Archives for February 12, 2020

Koronavirus ‘takut’ air, orang ramai digalak kerap mandi, makan kangkung

Noordin menggalakkan orang ramai supaya makan sayur hijau terutamanya kangkung.
RAKYAT perlu bertenang dan menekankan aspek penjagaan diri sebagai langkah pencegahan meskipun penularan wabak koronavirus semakin membimbangkan di seluruh dunia.Malah, Doktor Kesihatan Profesional (MBBS), Dr Noordin Darus turut menggesa orang ramai supaya tidak panik kerana sifat itu akan mempengaruhi dan menurunkan imuniti badan.

“Apa yang menyebabkan kita kena mudah kena jangkitan sesuatu virus atau penyakit adalah bergantung kepada imuniti tubuh kita. Perkara ini mudah, kita cuma perlu jaga diri.

“Koronavirus ini terkenal dengan sifatnya yang takut air jadi untuk jaga diri kena kerap mandi, jaga pemakanan dan hadkan pergerakan ketika ini,” katanya.

Jelas Noordin lagi, sesiapa yang terkena jangkitan virus baharu itu dinasihatkan supaya minum air kelapa dan air lemon suam antara enam hingga tujuh gelas pada hari pertama.

Katanya, pengambilan air tersebut perlu diperlu diteruskan pada hari kedua tetapi dikurangkan jumlahnya, kira-kira lima gelas selain perlu makan sayur hijau seperti kangkung.

“Uniknya koronavirus menyerang saluran pernafasan sama seperti influenza. Jadi saya juga nasihatkan jangan kerap makan gula, susu dan daging (sebagai usaha meningkatkan ketahanan badan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Harian Siri 155 bertajuk: Koronavirus: Adakah kita lambat bertindak? di Bangunan WUI, Kompleks Karangkraf Seksyen 15 di sini malam Khamis.

Dalam wacana yang dikendalikan moderator, Sayed Munawwar Sayed Mohd Mustar itu, Noordin bergandingan bersama Ketua Pegawai Pematuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd Yasin dan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Bujang sebagai panelis.

Pada masa sama, Noordin turut memuji tindakan kerajaan dalam menangani penularan wabak koronavirus di negara ini yang disifatkan sebagai paling cepat berdasarkan pengalaman berdepan wabak berbahaya sebelum ini.

“Sekarang kita tengok konsep (cara) China dan negara-negara luar selesaikan masalah (wabak) ini dan dari situ ada timbul tuduhan-tuduhan tidak berasas.

“Namun dari sudut sains, jika dicatatkan cuma 0.018 peratus mangsa meninggal itu dikira rendah dan situasi di Wuhan purata kematian yang direkodkan antara 2 hingga 2.3 peratus,” katanya.

Ada sebab kangkung dikatakan boleh cegah koronavirus… Wah! Macam-macam khasiatny

Kangkung kaya dengan vitamin A dan C selain kalium, kalsium, zat besi dan natrium.
SEBELUM ini mungkin ramai yang memandang rendah terhadap sayur kangkung kerana ia dikategorikan sebagai makanan murah dan senang didapati.Tetapi saranan doktor kesihatan profesional (MBBS), Dr Noordin Darus ketika menghadiri wacana Sinar Harian Siri 155 bertajuk: Koronavirus: Adakah kita lambat bertindak? agar makan lebih sayuran termasuk kangkung membuatkan ramai mula memberi perhatian kepadanya.

Mana tidaknya, kangkung memiliki khasiat dalam meningkatkan ketahanan badan sekaligus boleh mencegah penularan wabak koronavirus yang melanda seluruh dunia ketika ini.

Tapi tahukah anda sebenarnya kangkung yang mudah tumbuh di kawasan berair mempunyai pelbagai khasiat termasuklah mengandungi vitamin A dan vitamin C.

Selain itu, kangkung turut mempunyai pelbagai mineral seperti kalium, kalsium, zat besi dan natrium. Paling penting ia rendah kalori.

Ia bukan sahaja mempunyai rasa yang enak tetapi terdapat pelbagai manfaat jika mengamalkan pemakanannya;

Kangkung mempunyai pelbagai khasiat. 

1. Menjaga kesihatan mata

Kangkung kaya dengan vitamin A yang baik untuk mata anda sebab ia mampu melindungi kornea dan lapisan mata daripada bakteria dan virus. Vitamin ini juga dapat meningkatkan penghasilan cecair yang melembapkan deria penghilatan itu.

2. Mencegah diabetes

Pada 2013, pengkaji berjaya menemukan kangkung dapat mencegah diabetes pada ibu hamil kerana ia mempunyai antioksidan yang mampu menghalang pertumbuhan sel-sel diabetes.

3. Melawan kerosakan hati

Sejak berabad lalu, manfaat kangkung diketahui mujarab untuk melawan kerosakan hati dan kajian dalam jurnal Molecules membuktikan ia juga mampu menyembuhkan luka dan radang dengan cepat.

Ini kerana kangkung mempunyai enzim yang akan membersihkan hati dari racun dan zat yang menyebabkan kerosakan.

4. Mengatasi anemia

Mineral yang terdapat pada sayur itu juga boleh membantu mengatasi masalah anemia kerana ia tinggi dengan kandungan zat besi dan fostor.

Zat besi penting untuk meningkatkan produksi sel darah merah dan melancarkan perjalanan oksigen.

5. Mengurangkan risiko penyakit kronik

Kangkung tinggi vitamin C dan mampu meningkatkan kekebalan tubuh sekaligus melawan kerosakan sel pada penyakit kronik seperti jantung dan strok.

Kenali 6 jenis tentera iblis bersama godaan maha dahsyat untuk bawa manusia ke neraka

Hanya orang yang beriman dan beramal soleh dengan melakukan setiap pekerjaan ikhlas kerana Allah akan terselamat daripada godaan Iblis.
IBLIS adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah daripada api. Iblis juga merupakan musuh manusia yang nyata.

Allah turut berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 208 yang maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Tipu daya iblis merupakan helah yang sangat dasyat lagi menyesatkan. Iblis telah bersumpah kepada Allah untuk menyesatkan umat manusia sehingga ke hari kiamat untuk bersama-samanya berada dalam neraka.

Ada enam peringkat godaan iblis dan syaitan yang telah disebut oleh Imam Ibnu Qayyim secara umum dan ringkas iaitu:

Khanzab ditugaskan untuk menggoda manusia ketika mereka mengerjakan ibadah solat. – Gambar Sekadar Hiasan

Pertama: Berusaha mengkafirkan manusia dan menyuruh manusia melakukan perbuatan yang syirik kepada Allah.

Kedua: Peringkat bid’ah (ciptaan baru ibadah) yang mana mereka berusaha untuk menjadikan manusia lebih suka mencipta perkara bid’ah dan beramal dengannya lebih daripada melakukan amalan sunnah. Jika bisikan ini gagal maka Iblis akan beralih kepada peringkat yang ketiga.

Ketiga: Iblis mendorong manusia melakukan maksiat dan membuat dosa besar serta mengingkari perintah Allah. Jikalau gagal, dia akan pergi ke peringkat yang keempat.

Keempat: Peringkat melakukan dosa-dosa kecil. Iblis akan berusaha untuk mendorong manusia melakukannya serta menjadikan manusia itu memandang kecil akan dosa-dosa ini. Jikalau manusia berjaya mengelaknya, dia akan pergi ke tahap kelima.

Kelima: Iblis akan berusaha menyibukkan manusia dengan hal ehwal yang harus sehinggakan mereka lalai dan menghabiskan waktu dengan perkara tersebut.

Keenam: Iblis berusaha menyibukkan manusia dengan amal ibadah yang kurang utama lalu tertinggalah dan terlupalah yang paling utama seperti melakukan puasa sunat dan lupa untuk qada puasa Ramadan.

Iblis akan berusaha menyibukkan manusia dengan hal ehwal yang harus sehinggakan mereka lalai dan menghabiskan waktu dengan perkara tersebut.

Iblis tidak akan putus dan berhenti untuk menggoda manusia dari segenap penjuru. Andai jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat iaitu kanan, kiri, depan ataupun belakang nescaya mana-mana jalan yang dilalui maka Iblis akan sentiasa menunggunya.

Hanya orang yang beriman dan beramal soleh dengan melakukan setiap pekerjaan ikhlas kerana Allah akan terselamat daripada godaan Iblis.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hijr ayat 39 dan 40: (39) Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, (40)” Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dengan keikhlasan”.

Di dalam Athar Salafussaleh, mereka menamakan tentera-tentera Iblis dalam kalangan syaitan kepada beberapa nama. Jadi marilah kita kenali mereka supaya kita sentiasa berwaspada akan setiap tipu daya makhluk durjana itu.

Daasim ditugaskan memecah-belahkan hubungan kekeluargaan sehingga berlakunya perpecahan dan pergaduhan antara suami isteri.

1. Tsabr

Ditugaskan untuk menghasut manusia yang ditimpa musibah. Dia akan menghasut mereka yang ditimpakan musibah oleh Allah supaya berlebih-lebihan dalam bersedih sehingga mereka tidak reda akan ujian Allah. Contohnya berlebih-lebihan meratapi kematian seseorang.

2. Al-A’war

Ditugaskan untuk menyuruh manusia melakukan zina dan menganggap perbuatan zina itu seperti dosa-dosa kecil. Al-A’war juga yang menghiasi perempuan-perempuan ajnabi supaya kelihatan lebih cantik dan menarik di mata lelaki-lelaki ajnabi. Contohnya seorang suami akan melihat isterinya hodoh berbanding perempuan-perempuan lain yang haram baginya. Begitu juga sebaliknya.

3. Miswath

Ditugaskan untuk menyuruh manusia membawa cerita dusta dan juga berita-berita palsu. Ini banyak terjadi di zaman yang serba canggih yang mana mereka dengan mudahnya memviralkan sesuatu berita tanpa mencari kebenaran terlebih dahulu sehingga mengaibkan seseorang.

4. Daasim

Ditugaskan untuk menyelinap masuk ke dalam seseorang yang menemui keluarganya lalu dia akan menampakkan cela mereka di matanya sehingga membuatnya marah.

Daasim juga memecah-belahkan hubungan kekeluargaan dengan menyusupkan keaiban suami ke mata isteri dan juga sebaliknya sehingga berlakunya perpecahan dan pergaduhan antara suami isteri dalam hubungan rumah tangga.

5. Zaknabur

Ditugaskan untuk menggoda manusia di pasar-pasar bagi menghasut pembeli dan penjual. Bagi pembeli, Zaknabur akan menghasut supaya berbelanja boros melebihi kemampuan sehingga berlakunya pembaziran. Bagi peniaga pula, Zaknabur akan menghasut supaya menipu dalam urusan perniagaan.

6. Khanzab

Ditugaskan untuk menggoda manusia ketika mereka mengerjakan ibadah solat. Khanzab akan menyelinap masuk ke dalam hati-hati orang yang sedang mengerjakan solat supaya mereka tidak khusyuk dan lalai akan rukun dan syarat sah solat.

Insya-Allah penulisan yang akan datang Dr Hadi akan menerangkan pula mengenai tipu daya Iblis dan syaitan di dalam beribadah.

Semoga penulisan ini memberi manfaat dan panduan kepada pembaca untuk mengenali musuh-musuh manusia yang nyata.

14 tip di Mina dan Arafah, jemaah perlu mandi awal pagi elak berebut tandas

PADAT… Jemaah haji dari seluruh dunia akan berkumpul di Arafah untuk melaksanakan rukun haji kedua iaitu wukuf di Arafah yang bermula dari gelincir matahari pada 9 Zulhijjah iaitu apabila masuk waktu Zohor hingga seketika sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah. – Foto BERNAMA
PERLUKAH mandi di Arafah dan bagaimana hendak mandi di Mina? Itu soalan lazim yang sering dikemukakan oleh jemaah wanita sebelum berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadat haji.

Mestilah perlu mandi tetapi bagaimana pula hendak mandi jika terlalu ramai jemaah beratur dan tidak dinafikan kadangkala ada yang berebut dan berselisih faham gara-gara tidak tahan hendak membuang air kecil, membuang air besar atau mandi.

Ketika mengerjakan ibadat haji yang pertama, sudah tentu saya tidak tahu rahsia masa terbaik untuk mandi di Arafah mahupun Mina. Bukan senang hendak membersihkan diri. Usia muda ketika itu menyebabkan saya terpaksa mengalah dengan jemaah lebih berusia.

Sabar. Itulah yang saya tanamkan dalam diri. Saya memerhati jemaah demi jemaah memasuki ruang tandas. Saya termenung panjang.

Akhirnya, saya tidak berpeluang mandi di Arafah kerana tandas sentiasa sesak dan saya tidak sanggup lagi beratur menunggu giliran. Saya pula tidak sampai hati apabila jemaah yang boleh saya panggil makcik atau nenek hendak memotong giliran. Saya benarkan saja.

Sepanjang mengerjakan ibadah Haji elakkan sikap pentingkan diri.

Disebabkan jemaah wanita lebih ramai berbanding lelaki. Tandas lelaki juga turut menjadi rebutan jemaah wanita. Keadaan ini adakala melucukan tetapi sukar dibendung kerana lazimnya, wanita juga mengambil masa lama di dalam tandas.

Badan terasa melekit. Alhamdulillah, suhu tidak terlalu tinggi kerana musim haji ketika itu pada Februari. Saya pulang semula ke khemah. Saya memunggah bagasi kecil saya dan mengambil botol penyembur seterika. Ketika itu, belum ada penyembur wuduk seperti sekarang.

Saya sembur ke muka dan tubuh tanpa mengelapnya. Terasa segar seketika. Jadilah, detik hati saya sementara menunggu waktu wukuf saya mengaji, membaca dan solat sunat.

Bagaimanapun, ketika mengerjakan ibadat haji yang kedua dan seterusnya, saya merancang waktu untuk masuk ke tandas dan Alhamdulillah apa yang dipraktikkan itu saya turut kongsikan dengan rakan dan kenalan yang bertanya.

Saya akan mandi pada jam 1 pagi atau 2 pagi. Selepas mandi, barulah saya tidur seketika sebelum bangun semula sebelum Subuh. Ketika itu, saya lihat memang ramai jemaah beratur untuk ke tandas. Untuk berwuduk, saya ke ruang wuduk berhampiran tandas dan selalunya ia tidak mengambil masa yang panjang.

Jika bersedia lebih awal, ibadah juga dapat dilakukan dengan selesa.

Jemaah boleh mandi dengan selesa tanpa perlu beratur lama jika mandi pada jam 1 pagi.

Lazimnya, pada masa itu, sebahagian besar jemaah lena tidur dan rebutlah masa itu untuk membersihkan diri, tidak kiralah di Arafah atau Mina.

Selalunya, ramai mengatakan jam 3 pagi boleh bangun dan mandi tetapi bangkitllah sebelum jam 3 pagi dan mandilah ketika itu. Selepas mandi, anda masih berpeluang tidur dengan selesa dan jika hendak berwuduk, tidak perlu beratur panjang dan boleh mengambil wuduk di tempat wuduk saja.

Di Mina, elakkan membasuh pakaian atau tudung. Bawa pakaian secukupnya demi keselesaan semua jemaah. Jika membasuh pakaian atau tudung atau telekung, sudah tentu anda mengambil masa dan ini menyebabkan tempoh menunggu lebih lama di kalangan jemaah lain.

Justeru, elak pentingkan diri dan sentiasa ingat, setiap jemaah juga memerlukan masa untuk membersihkan diri.

Tip membersihkan diri di Arafah dan Mina

1. Mandi pada jam 1 pagi atau sebelum jam 3 pagi.

2. Elak mandi pada waktu siang kerana cuaca panas kerana dikhuatiri boleh demam.

3. Masukkan kelengkapan mandian dan pakaian di dalam beg kecil yang boleh digantung di dalam tandas.

4. Elak membasuh pakaian, tudung, telekung di dalam tandas.

5. Mengambil wuduk di luar tandas.

6. Beratur mengikut giliran.

7. Sentiasa menutup aurat.

8. Usah mengambil masa lama di dalam tandas.

9. Elak mencuci rambut di dalam tandas apatah lagi jika anda di Arafah dan masih dalam ihram.

10. Pastikan botol penyembur wuduk sentiasa bersama anda terutama di dalam khemah

11. Elak membuang air kecil di ruang lantai di dalam atau di luar tandas serta di tempat mengambil wuduk.

12. Jika tidak tahan mahu membuang air besar atau kecil, nyatakan dengan sopan dan usah terus berlari atau menolak jemaah lain untuk masuk ke dalam tandas.

13. Elak berdandan atau menyikat rambut di dalam tandas. Lakukan di dalam khemah.

14. Elak makanan yang pedas, masam dan alah kepada perut sepanjang di Arafah serta Min

Kecut perut dapat visa Furada! Ketahui tip jika dapat visa ini untuk buat haji

Lembaga Tabung Haji merupakan agensi pengurusan haji yang efisyen dan diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi sebagai terbaik.
TULAR dan hangat kisah 26 jemaah haji terkandas di lapangan terbang Jeddah minggu ini. Netizen memberi pelbagai reaksi berhubung perkara itu.

Sebahagian besar marahkan agensi pengendali terbabit. Tidak kurang juga umpama memujuk hati jemaah agar bersabar serta bermuhasabah. Ada juga yang membuat tuduhan dan melontarkan kata-kata tidak enak terhadap syarikat pengendali itu.

Buangkan amarah dan andaian negatif kerana kes sedang disiasat. Kehangatan membicarakan mengenainya, ingin saya berkongsi pengalaman menggunakan visa Furada untuk menyempurnakan ibadat berkenaan, sekali gus membawa jemaah ke Tanah Suci menerusi visa tersebut.

Pada 2015, saya mula mengenali visa haji Furada apabila diminta menjadi petugas haji. Mulanya saya sangat bimbang kerana tidak pernah mendengar perkataan itu. Sekembali ke rumah, saya mula melayari internet dan mencari maknanya.

Masih tidak berpuas hati dengan hasil yng ditemui, saya tanya pula kepada dua kenalan yang pernah bertugas di Tabung Haji. Jawapan mereka sama seperti hasil yang diperoleh di internet. Kegusaran saya lenyap, lantas menerima tawaran untuk menggalas tugasan menyantuni tetamu Allah pada tahun berkenaan.

Begitu juga pada tahun-tahun berikutnya. Namun, pada 2016, pemergian saya ke Tanah Suci membuat hati kecut perut apabila dimaklumkan oleh pengurus operasi ketika itu bahawa bukan semua visa diperoleh.

Ketika itu, saya dan 120 jemaah sudah tiba di KLIA, Sepang dan saya terus ke kaunter daftar masuk untuk melihat susunan pasport. Sejurus ternampak gambar saya di belakang pasport, saya mengucapkan Alhamdulillah.

Siti Esah Hussain menangis kesedihan ketika ditemui Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana tidak dapat mengerjakan ibadah haji musim ini berikutan masalah tiket dan visa furada. Seramai 26 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah sejak Isnin lalu selamat tiba di KLIA pada Rabu.

Seorang lagi petugas turut bertanya adakah pasportnya juga ada dan saya mengatakan ada. Justeru, berangkatlah kami seramai 120 jemaah pada petang itu ke Tanah Suci.

Setelah setengah jam di udara, terdengar beberapa jemaah bersuara terkejut kerana mendapati tarikh visa yang tertera adalah pada hari berangkat. Ada yang bertanya kepada saya kenapa jadi begitu dan seperti tidak percaya.

Saya katakan ya, semua visa baru diperoleh pada pagi itu dan tiba di KLIA pada jam 1.30 tengah hari. Ramai yang mengatakan syukur dapat berangkat. Namun, ada beberapa jemaah yang tidak memperoleh visa dan terpaksa pulang hampa. Visa mereka masih diproses.

Simpati saya pada jemaah berkenaan tetapi apakan daya. Usaha telah pun dilaksanakan tetapi rezeki belum menyebelahi mereka. Dengan wajah sedih, jemaah terbabit memohon agar kami semua mendoakan mereka untuk dapat bersama-sama nanti.

Ada yang mengalirkan air mata. Alhamdulillah, jemaah berkenaan bertemu kami dua hari selepas itu. saya dan petugas lain dimaklumkan bahawa pasport jemaah yang lewat dua hari itu sebenarnya antara yang mula-mula dihantar untuk permohonan visa tetapi entah kenapa tidak diperoleh sebagaimana yang lain.

Apakah visa furada?

Visa Furada dikeluarkan oleh Kedutaan Arab Saudi dan lazimnya hanya kenamaan dan pihak tertentu memperolehinya. Selalunya visa diproses beberapa hari sebelum tarikh dijadualkan berangkat.

Kenapa bakal jemaah memilih visa Furada?

Berdasarkan pengalaman, sebahagian besar jemaah memilih visa Furada kerana enggan menunggu lama untuk mengerjakan ibadat haji setelah lewat atau tidak mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji untuk menunaikan haji.

Keadaan ini menyebabkan giliran mereka sangat lewat dan kemungkinan sudah terlalu uzur atau tiada lagi. Selain itu, ada juga yang memilih visa Furada kerana berkemampuan mahu menunaikan haji lebih daripada sekali dan ada segelintir pula mahu membawa anak remaja. Keadaan itu semua menjadikan mereka cenderung memilih visa Furada bagi menyempurnakan rukun Islam kelima itu.

Visa Furada hanya untuk golongan berada?

Tidak juga kerana ada antara jemaah bekerja makan gaji tetapi memberi keutamaan dan mahu menyempurnakan ibadat haji ketika masih kuat serta bertenaga. Tidak dinafikan visa Furada dijual pada harga yang tinggi iaitu di antara RM12,000 dan RM16,000. Itu tidak termasuk harga pakej haji dan total kos berjumlah dari RM35,000 ke atas manakala tempohdi Tanah Suci ialah satu bulan, termasuk perjalanan pergi balik.

Apakah persediaan jika mendapat visa haji Furada?

1. Buat sedikit kajian mengenai syarikat pengendali haji yang menawarkan visa Furada.

2. Bertanyalah secara khusus mengenai wang yang diserahkan dan pastikan simpan segala invois dan resit pembayaran.

3. Perbanyak doa dan solat hajat.

4. Bersedia dengan segala keperluan untuk ke Tanah Suci seminggu sebelum berangkat.

5. Berfikir positif dan rasional.

6. Membawa wang secukupunya atau buka akaun Rajhi atau mengemas kini perbankan anda kepada pengeluaran antarabangsa kerana jemaah haji visa Furada tidak boleh mengeluarkan wang di kaunter Tabung Haji.

7. Bawa bekalan ubat-ubatan secukupnya kerana jemaah haji visa Furada tidak boleh mendapat perkhidmatan perubatan di klinik kesihatan Tabung Haji.

8. Ambil insurans kesihatan/pelancongan.

Hakikatnya, setiap umat Islam yang mahu menjejakkan kaki ke bumi Haramain untuk mengerjakan haji dan umrah perlu memperbanyakkan doa, solat hajat dan taubat selain bertawakal kerana kedatangan kita atas kehendak serta undangan daripada Allah.

Hati sayu lihat artifak peninggalan Nabi Muhammad, pengunjung pameran rasa lebih ‘dekat’ dengan baginda

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melihat Serban milik Rasulullah S.A.W. yang dipamerkan di Pameran Artifak Rasulullah S.A.W. dan Sahabat R.A. yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sehingga 4 Ogos ini.
PELUANG menyaksikan dengan lebih dekat artifak milik Rasulullah SAW yang sedang dipamerkan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika ini sukar diluahkan dengan kata-kata.

Lebih 49 artifak milik baginda yang dipamerkan ditatap dengan rasa sayu namun penuh kesyukuran kerana menatap barangan peribadi milik Nabi Muhammad SAW ini seolah-olah membuatkan diri terasa lebih dekat dan rapat dengan baginda.

Itulah antara kata yang boleh dizahirkan taktala melihat sendiri artifak milik baginda Rasulullah yang teramat mulia di mata semua umat Islam di seluruh dunia.

Kesan tapak kaki baginda Nabi Muhammad SAW.

Meskipun sudah wafat namun syiar Islam yang menjadi pegangan kita sehingga hari ini kekal utuh dan hanya peninggalan barangan itulah yang mampu membuatkan kita berasa dekat dengan baginda.

Menerusi pameran itu juga, selain artifak milik junjungan besar Nabi Muhammad, turut dipamerkan adalah barangan milik para sahabat bagi memberi peluang kepada orang ramai mengenali dengan Rasulullah serta sahabat-sahabat yang sentiasa setia di sisinya.

Antara artifak yang dipamerkan termasuklah rambut, janggut, darah bekam, serban, tongkat, bekas air zam zam milik Rasulullah serta pasir makam baginda serta kunci makam tersebut.

Janggut milik Rasulullah turut dipamerkan. 

Tidak ketinggalan Pedang Muaz bin Jabal, Pedang Sultan Al-Fatih, Kiswah Kaabah Merah, Kiswah Kaabah Hijau dan Kunci Makam Saiditina Fatimah.

Turut dipamerkan senjata dan kelengkapan perang peninggalan Kerajaan Uthmaniah seperti kunci, baju perang, tandu, al-Quran Emas kiswah Kaabah, Kiswah Pintu Taubat di mana semua artifak ini merupakan koleksi dari Tanah Arabah seperti Makkah dan Madinah serta negara Yaman dan Turki.

Menariknya setiap artifak itu disertakan dengan maklumat berkaitan antaranya sirah Rasulullah, peristiwa peperangan dalam sejarah Islam, gerakan penyebaran Islam serta maklumat tentang sahabat baginda.

Pameran dirasmikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pameran itu dilancarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan ia akan berlangsung sehingga 4 Ogos ini.

Dianggarkan seramai 150,000 pengunjung akan hadir menyaksikan Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Sahabat RA itu.

Tiket masuk dijual pada harga RM20 untuk dewasa, RM10 (mahasiswa) dan RM5 (kanak-kanak) dan pameran dibuka bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Buatlah persediaan ‘masuk kubur’ dengan amalan sedekah jariah

Apabila seseorang Islam itu meninggal dunia, terhapuslah semua amalanya melainan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak yang soleh. Gambar hiasan.
ASSALAMMUALAIKUM semua semoga kita di dalam lindungan rahmat Allah sentiasa. Kita selalu memikirkan atau merancang untuk hari tua kita dengan pelbagai program seperti simpanan, skim takaful, insuran dan selainnya.

Alhamdulillah! Bagus bukan tak bagus tetapi perancangan itu sepatutnya menjangkau bukan sahaja semasa di dunia sebelum kematian bahkan juga selepas kematian.

Kalau kita perhatikan bahawa manusia yang hidup lama beratus tahun, mereka terpaksa menunggu di dalam kubur lebih lama daripada umur mereka hidup semasa di dunia.

Contohnya Qarun dengan segala kemewahan yang Allah kurniakan kepadanya sehinggakan beberapa orang lelaki gagah terpaksa digunakan untuk membawa kunci perbendaharaannya sahaja, belum lagi hartanya.

Tetapi dek kerana kesombongan dan kedurhakaannya kepada Allah maka Allah bertanya kepada nabi Musa AS bagaimana nak mengajar Qarun yang durhaka?

Maka nabi Musa meminta bumi menelan segala harga Qarun dengannya sekali.

Peristiwa ini telah berlaku puluhan ribu tahun dahulu, sehingga sekarang Qarun terpaksa berada di alam kubur dengan segala siksaannya.

Oleh itu kita hendaklah bersedia selepas kematian juga bukan sahaja sebelum kematian sahaja.

Bahkan selepas kematian itulah paling kita takuti disebabkan hidup selepas kematian adalah kekal selama-lamanya.

Memiliki harta seperti rumah besar antara contoh harta yang akan ditinggalkan apabila seseorang itu meninggal dunia. Gambar hiasan.

Kalau baik amalan kita Alhamdulillah kita akan diberikan syurga oleh Allah tetapi kalau jahat amalan kita maka malanglah hidup selepas kematian kerana kita akan diazab oleh Allah dengan siksaan yang amat dahsyat tiada tolak bandingnya.

Nabi Muhammad SAW bersabda dalam satu hadis; “Apabila mati seseorang anak adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kedua-dua ibu bapanya.”

Kalau kita teliti hadis di atas Nabi SAW menyebut tentang tiga perkara yang akan tetap memberikan kepada kita pahala walaupun kita telah meninggal dunia.

Tetapi di antara tiga perkara tadi yang mana lebih dulu yang disebutkan nabi SAW menunjukkan bahawa itu lebih jaminannya, lebih pentingnya kepada orang meninggal dunia berbanding yang kedua dan ketiga.

Sedekah jariah

Nabi SAW sebut sedekah jariah dulu sebab bila kita melakukan sedekah jariah seperti memberi sumbangan untuk membina masjid atau maahad tahfiz maka selagi berdirinya masjid atau maahad tahfiz digunakan sampai kiamat pun pahalanya masih mengalir kepada kita walaupun kita telah berada di alam kubur.

Oleh itu sebagai langkah permulaaan untuk kita mengamalkan hadis ini, berilah sumbangan untuk apa-apa pembinaan surau atau masjid di tempat kita.

Selalunya ada je pembangunan yang nak dibuat seperti tandas nak diperbaiki ataupun bangunan tambahan dan sebagainya.

Jangan setakat sekali sahaja  bahkan lakukan tiap-tiap bulan cari je dan gunakan sedikit dari gaji kita untuk tujuan sedekah jariah ini. InsyaAllah kita menambah pelaburan kekal dan terjamin pahalanya oleh Maha Pencipta kita sampai kiamat.

Apa lagi yang kita mahukan dari dunia ini kalau bukan pahala amalan baik kita sebab di alam kubur dan akhirat itu pahala kebaikan sahajalah yang akan diterima oleh Allah SWT bukannya harta benda, wang, pangkat boleh dibawa.

Anak-anak yang dibimbing ke jalan Allah akan memberi manfaat kepada kedua-dua orang tuanya kemudian hari. Gambar hiasan.

Harta benda banyak pun kalau kita tinggalkan bukan hak kita lagi dah, akan jadi hak isteri, suami kita dan anak-anak kita. Suami atau isteri kita, apabila kita mati, mereka pun kemungkinan besar akan kahwin lain dan lupakan kita di alam kubur sana.

Maka yang menjadi hak kita dan untuk kita di alam kubur dan akhirat adalah apa yang kita sedekahkan. Maka sebenarnya kalau kita tahu keadaan begini yang akan kita lalui maka istiqamahlah dalam bersedekah jariah.

Sebab tu nabi SAW sebut sedekah jariah dalam hadis tadi di tempat pertama sebelum menyebut yang lain.

Harta pusaka

Berkenaan harta pusaka, sebenarnya kita tak perlu risau terpaksa meninggalkan harta yang banyak kepada pewaris kita apabila meninggal dunia nanti tetapi meninggalkan anak yang soleh itu lebih utama.

Kalau kita tinggalkan anak yang suka berjudi contohnya, banyak mana harta yang kita tinggalkan akhirnya habis juga. Macam filem P.Ramlee bertajuk 3 Abdul tu. Sebab tu dalam hadis tadi nabi SAW sebut anak yang soleh yang mendoakan ibu bapanya, bukan baginda menyebut meninggalkan harta yang banyak untuk mereka.

Saya bagi contoh seorang kawan saya, apabila ayah dia meninggal dunia, si bapa meninggalkan harta lebih kurang RM8 juta untuk lapan orang adik-beradik.

Maka adik perempuannya yang paling tinggi belajar sampai peringkat Ijazah Doktor Falasafah (PhD) diberi kepercayaan untuk mentadbir dan membahagikan harta tersebut sama banyak iaitu RM1 juta seorang.

Maka dia telah melantik peguam dan memproses pembahagian harta tersebut. Apa yang berlaku daripada RM8 juta tu? RM5 juta masuk poketnya sendiri dan RM3 juta lagi baharulah dibahagikan kepada tujuh orang adik-beradiknya yang lain.

Cuba kita fikirkan bolehkah kita jamin daripada RM8 juta tersebut, agak-agaknya berapa juta yang akan anak-anaknya seramai lapan orang tu akan memberikan sedekah jariah untuk mak ayahnya di dalam kubur?

Sedekah jariah seperti memberi sumbangan untuk pembangunan rumah ibadah dan juga apa-apa berkaitan dengannya akan membolehkan pahala kepada si mati terus mengalir.

Bertambah malangnya lagi jika ia digunakan untuk bermaksiat. Oleh itu, bukan harta tetapi anak yang soleh yang perlu kita tinggalkan.

Seorang kawan saya lagi mendidik anaknya pada jalan Allah sehingga menjadi al-hafiz seramai empat orang, seorang menjadi pilot al-hafiz, dua orang doktor al-hafiz, seorang ustaz al-hafiz.

Suatu masa saya tanya kawan saya itu yang juga seorang Datuk: “Tok cantik kereta-kereta Volvo sport ratusan ribu tu… Ni kereta orang muda!”

Jawab Datuk tu… anaknya yang bagi. Beberapa hari lalu, saya nampak dalam Facebook, anaknya yang doktor bawa ayahnya pandu uji kereta Mercedes.

Saya tanya anaknya… kata dia, “hadiah untuk ayah”. MasyaAllah… hadiah untuk ayah sebuah kereta ratusan ribu untuk ayahnya ke surau, masjid atau untuk khidmat kepada masyarakat.

Allahuakbar! Nampak tak yang mana lebih penting kita tinggalkan harta untuk anak atau anak yang soleh?

Sebenarnya jawapan yang lebih baik adalah kita tinggalkan harta kita kepada anak yang soleh.

Tapi kita boleh jamin ke semua harta tersebut akan digunakan semata mata untuk ketaatan kepada Allah yang mana kita akan berkongsi pahalanya?

Lagi sekali sebab tu nabi SAW menekankan amalan sedekah jariah itu dulu dan yang ke tiga baharulah adalah anak yang soleh.

Yang kedua daripada hadis nabi SAW tadi mengenai ilmu yang bermanfaat. Bukan  ilmu yang tidak bermanfaat, bukan ajaran sesat, salah tetapi ilmu yang akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Contohnya Uthman bin Affan RA telah mengumpulkan dan membukukan Al-Quran dan dihantar ke seluruh pelusuk dunia. Nah sampai sekarang lebih kurang 1.8 bilion umat Islam telah menggunakan Al-Quran.

Bayangkan betapa banyaknya pahalanya yang telah dan akan diterima oleh saidina Uthman yang mana beliau sekarang berada di alam kubur.

Sebab tu, kata nabi SAW: “Sampaikanlah dari aku walaupun satu ayat.” Sesungguhnya jika dengan satu ayat tu orang berubah dan melakukan ketaaatan kepada Allah boleh tak kita bayangkan betapa banyaknya pahala yang bakal kita terima.

Oleh itu mulakan merancang dan melaksanakan persediaan untuk hidup selepas kematian kita. Sebarkan artikel ini juga menjadi sebahagian dari ilmu yang bermanfaat. InsyaAllah.

Lakukan 6 amalan diajar Nabi SAW agar jadi penyelamat ketika meniti Titian Sirat

Sedekah adalah antara amalan yang akan membantu seseorang Muslim itu untuk meniti Titian Sirat. Gambar sekadar hiasan.
SALAM semua warganet, semoga Allah SWT merahmati kita pada hari Jumaat penghulu segala hari.

InsyaAllah kali ini kita akan kongsikan tentang tip yang telah diberikan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW untuk memudahkan kita meniti Siratul Mustakim atau Titian Sirat sebelum memasuki syurga Allah, yang mana kalau kita tidak lepas meniti titian sirat tadi, nauzubillah kita akan terjatuh ke dalam neraka yang Allah sediakan di bawah jambatan itu.

Dalam hadis Nabi SAW disifatkan bahawa titian sirat itu lebih halus daripada rambut yang dibelah tujuh dan lebih tajam daripada mata pedang.

Bayangkan betapa bahayanya titian sirat itu, kita sewajarnya tahu selok-belok bagaimana nak meniti agar melepasinya dengan baik yang mana keadaannya yang sangat berbahaya kepada manusia.

Dinyatakan dalam hadis juga bahawa pelbagai cara manusia meniti titian sirat itu bergantung kepada banyak dan sedikit amalan kebaikan manusia berdasarkan kepada amalan pada masa hidupnya di dunia.

Ada yang melintasinya seperti kilat cepatnya, ada yang seperti kuda, ada yang berjalan dan ada yang merangkak.

Di atas titian itu ada terdapat banyak penyangkut seperti mata kail yang besar dan akan menyangkut mereka yang  banyak dosa sehingga menyebabkan pendosa itu terjatuh ke dalam neraka. Nauzubillah.

Titian Sirat ini dikatakan gelap. Hanya cahaya yang ada pada seseorang berdasarkan kepada amalannya sahaja dapat membantu.

Maka terdapat tip-tip untuk meniti titian sirat itu yakni, enam amalan yang disarankan oleh Nabi Muhammad SAW seperti berikut:

Sentiasa berada di masjid

Abu Darda’ berkata: “Saya telah mendengar Rasulullah bersabda: Masjid itu adalah rumah bagi setiap orang yang bertakwa dan Allah akan memberikan kesenangan, rahmat dan (keselamatan) di atas sirat menuju keredaan Allah ke dalam syurga bagi sesiapa sahaja yang menjadikan masjid-masjid sebagai rumahnya.”

Sentiasa berada di masjid untuk mendapatkan ilmu-ilmu agama dan juga membaca al-Quran akan membuatkan seseoerang mendapat kelebihan ketika meniti Titian Sirat.

Maksud orang yang sentiasa pergi ke masjid ialah melakukan solat berjemaah, belajar ilmu agama di masjid, bergaul dengan orang soleh di masjid dan melakukan pelbagai aktivit keagamaan di masjid  atau surau. Nabi SAW bersabda dalam hadis tadi bahawa di masjid adalah tempat orang yang bertakwa kepada Allah.

Sebenarnya banyak kelebihan masjid sehinggakan orang berada di dalam masjid dalam majlis ilmu akan sentiasa didoakan oleh malaikat agar Allah mengampuni dan merahmati mereka.

Bersedekah dengan baik

Maksudnya sedekah tadi ialah daripada sumber yang halal, cara sedekah yang baik dan juga tepat sasarannya.

Bersedekah lebih afdal kepada kaum keluarga terdekat dahulu yang mana Allah akan berikan dua jenis ganjaran pahala: Pertamanya ialah pahala sedekah, keduanya pahala menghubungkan silaturrahim di antara ahli keluarga.

Bersedekah juga hendaklah dengan cara yang baik seperti penuh keikhlasan, tidak disusuli dengan ungkit-mengungkit bertujuan berbangga-bangga selain mahu menyakitkan hati orang yang kita bantu.

Dalam riwayat Ibnu Hibban disebutkan bahawa: “Barang siapa yang memaafkan kesalahan seorang muslim, maka Allah akan mengampunkan kesalahannya pada hari kiamat.”

Nabi SAW bersabda  daripada Abu Nuaim dan Asbahani meriwayatkan secara marfu’: “Barangsiapa bersedekah dengan baik, maka dia akan melintas di atas sirat dengan lapang dada”.

Menerima pembatalan pembelian seseorang muslim dan memaafkan kesalahannya

Maksudnya kita dalam urusan transaksi jual beli atau apa-apa urusan kalau ada kecacatan pada barang yang dibeli contohnya, maka jika pembeli membatalkan pembelian tersebut, maka kita menerimanya dan meyelesaikannya dengan cara yang baik.

Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA mengatakan bahawa Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang menerima pembatalan pembelian saudaranya, maka Allah SWT akan mengampunkan kesalahannya pada hari kiamat.”

Dalam riwayat Ibnu Hibban disebutkan bahawa: “Barang siapa yang memaafkan kesalahan seorang muslim, maka Allah akan mengampunkan kesalahannya pada hari kiamat.”

Sifat suka memaafkan kesalahan orang lain ini sebenarnya sangat mulia dan akan menenangkan hati kita dengan sebab tiada dendam kesumat.

Memudahkan kesulitan orang lain

Saidatina Aisyah RA mengatakan bahawa Nabi SAW bersabda: Barang siapa yang menjadi penghubung bagi saudaranya yang muslim kepada penguasa dalam menyampaikan satu kebaikan atau memudahkan satu kesulitan, maka Allah akan membantunya dalam melintasi sirat pada hari kiamat ketika tergelincirnya kaki-kaki”.

Menolong memudahkan kesulitan yang dihadapi orang lain antara tip diberikan nabi agar perjalanan ketitika di Titian Sirat menjadi mudah. Gambar hiasan – Bernama

Contohnya dalam kehidupan kita seharian banyak urusan kita dengan pihak berkuasa bermula dengan pendaftaran surat beranak, urusan membuat kad pengenalan, mendaftarkan sekolah anak, permohonan-permohonan permit, lesen dan sebagainya sehinggalah kepada urusan kematian.

Maka jika kita menolong orang lain mempermudahklan urusan mereka, maka Allah akan selamatkan kita meniti titian sirat.

Membantu memenuhi keperluan orang lain

Dalam satu hadis Nabi SAW daripada Anas bahawa seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling dicintai oleh Allah?”

Baginda bersabda: “Manusia yang paling dicintai oleh Allah ialah yang membahagiakan seseorang muslim; mengatasi kesulitannya, membayar hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya, serta berjalan bersama saudaraku untuk satu keperluan lebih aku cintai daripada aku beriktikaf di masjid ini selama satu bulan.

“Dan barangsiapa yang dapat menahan amarahnya pada hal dia mampu untuk melempiaskannya jika dia mahu, maka Allah akan memenuhi hatinya pada hari kiamat dengan keredaan, dan barangsiapa yang berjalan bersama saudaranya untuk satu keperluan sehingga dia dapat memenuhinya, maka Allah akan memantapkan kedua kakinya pada hari di mana kaki-kaki akan tergelincir” – [HR al-Asbahani dab Ibnu Abi Dunya].

Lihatlah betapa kalau kita teliti isi kandungan hadis ini berkisar tentang akhlak yang baik: Menolong menyelesaikan masalah saudara kita, tolong bayarkan hutangnya atau halalkan hutangnya dengan kita, belanja makan dan pelbagai cara lagi.

Sebab itulah Nabi SAW mengatakan bahawa amalan yang paling berat timbangan di neraca Allah adalah akhlak yang baik.

Melindungi seorang mukmin daripada umpatan orang munafik

Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang melindungi seorang mukmin daripada umpatan orang yang nampak munafik, maka Allah akan mengutus kepadanya seorang malaikat yang akan melindungi dagingnya daripada api neraka Jahannam pada hari kiamat. Barangsiapa menuduh seorang muslim dengan  tujuan ingin mencemarkannya, maka Allah akan menahannya di atas sirat Jahannam sehingga dia dibersihkan dari dosa yang telah dia katakan.” – [HR Abu Daud].

Pada zaman sekarang ini masya Allah banyaknya umpatan, kutukan Ya Allah kalau kita baca pun takut, fitnah, adu-domba, caci-maki dan sebagainya sangat kurang sopan dan sangat kesat bahasanya di media sosial.

Bahkan ulama, tok-tok guru dan orang-orang alim pewaris nabi dikeji, dihina sebegitu rupa. Oleh itu ambillah peluang ini dengan mempertahankan saudara muslim kita daripada kutukan, hinaan, kejian, tuduhan orang munafik ini kerana Allah akan selamatkan kita semasa meniti titian sirat pada  hari kiamat nanti.

Semoga dengan mengamalkan tip-tip yang diberikan oleh Nabi SAW ini insyaAllah, Allah akan permudahkan kita meniti titian sirat untuk menuju ke syurgaNya.

Sila kongsikan tip ini sebanyak mungkin agar ia dapat menjadi sebahagian amalan jariah kita.

Rebutlah ganjaran berlipat ganda pada 10 hari terawal Zulhijah

Bulan Zulhijah lebih sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidiladha iaitu melaksanakan ibadah korban namun terdapat ganjaran lain yang perlu diambil iaitu 10 hari terawal dalam bulan tersebut. Gambar hiasan.
MASYARAKAT pada hari ini dapat dilihat lebih mementingkan hal kebendaan berbanding mengejar apa yang dituntut oleh Rasulullah.

Pada duna akhir zaman ini, umat Islam seharusnya merebut ganjaran yang akan menjadi bekalan pada akhirat kelak tapi hal duniawi lebih diberi perhatian apatah lagi dengan adanya media sosial ketika ini yang tidak dimanfaatkan dengan betul.

Jika ada tawaran murah di gedung beli-belah pula yang menawarkan harga hebat dengan potongan diskaun berlipat kali ganda, ia lebih menjadi tumpuan yang sememangnya menguntungkan pembeli.

Maka berpusu-pusulah manusia sama ada yang mampu mahupun yang tidak mampu untuk menunaikan keinginan masing-masing.

Jika hal dunia kita boleh mencari dan berusaha bersungguh-sungguh kenapa soal akhirat kita jarang mengambil peduli walaupun tawaran yang sangat menarik diberikan oleh Allah kepada mereka yang sentiasa mencari redaNya.

Melakukan solat secara berjemaah juga antara perkara yang dituntut.

Antara tawaran hebat yang Allah berikan kepada kita dalam masa terdekat ini ialah kelebihan bagi mereka yang melakukan ibadah pada 10 hari terawal dalam bulan Zulhijah.

Firman Allah di dalam Surah Al-Fajr ayat ke 2 yang maksudnya; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).

Kata Ibnu Kathir: Yang dimaksudkan di sini ialah sepuluh malam yang pertama pada bulan Zulhijah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya.

Di dalam hadis Nabi pula menceritakan mengenai kelebihan 10 hari terawal Zulhijah melebihi berjihad di jalan Allah.

Sabda baginda Rasulullah: Tidak ada hari yang amal soleh yang lebih dikasihi Allah selain daripada hari-hari yang sepuluh ini.

Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah?

Rasulullah bersabda: Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid). – [Imam At-Tirmizi No 757].

Hadis menjadi dalil kepada beramal soleh pada 10 hari ini lebih disukai oleh Allah berbanding amalan-amalan pada hari yang lain tanpa sebarang pengecualian. Apabila ia adalah perkara yang paling disukai oleh Allah, maka ia adalah sesuatu yang afdal disisiNya.

Bagi kadar gandaan pahala pula Imam Al-Tirmizi dan Imam Ibnu Majah meriwayatkan hadis daripada Al-Nahhas Bin Qahm, daripada Qatadah, daripada Ibnu Al-Musayyab, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda yang maknanya.

Tiada hari-hari yang paling disukai oleh Allah untuk seseorang melakukan ibadah kepada-Nya selain 10 hari dalam Zulhijah. Puasa setiap harinya menyamai puasa setahun, dan qiamullail setiap malamnya menyamai qiamullail pada malam Al-Qadr. – [Imam At-Tirmizi No 758, Imam Ibn Majah 1728].

Amalan berpuasa pada 10 hari terawal Zulhijah akan mendapat gajaran pahala yang berlipat ganda. Gambar hiasan.

Namun, ulama hadis melemahkan Al-Nahhas Bin Qahm dan hadis ini termasuk dalam kategori hadis yang lemah akan tetapi dalam kelebihan untuk beramal maka ulama membenarkannya sebagai pemangkin untuk beramal dalam 10 hari terawal Zulhijah.

Antara amalan yang perlu dilakukan dalam 10 hari ini ialah:

1. Solat

Seharusnya kita melakukan solat berjemaah dan yang paling baik adalah di masjid dan memperbanyakkan solat sunat kerana ia sebaik-baik amalan.

Thauban RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu. – [Imam Muslim].

2. Puasa

Kerana ia juga termasuk di dalam amalan soleh. Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan. – [Imam Ahmad No 6/287].

Kata Imam An-Nawawi: Berpuasa pada hari-hari sepuluh adalah sunat yang sangat digalakkan.

3. Takbir, Tahlil dan Tahmid

Ini kerana berdasarkan hadis Ibnu Umar yang mengatakan bahawa Rasulullah bersabda: Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah). – [Imam Ahmad No 5446].

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan sepuluh hari Zulhijah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu, solat, puasa, sedekah dan Haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

Setiap helai bulu haiwan diberi Allah 1 kebaikan, lakukanlah ibadah korban Jumaat, 9 Ogos 2019 8:30 AM

Ibadah qurban merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam yang bertujuan sebagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Foto BERNAMA
IBADAH korban merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Tujuannya adalah sebagai amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah.

Dalil pensyariatannya sabit dengan al- Quran dalam surah al-Kauthar ayat 2: Oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhanmu dan sembelihlah korban (tanda kesyukuran).

“Korban” bermaksud nama bagi sesuatu yang dikorbankan, atau nama bagi ternakan yang disembelih pada Aidiladha. Korban bermaksud menyembelih ternakan tertentu dengan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT pada masa-masa tertentu.

Sesungguhnya ibadah korban juga merupakan kaedah terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah sebagaimana juga dengan ibadat solat. Ibadah korban juga dapat menjadi salah satu ukuran aspek takwa seorang hamba kepada yang Maha Esa.

Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 27 yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang yang bertakwa.” Dalam ayat lain selanjutnya Allah berfirman yang bermaksud; “Daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.” – [surah Al Hajj ayat 37].

Antara hikmah ibadah korban adalah untuk membantu golongan susah dan fakir miskin.

Antara hikmah melakukan ibadah korban

1. Ibadah korban disyariatkan sebagai tanda bersyukur terhadap Allah SWT atas segala nikmatNya yang berbagai-bagai dan juga atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun. Pelbagai nikmat yang Allah berikan kepada kita antaranya nikmat kesihatan, kebahagiaan, kemewahan dan yang paling penting adalah nikmat keimanan kepadaNya.

2. Membantu golongan yang susah antara sifat orang mukmin. Mereka sentiasa meringankan beban golongan fakir miskin dengan membelanjakan harta kemewahan yang Allah berikan kepada mereka. Dengan membuat ibadah korban orang yang susah dapat merasai nikmat merasai daging. Sesungguhnya dengan bersedekahlah Allah akan melipat gandakan ganjaran serta memudahkan segala urusan mereka.

3. Ia juga bertujuan menjadi kifarat bagi pelakunya sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan, ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan. Dengan melakukan ibadah korban maka ia akan mendekatkan diri kita kepada Allah disamping mencari reda Allah.

Paling afdal menurut pandangan ulama mazhab Syafie ialah bersedekah semuanya kecuali pada beberapa ketul atau suapan yang agak berpatutan dimakan oleh orang yang berkorban untuk mengambil berkat, seperti sebahagian hati kerana ia sunat dimakan.

4. Ibadah korban yang dilakukan dengan penuh ketaatan, ketakwaan dan keikhlasan akan mendapat ganjaran besar serta berlipat ganda dari Allah SWT. Ini berdasarkan hadis nabi yang bermaksud; “Pada setiap helai bulunya itu kita akan memperoleh satu kebaikan.” – [HR. Ahmad dan Ibnu Majah].

5. Selain itu, pada hari akhirat kelak, binatang yang kita korbankan itu akan menjadi saksi terhadap amalan ketaatan yang dilaksanakan.

Menurut pandangan jumhur ulama, hukum melaksanakan ibadah korban adalah sunat muakkadah bagi individu yang berkemampuan. Pandangan ulama mazhab Syafie adalah sunat ‘ain bagi setiap orang sekali dalam seumur hidup.

Menurut pandangan yang masyhur dalam kalangan ulama mazhab Maliki adalah makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu. Manakala bagi mereka yang berniat untuk melakukan korban nazar maka hukum melaksanakannya adalah wajib.

Mudah-mudahan ibadah korban yang kita lakukan ini mendapat reda Allah serta menjadikan kita hamba Allah yang sentiasa mensyukuri nikmatnya.

Pembahagian daging korban terbahagi kepada dua jenis, iaitu sembelihan korban wajib (nazar) dan sembelihan sunat seperti yang berikut:

Pembahagian daging korban wajib atau nazar

Wajib semua dagingnya termasuk kulit dan tanduk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin, dan haram bagi pihak orang yang berkorban memakan daging korbannya atau memanfaatkan sembelihan itu untuk kepentingan dirinya.

Pembahagian daging korban sunat

Menurut pandangan ulama mazhab Syafie:

1. Untuk dimakan oleh pihak yang berkorban dan ahli keluarganya.

2. Untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin.

3. Untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.

Paling afdal menurut pandangan ulama mazhab Syafie ialah bersedekah semuanya kecuali pada beberapa ketul atau suapan yang agak berpatutan dimakan oleh orang yang berkorban untuk mengambil berkat, seperti sebahagian hati kerana ia sunat dimakan.

Amalan ini pernah dilakukan oleh Nabi SAW ketika Baginda melakukan korban.

Pembahagian daging korban terbahagi kepada dua jenis, iaitu sembelihan korban wajib (nazar) dan sembelihan sunat.

Agihan daging korban

Sebelum melaksanakan pengagihan daging korban, tindakan pertama yang wajib dilakukan ialah mengasingkan antara daging bahagian korban wajib daripada daging bahagian korban sunat sebelum diagihkan kepada penerima.

Hal ini jika perkongsian tujuh bahagian itu berlaku antara mereka yang berniat korban wajib dengan mereka yang berniat korban sunat, atau ada bahagian yang diniatkan untuk akikah.

Ini langkah pertama yang amat penting kerana daging korban wajib, wajib diagihkan kepada yang berhak kesemuanya, begitu juga dengan bahagian akikah yang ada cara pengagihannya yang sedikit berbeza dengan pengagihan korban sunat.

Beberapa urusan lain yang berkaitan dengannya hendaklah diputuskan melalui jawatankuasa yang dibentuk untuk memudahkan pengagihan kepada pihak-pihak yang telah dikenal pasti seperti yang berikut:

1. Memastikan daging korban cukup untuk diagihkan kepada pihak-pihak yang telah disenaraikan;

2. Menyediakan senarai penerima daging korban mengikut keutamaan;

3. Mengutamakan golongan fakir dan miskin yang telah dikenal pasti status mereka;

4. Mengagihkan daging korban kepada mereka yang tinggal di kawasan terpencil;

5. Menyediakan kontena sejuk (jika perlu) untuk menempatkan daging korban sebelum ia diagih ke kawasan pedalaman; dan Mengagihkan daging korban kepada golongan yang berada sekiranya terdapat lebihan daging korban tersebut.

Mudah-mudahan ibadah korban yang kita lakukan ini mendapat reda Allah serta menjadikan kita hamba Allah yang sentiasa mensyukuri nikmatnya.