Suka minum teh lepas makan? Awas kesan buruknya pada kesihatan anda

Teh sering menjadi pilihan ketika minum tanpa mengetahui ia boleh membahayakan kesihatan.
KEBANYAKAN daripada kita apabila menikmati makan tengah hari di restoran pasti akan memesan teh o ais atau teh o ais limau sebagai minuman kerana ia murah dan sedap.

Boleh dikatakan setiap kali makan di kedai tidak kira pagi, petang atau malam itulah air yang akan kita pesan.

Tidak dinafikan teh mempunyai khasiat kepada kesihatan kerana kandungan antioksidan dan polifenol di dalamnya dapat mengurangkan risiko pelbagai penyakit termasuk tekanan darah tinggi, penyakit hati, serangan jantung, diabetes sehinggalah kanser.

Namun dalam kebaikannya ia tetap mempunyai keburukan jika tidak diambil dengan betul termasuklah;

Teh boleh membantu mengurangkan pelbagai risiko penyakit namun jika tersalah ambil ia mampu memudaratkan kesihatan anda. 

1. Teh mengandungi tanin dan polifenol yang dapat mengganggu penyerapan zat besi. Jika sering minum teh selepas makan ia mampu meningkatkan risiko kekurangan zat besi dalam tubuh anda. Semakin pekat teh tersebut makan lebih besar potensi untuk ia mengurangkan penyerapan zat besi dalam usus.

2. Teh hitam atau black tea yang tinggi kandungan polifenol tidak baik diambil sejurus selepas makan. Ini termasuk teh herba serta minuman lain seperti coklat, espresso dan kopi.

3. Bukan semua orang akan mengalami masalah kekurangan zat besi disebabkan minum teh selepas makan, namun risiko itu tetap ada terutama bagi individu yang memang mempunyai sejarah masalah kekurangan zat besi dalam badan.

4. Wanita sedang dalam haid, golongan vegan dan vegetarian juga disarankan untuk tidak mengamalkan tabiat minum teh selepas makan.

Jadi bila sebenarnya waktu paling terbaik untuk menikmati secawan teh?

1. Sebaik-baiknya minum teh selepas satu jam anda makan terutamanya kepada pengamal diet vegetarian atau tidak makan daging merah bagi mengelakkan gangguan penyerapan zat besi dalam tubuh.

2. Jika ingin minum teh selepas makan, adalah lebih baik memilih teh hijau atau teh halia kerana kedua jenis teh ini dapat membantu melancarkan sistem pencernaan dan tidak mudah menyerap zat besi seperti teh lain.