dalam laporan itu pelajar terbabit mendakwa sudah empat kali mengulangi perbuatan itu kerana terpengaruh dengan pornografi melalui telefon bimbit.

MasyaAllah! Saya berpendapat ini bukan kes rogol sebab sudah empat kali diulangi benda yang sama tidak timbul soal paksaan sebaliknya ia sama-sama suka.

Di mana silapnya? Apa yang kita hidangkan untuk generasi muda kita? Salah siapa? Siapa yang patut bertanggungjawab? Sehingga apabila kita sekadar lihat tanpa berbuat apa-apa? Fikirkanlah!

Wajib melaksanakan dakwah kepada Islam

Maksudnya mereka hendaklah mengajak kepada Islam agama yang benar dan sempurna.

Mengamalkan Islam tidak cukup dengan amalan untuk diri sendiri sahaja bahkan hendaklah kebaikan itu disebarkan kepada manusia lain supaya orang lain turut sama mendapat kebaikan  atau yang kita sebut sebagai rahmat.

Dalam surah al-Asr, Allah mensyaratkan kejayaan manusia dari kerugian agar berpesan kepada orang lain dengan kebenaran dan menerima pesanan daripadanya.

Dalam surah Luqman ayat 17 pula bermaksud; Bagaiamana Luqman al-Hakim berpesan kepada anaknya; Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu.

Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”

Mengikat hubungan berdasarkan Islam

Sesungguhnya generasi muda yang mempersiapkan diri mereka untuk memahami Islam dengan kefahaman yang sahih, mengimaninya dengan iman yang benar dan mendalam, berpesan-pesan dengannya dan menyeru kepadanya, sepatutnya mereka saling tolong-menolong di antara mereka dan mengikat tali perhubungan di kalangan mereka.

Maka tidak ada sesuatu amalan dalam Islam dalam bentuk perseorangan, amalan persendirian tidak mencukupi.

Ia mesti dilakukan dengan cara berjemaah, berpersatuan, kelompok kumpulan sebahagian kita dengan sebahagian yang lain sebagai ikatan persaudaraan.

Perlu ada sifat berkasih sayang kerana Allah, saling menziarahi kerana Allah, berkumpul kerana Allah, berkorban dan saling memahami dan memberi pemahaman dalam masalah yang dikongsi bersama, melakukan solat berjamaah, menyuruh kebaikan bersama, mencegah kemungkaran bersama dan sebagainya.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita walau siapa pun kita sama ada sebagai ibu bapa, guru, jiran, pentadbir dan selainnya untuk mendidik anak-anak dan masyarakat kita supaya memenuhi tanggungjawab mereka sebagai genarasi muda yang akan menerajui negara pada masa akan datang.

Bagaimana akan jadi kepada negara kita akan datang, lihat generasi muda sekarang. Wallahua’lam.