Archives for February 2020

Hebatnya sabar, 90 kali disebut dalam al-Quran! Allah sediakan mahligai bawahnya mengalir air sungai

Sungguh besar sabar itu didalam Islam sehingga didalam Al-Quran disebut perkataan sabar sebanyak 90 kali.
SABAR merupakan perkataan yang sering kita dengar dalam kehidupan seharian, akan tetapi tahukah kita bahawa ia adalah perkataan yang mudah diungkap tetapi susah untuk dilaksanakan melainkan mereka yang benar-benar mempraktikkan nilai kesabaran dalam diri masing-masing.

Sabar membawa maksud menahan atau meninggalkan. Setiap orang tidak terlepas daripada nikmat dan cubaan dalam kehidupan mereka.

Maka kesabaran dalam sesuatu perkara perlulah dititikberatkan supaya pekerjaan yang dilakukan mendapat hasil yang diingini.

Mana mungkin seseorang yang ingin berjaya dalam perniagaan, kehidupan rumah tangga mahupun pelajaran tidak akan mendapat hasil yang baik jika tidak mempunyai sifat sabar.

Sifat sabar merupakan satu sifat yang cukup hebat sehinggakan Allah menyebutnya dalam Al-Quran dalam banyak tempat, tetapi yang paling hebat apabila Allah menyebut didalam Surah Al-Baqarah ayat 153 yang maksudnya; Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.

Ya… Sabar merupakan sifat yang akan mendekatkan diri kita dengan Allah. Sabar juga merupakan kekuatan bagi jiwa orang mukmin.

Terdapat beberapa jenis sabar yang perlu kita ambil perhatian dalam menjadikan kita seorang Muslim yang baik. 

Sabda baginda Rasulullah di dalam satu hadis maksudnya; Iman itu dua bahagian; satu bahagian sabar dan satu bahagian lagi adalah syukur – [HR Baihaqi:9264].

Sungguh besar sabar itu dalam Islam sehingga di dalam Al-Quran disebut perkataan sabar sebanyak 90 kali.

Jenis kesabaran

1. Sabar dalam ketaatan kepada Allah

Ketaatan kepada Allah merupakan perkara yang wajib diikuti oleh semua manusia. Ia merupakan perintah Allah kepada kita. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 21, ertinya: Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.

Sabar dalam mentaati Allah merupakan sabar yang penuh dengan dugaan, ini kerana sudah menjadi tabiat manusia yang tidak suka dikongkong dengan mana-mana peraturan kehidupan. Manusia suka akan kebebasan dan suka kepada benda-benda yang menghiburkan.

Sabar dalam mentaati Allah lebih sempurna daripada sabar menjauhkan diri daripada perkara-perkara maksiat. Sesungguhnya kebaikan dalam melakukan ketaatan lebih dituntut oleh syarak daripada kebaikan meninggalkan maksiat.

Ini kerana manusia yang mentaati Allah bersungguh-sungguh dengan sendirinya akan menjauhkan diri daripada maksiat kepada Allah.

Firman Allah didalam Surah Maryam ayat yang ke 65, ertinya: Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, oleh itu, sembahlah Dia (Allah) dan bersabarlah dengan tekun dan tetap dalam beribadah kepadaNya.

Sabar dalam ketaatan kepada Allah pula kata ulama terbahagi kepada tiga:

I. Sabar sebelum daripada melakukan ketaatan dengan membetulkan niat yang ikhlas kerana Allah dan menjauhi daripada unsur-unsur riyak.

Firman Allah didalam Surah Al-Hud ayat yang ke 11, ertinya; Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.

Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, oleh itu, sembahlah Dia (Allah) dan bersabarlah dengan tekun dan tetap dalam beribadah kepadaNya. 

SURAH MARYAM, AYAT KE 65

Dalam ayat ini Allah mendahulukan kesabaran daripada amalan itu sendiri yang membawa erti setiap amalan yang hendak dikerjakan. Maka kita perlulah bermula daripada kesabaran dengan membetulkan niat yang ikhlas supaya setiap apa yang dibuat akan mendapat keredaan Allah.

II. Sabar dalam keadaan sedang mengerjakan sesuatu ketaatan supaya tidak lalai, tidak malas dan tidak khusyuk. Maka kita akan melaksanakan segala tuntutan seperti mana yang diajarkan dan diterangkan oleh baginda Rasulullah.

Firman Allah didalam Surah Al-Ankabut ayat yang ke 58 dan 59, ertinya; (ayat 58) Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di syurga yang mengalir di bawahnya beberapa batang sungai, mereka kekal didalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh. (59) (iaitu) mereka yang sabar dan mereka yang berserah diri bulat-bulat kepada Tuhannya.

III. Sabar selepas daripada beramal: Iaitu janganlah melihat diri sendiri dengan pandangan yang ujub (bangga dengan diri sendiri) supaya setiap amalan yang dikerjakan tidak menjadi sia-sia.

2. Sabar dalam meninggalkan maksiat dan perkara-perkara haram

Sesungguhnya Allah menjadikan sesuatu sebagai ujian untuk menilai keimanan seseorang itu terhadapNya. Firman Allah didalam Surah Al-Anbiya’ ayat yang ke 35, ertinya; Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Manusia memerlukan kesabaran dalam menjalani kehidupan yang sementara di dunia dan sabar daripada melayan nafsu yang membinasakan.

Allah menjelaskan kepada kita bahawa setiap apa yang ada pada orang yang tidak beriman dan melakukan maksiat bukan bererti mereka mendapat nikmat, akan tetapi ia adalah satu bala yang mana ramai manusia tidak mengetahuinya.

Kehilangan orang yang dikasihi  antara dugaan diberikan Allah namun kita hendaklah bersabar menempuhnya. Gambar hiasan.

Contoh-contoh yang jelas dalam Al-Quran seperti Firaun yang mempunyai kekuasaan dan kekayaan tetapi Allah melaknat akan dia disebabkan ketidakimanan kepada Allah. Begitu juga dengan Qarun yang mempunyai harta yang cukup banyak tetapi harta itu tadi merupakan malapetaka baginya.

3. Sabar dalam sesuatu ujian dan ketentuan Allah yang menyakitkan

Tidak ada seseorang yang terlepas daripada kesakitan badan, kesakitan jiwa, kerugian harta benda dan kehilangan orang yang dikasihi.

Ujian ini datang tidak kira baik atau jahat, mukmin atau kafir tetapi yang membezakannya adalah bagaimana orang mukmin menghadapi setiap musibah itu dengan keredaan dan ketenangan kerana mereka yakin ia adalah ujian Allah untuk menguji hamba-hambanya.

Ia juga perlu dilihat sebagai satu tangga untuk meningkatkan keimanan. Firman Allah didalam Surah Al-Baqarah ayat 155, ertinya; Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

Setiap ujian manusia itu berbeza diantara satu sama lain maka dengan kita bersabar dan yakin kepada Allah, ia akan menjadikan seorang hamba itu lebih reda menangani setiap masalah yang dihadapi.

Sabda baginda Rasulullah didalam sebuah hadis, ertinya; Daripada Syuhaibin telah berkata, telah bersabda baginda Rasulullah: “Sungguh ajaib urusan orang mukmin, semua urusannya adalah baik, dan tidak ada seperti itu melainkan mukmin sahaja. Jika ditimpa kesenangan ia akan bersyukur, maka itu baik baginya. Jika ditimpa kesusahan pula ia bersabar maka itu baik juga untuknya – [HR Muslim:2999].

Sungguh besar pengorbanan mu Rasulullah untuk membawa umat Islam ke syurga

بسم الله الرحمن الرحيم

ISLAM merupakan agama yang menjaga manusia daripada semua aspek kehidupan. Islam juga datang untuk membawa kemaslahatan bagi sekalian alam.

Maka tidak timbul isu bahawa Islam merupakan agama yang diturunkan hanya kepada orang-orang Arab ataupun sekumpulan manusia sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Hebatnya sabar, 90 kali disebut dalam al-Quran! Allah sediakan mahligai bawahnya mengalir air sungai

Ini kerana, Islam datang untuk membawa rahmat kesejahteraan kepada semua bangsa dan agama. Ini dibuktikan dalam firman Allah dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 107: Ertinya: Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk membawa rahmat bagi sekalian alam.

Definasi rahmat dalam Islam

Perkataan rahmat ini sebenarnya berasal daripada perkataan Arab iaitu (رحمة). Jika kita lihat kamus dewan mengenai perkataan rahmat, ia didefinisikan sebagai belas kasihan, kurnia, bahagia dan hikmah.

Terjemahan rahmat daripada sudut bahasa arab pula tidak jauh bezanya dengan makna dalam bahasa Melayu. Dari sudut istilah pula ia adalah satu sifat yang menghubungkan kebaikan dan kemaslahatan kepada hambaNya.

Ini kerana, sesiapa yang inginkan kebaikan maka ia akan dapatinya dalam agama Islam dan sesiapa yang meninggalkan agama Islam maka ia telah membuangnya.

Islam sebagai rahmat buat sekalian alam telah direalisasikan oleh Rasulullah sendiri dalam kehidupan baginda.

Sesungguhnya sifat Ar-Rahman adalah hak milik Allah dan Maha Pemurahnya Allah itu, maka Allah telah mengurniakan kalimah rahman kepada hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Firman Allah lagi didalam Surah Al-A’raf ayat 52:Ertinya: Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman.

Di dalam hadis Nabi SAW pula, baginda dengan jelas menyatakan bahawa Allah menurunkan rahmat ke bumi seperti mana hadis berikut: Maksudnya: Allah menjadikan rahmat (kasih sayang) seratus bahagian, maka dipeganglah disisiNya sembilan puluh sembilan bahagian dan diturunkanNya satu bahagian ke bumi. Dari yang satu bahagian inilah seluruh makhluk berkasih sayang sesamanya, sehingga seekor kuda mengangkat kakinya kerana takut anaknya terpijak olehnya.

Rasulullah pembawa rahmat

Menurut Ibnu Abbas dalam Tafsir Ibnu Kathir, Allah mengutus Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat buat seluruh manusia, baik mukmin mahupun kafir. Rahmat bagi orang mukmin iaitu Allah memberinya petunjuk dengan sebab diutusnya Rasulullah SAW.

Baginda penyebab dimasukkan orang-orang beriman ke dalam syurga dengan iman dan amal mereka terhadap ajaran Allah.

Sedangkan rahmat bagi orang kafir berupa tidak disegerakannya bencana yang menimpa umat-umat terdahulu yang mengingkari ajaran Allah.

Al-Quran juga menegaskan bahawa rahmat Tuhan meliputi segala perkara.

Al-Quran juga menegaskan bahawa rahmat Tuhan meliputi segala perkara. Firman Allah didalam Surah Al-A’raf ayat ke 156.

Ertinya: Dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu, maka akan aku tetapkan rahmat-Ku untuk orang-orang yang bertaqwa, menunaikan zakat, dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat kami, – (QS Al-A’raf:156).

Ibn Qayyim menyatakan bahawa kasih sayang itu adalah sifat memberikan manfaat kepada orang lain juga sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada manusia serta makhluk alam lain atau menjauhkannya daripada bencana.

Menurut  Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi dalam Tafsir al-Qurtubi ketika mengulas Rahmatan Lil alamin memetik kata-kata Said bin Jubair daripada Ibnu Abbas, beliau berkata: Muhammad SAW adalah rahmat bagi seluruh manusia. Bagi yang beriman dan membenarkan ajaran beliau, akan mendapat kebahagiaan. Bagi yang tidak beriman kepada beliau, diselamatkan dari bencana yang menimpa umat terdahulu berupa ditenggelamkan ke dalam bumi atau ditenggelamkan dengan air.

Hal ini diungkapkan sendiri oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang disampaikan oleh Salman yang menyebutkan: Sesungguhnya aku diutuskan adalah menjadi rahmat buat sekalian alam. – [Sunan Abu Daud No 7/54].

Islam sebagai rahmat buat sekalian alam telah direalisasikan oleh Rasulullah sendiri dalam kehidupan baginda. Ini diterjemahkan sendiri oleh baginda Rasulullah SAW melalui komunikasi harian baginda terhadap mereka yang berada disekelilingnya.

Antara contoh-contoh bahawa Rasulullah SAW pembawa rahmat ialah:

Wanita diletakkan dalam kedudukan tertinggi dalam Islam.

1. Rahmat terhadap wanita

Sebelum kedatangan Islam, wanita dan anak-anak perempuan adalah golongan manusia yang tidak bernilai pada sesebuah masyarakat melainkan sebagai tempat melepaskan nafsu lelaki dan berkhidmat kepada lelaki sahaja.

Mereka tidak berhak mendapat harta pusaka dan tidak diberikan peluang mendapat pendidikan. Wanita juga tidak diberikan peluang memilih bakal suaminya, bahkan terpaksa menerima siapa sahaja lelaki yang ditentukan keluarganya.

Dengan kedatangan Islam kedudukan wanita adalah sama taraf dengan lelaki dari segi hak-hak keduniaan seperti harta pusaka dan pemilikan harta.

Jika ada perbezaan sedikit pun seperti dalam hukum pewarisan harta pusaka, ia disebabkan kaum lelaki diwajibkan menanggung dan melindungi wanita yang kehilangan bapa atau suami.

Islam juga memberikan wanita hak untuk memilih pasangan dan berhak meminta difasakhkan jika walinya memaksanya berkahwin dengan seseorang yang tidak disukainya.

Aisyah RA meriwayatkan bahawa seorang wanita dengan dua orang anak perempuan datang kepadanya meminta bantuan makanan.

Beliau tidak memiliki makanan melainkan sebiji kurma, lalu beliau memberikannya kepada wanita itu. Wanita itu membahagikan kurma itu kepada dua anaknya. Setelah anaknya makan, wanita itu bangun dan beredar pergi.

Apabila Rasulllah SAW sampai ke rumahnya, Aisyah menceritakan hal itu kepada baginda lalu baginda bersabda: Sesiapa yang menjaga anak-anak perempuan itu dan berbuat ihsan kepada mereka, mereka itu adalah pelindung daripada api neraka. – [HR Bukhari no: 5536].

Mendidik anak-anak menerusi kasih sayang dan ciuman. Allah tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia lain.

2. Rahmat terhadap kanak-kanak

Rasulullah SAW mengajar kita berakhlak mulia walau dengan sesiapapun. Antara akhlak mulia ialah mengucapkan salam apabila bertemu dengan orang Islam walaupun kepada kanak-kanak kecil sebagai tanda sifat rendah hati dan menghormati serta menyayangi kanak-kanak kecil.

Daripada Aisyah RA dia berkata: Sekelompok orang Badwi datang menemui Rasulullah SAW, mereka berkata; Apakah kalian mencium anak-anak kalian? Para sahabat menjawab, Ya. Maka orang-orang Arab Badwi itu berkata; Demi Allah, kami tidak pernah melakukannya.

Maka Nabi SAW bersabda: Aku memiliki apa yang telah Allah hilangkan dari sikap kasih sayang kalian. – [HR Sunan Ibnu Majah No: 3655].

Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mengasihi dan menyayangi anak mereka. Mendidik anak-anak menerusi kasih sayang dan ciuman. Allah tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia lain.

Sabda Nabi SAW: Daripada Jarir bin Abdullah berkata; Rasulullah SAW bersabda: Allah tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia. – [HR Sahih Bukhari  No: 6828].

Sebagai anak kita perlu menghormati ibu bapa serta orang yang lebih tua.

3. Rahmat terhadap orang tua

Sabda baginda Rasulullah SAW: Daripada Ibnu Abbas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: Bukanlah termasuk golongan kami, mereka yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak pula menghormati orang tua kami, serta tidak menyuruh kepada yang makruf (kebaikan) dan melarang daripada yang munkar (keburukan) – [Sunan Tirmizi No: 1921].

Orang yang tidak mengasihi anak-anak kecil dan menghormati orang tua, mereka tidak mengikuti sunah Rasulullah SAW dan adab seorang Muslim. Menghormati orang tua atau orang yang lebih tua daripada kita termasuk sunnah Nabi.

Kasih sayang bukan sahaja ditunjukkan sesama manusia tetapi juga kepada haiwan seperti kucing. 

4. Rahmat terhadap haiwan

Sabda Rasulullah SAW: Daripada Ibnu Umar dari Nabi SAW baginda bersabda: Seorang wanita memasuki neraka kerana dia mengikat seekor kucing, tidak memberi makan kepadanya dan tidak melepaskannya mencari makan dari sisa buangan. – [HR Sahih Bukhari No: 3318].

Balasan syurga juga berkait rapat antara amalan peribadi seperti solat, puasa, zakat, baca al-Quran dan lain-lain.

Seseorang yang menjaga amalan juga boleh masuk ke dalam neraka kerana tidak menjaga amal baik sesama makhluk lain seperti binatang dengan menyeksa mereka tanpa memberi makan minum kepada binatang peliharaan ataupun memukul tanpa belas kasihan.

Ini adalah antara kasih sayang Nabi SAW yang perlu kita contohi dan ikuti supaya negara kita sentiasa aman dan damai. Kami rindu kamu ya Rasulullah.

Jika ada 4 tanda ini… Benarlah anda orang yang mencintai Rasulullah

Mencintai Rasulullah merupakan kewajipan bagi setiap muslim dan semuanya mengaku ingin mencintainya.
SESEORANG yang hamil boleh diketahui akan kehamilannya dengan melihat tanda-tanda seperti muntah, mual, mengidam dan sebagainya.

Begitu juga seorang yang menghidap sakit jantung, antara tandanya ialah kebas tangan dan juga lengan secara berpanjangan, rasa tidak selesa pada dada, rasa keletihan sepanjang masa dan lain-lain lagi. Kesemua ini merupakan petanda bagi sesuatu perkara.

Begitu juga apabila kita mengatakan cinta kepada baginda Rasulullah. Apakah tanda dan bukti bahawa kita mencintai Rasulullah kerana mencintai Rasulullah merupakan kewajipan bagi setiap muslim. Boleh dikatakan semua orang Islam mengaku ingin mencintainya, namun tidak semua pengakuan itu benar dan tidak semua keinginan itu baik.

Oleh kerana itu diperlukan bukti dan tanda yang dapat dijadikan dalil kebenaran pengakuan cinta terhadap Rasulullah. Ini kerana apabila pengakuan tidak dibuktikan dengan dalil yang nyata, maka tentulah banyak orang membuat kerosakan dan kekacauan dengan pengakuan-pengakuan dusta.

Maka wajib atas setiap muslim mengetahui bukti dan tanda kecintaan kepada Rasulullah dan mengamalkan serta merealisasikannya dalam kehidupan seharian mereka.

Jadi, bukti dan tanda-tanda tersebut menunjukkan kecintaannya yang hakiki, semakin banyak memiliki bukti dan tanda tersebut maka semakin tinggi dan sempurna kecintaannya kepada Rasulullah.

Antara yang disebutkan oleh para alim ulama mengenai bukti kecintaan kepada baginda Rasulullah ialah:

Apabila diizinkan Allah untuk berjumpa dengan baginda Rasulullah mungkin tidak ada perkataan yang akan terkeluar dari mulut kita kecuali linangan air mata kegembiraan.

1. Sentiasa ingin bertemu dan berjumpa dengan baginda Rasulullah

Ini berdasarkan dalam sebuah hadis nabi: Sabda baginda Rasulullah: “Demi Dzat yang jiwa Muhammad ada dalam genggamanNya, sungguh akan datang suatu masa, di mana seseorang tidak akan melihatku lagi, kemudian jika seandainya dia mahu melihatku, maka hal itu lebih ia cintai dari pada keluarga dan hartanya” – (HR muslim 2364).

Ini dibuktikan dengan kita melakukan ibadah Haji dan Umrah. Tidak akan rasa lengkap apabila ke Tanah Haram, melainkan kita akan menziarahi Masjid Nabawi dan akan menziarahi makam Rasulullah. Walaupun dengan kesesakan lautan manusia tetapi bukti kecintaan kita kepada baginda Rasulullah tidak ada tolak bandingnya.

Setiap dari kita ingin berjumpa junjungan besar baginda Rasulullah walaupun seketika. Dan apabila diizinkan Allah untuk berjumpa dengan baginda Rasulullah mungkin tidak ada perkataan yang akan terkeluar dari mulut kita kecuali linangan air mata kegembiraan. Begitu hebat baginda Rasulullah di hati kita.

Kita sanggup mengeluarkan belanja yang banyak, sehingga ada yang menjual barang kemas, mengadai tanah ataupun rumah semata-mata untuk ke tanah suci. Kita juga sanggup untuk meninggalkan keluarga beberapa hari dengan tujuan untuk membuktikan bahawasanya kita sangat mencintai baginda Rasulullah.

Sebahagian generasi muda yang menyertai perarakan bersempena Maulidur Rasul baru-baru ini.

2. Mengamalkan sunnah baginda Rasulullah

Mencontohi, mengikuti Rasulullah dan berjalan di atas manhaj Baginda serta berpegang teguh dan mengamalkan seluruh perkataan dan perbuatan Baginda, adalah bukti kuat bahawa seseorang itu cintakan Rasulullah.

Bahkan orang yang benar-benar mencintai Rasulullah adalah orang yang mengikuti Rasulullah SAW secara zahir dan batin serta selalu menyesuaikan perkataan dan perbuatannya dengan sunnah Rasulullah.

Orang yang mencintai Rasulullah adalah orang yang bersemangat, berpegang teguh dan menghidupkan ajaran Baginda.

Ia dizahirkan dengan mengamalkan sunnahnya, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya dalam perkataan dan perbuatan serta mendahulukan itu semua daripada hawa nafsu dan kelazatannya sebagaimana firman Allah didalam Surah At-Taubah ayat 24:

Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga dan harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”

Ramai di antara kita yang sudah mula meninggalkan sunnah baginda Rasulullah dan mengikut gaya barat dan menjadikan mereka sebagai ikutan sehinggakan kita melupai sunnah baginda.

Menghidupkan sunnah dan mengikuti Rasulullah dalam setiap langkah kehidupannya adalah bukti kecintaan kepada Rasulullah sebagaimana juga menjadi bukti kecintaan kepada Allah. Allah berfirman didalam Surah Al-Imran ayat 31:

Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepada Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.

3. Sentiasa berselawat kepada baginda Rasulullah

Mereka yang cinta dan sayang akan sentiasa menjadi sebutan dan ingatan. Jika seseorang yang mengasihi isterinya maka ia akan sentiasa memuji-muji dan begitu juga si isteri jika ia sayang kepada suaminya ia akan sentiasa menyebut-yebutnya.

Firman Allah didalam Surah Al-Ahzab ayat 56: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepada Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”

Jika Allah dan para malaikat sentiasa mengigati Rasulullah, kita sebagai umat baginda seharusnya sentiasa mengigati baginda yang telah banyak bekorban untuk menyampaikan risalah Islam dengan pelbagai rintangan, dugaan dan cabaran sehingga sanggup mengorbankan nyawa demi untuk menegakkan kalimah tauhid.

Ulama menyatakan faedah yang boleh didapati dari Selawat ke atas Nabi ialah: Seorang ketika banyak menyebut kekasihnya, mengingatinya dihati, mengingati kebaikan-kebaikan dan perkara-perkara yang boleh melahirkan perasaan cinta kepadanya maka semakin berlipat ganda kecintaannya kepada kekasihnya tersebut dan bertambah rindu kepadanya.

Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepada Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.

SURAH AL-AHZAB (AYAT 56)

Apabila dia tidak menyebutnya sama sekali, tidak mengingatinya dan kebaikannya, maka akan berkurangan rasa cinta dihatinya.

Apabila keadaan ini kuat dihatinya maka lisannya terus memuji dan menyebut kebaikan-kebaikannya. Bertambah dan berkurangnya keadaan ini sesuai dengan perasaan cinta dihatinya dan anggota menjadi saksi kebenaran itu dengan mengamalkannya.

Semoga dengan kita mengetahui tanda-tanda orang yang mencintai Rasulullah akan menambahkan lagi kasih sayang kita dan juga kerinduan kepada junjungan besar baginda Rasulullah dan tidak akan sesekali cinta kita kepada baginda Rasulullah terpadam sehingga akhir hayat.

Hayatilah kisah baginda Rasulullah dan ceritakanlah kepada ahli keluarga supaya setiap kita mengikuti sifat keperibadian baginda Rasulullah.

Kata para alim ulama’ sekalipun Baginda tidak diberikan mukjizat oleh Allah, sifat dan akhlak baginda Rasulullah tetap menyebabkan orang akan tertarik dan terpikat kepadanya.

Nabi sudah lama pesan, 6 penyakit akan menimpa umat akhir zaman!

PADA akhir zaman ini terdapat penindasan berlaku di mana-mana sahaja termasuklah sesama umat Islam sendiri kerana sifat tamak dalam diri manusia.Jutaan saudara kita ditindas dengan pelbagai cara seperti wanita dirogol dan dibunuh dan kanak-kanak dibunuh, tanah dan rumah mereka dirampas, dibakar, dihalau dari kampung halaman, hatta dihalau dari negara asal masing-masing.

Kita dapat lihat keadaan ini berlaku di merata dunia seperti kepada umat Islam Rohingya di Myanmar, penduduk asal Islam di Palestin, Ahli Sunnah di Syria, bangsa Islam Ughyur di China, bangsa Moro Islam di Selatan Filipina, penduduk Islam di selatan Thai, muslim di Bosnia dan muslim di Iraq.

Kalau kita teliti beberapa hadis Nabi Muhammad SAW, Nabi SAW sudah menceritakan keadaan yang berlaku sekarang ini dan kenapa ia berlaku kepada umat Islam atau apa salah dan dosa umat Islam diperlakukan dan dihina sehina-hinanya?

Daripada Tsauban r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Hampir tiba satu waktu di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni hidangan mereka.”

Semakin ramai yang suka mengumpul harta dan terlalu mewah. – Gambar sekadar hiasan

Maka salah seorang sahabat bertanya: “Adakah hal itu kerana bilangan kamu sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab: “Bahkan kamu pada hari itu ramai sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir dan Allah SWT akan mencabut rasa gentar terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit wahan.”

Seorang sahabat bertanya: “Apakah penyakit wahan itu wahai Rasulullah?”  Nabi SAW menjawab: “Cinta dunia dan takut mati” [HR Abu Dawud].

Ternyata daripada hadis di atas Rasulullah SAW pernah menyatakan berlakunya keadaan ini kerana kesalahan umat akhir zaman ini yang mempunyai antaranya dua penyakit yang amat kronik, walaupun jumlah umat Islam dalam dunia sekarang adalah lebih I.8 billion (setakat 2012).

Dua penyakit dikatakan itu ialah;

Pertama: Cintakan dunia sehingga memperhambakan diri dan seluruh kehidupan kepada dunia. Apa-apa sahaja yang ditawarkan dunia akan disentap dengan rakusnya sehinggakan mereka lupa halal haram dan dosa pahala, lupa kita akan mati dan akan dipertanggungjawabkan atas setiap apa yang kita lakukan di dunia.

Kedua: Takutkan mati. Akhirnya kerana terlampau cintakan dunia dengan segala kemewahan dan kenikmatannya menyebabkan mereka takutkan kematian, nak buat kerja agama takut diancam dan dibunuh sedangkan umat terdahulu sanggup bergolok gadai hatta terbunuh di medan peperangan demi mewariskan Islam kepada kita hari ini.

Ramai anak muda kini lebih mementingkan keseronokkan tanpa mengetahui halal dan haram.

Malangnya umat Islam akhir zaman takutkan kematian sebab itulah kata Nabi SAW kita dikerumuni seperti makanan dikerumuni.

Ada penyakit lain lagi tak disebut oleh Nabi SAW yang menjadi sebab keadaan ini berlaku?

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Umatku akan ditimpa penyakit yang pernah menimpa umat terdahulu.” Sahabat bertanya: “Apakah penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat terdahulu itu?”

Nabi SAW menjawab: Penyakit-penyakit itu ialah [HR Hakim]:

1. Terlalu banyak bersukaria
2. Terlalu mewah
3. Mengumpulkan harta sebanyak mungkin
4. Penipuan dalam merebut harta benda dunia
5. Saling memarahi
6. Dengki-mendengki, sehingga menzalimi antara satu sama lain

Dunia Islam telah dilanda krisis rohani yang sangat serius dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terjebak menghambakan diri kepada dunia dan memuaskan hawa nafsu serakah.

MasyaAllah, kalau kita perhatikan masyarakat kita hari ni betapa penyakit yang Rasulullah SAW sebutkan dalam hadis ini telah menular seperti wabak yang sangat bahaya dan tidak dapat dibendung penularannya dan menjadi penyakit kronik.

Dunia Islam telah dilanda krisis rohani yang sangat serius dan meruncing. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terjebak menghambakan diri kepada dunia dan memuaskan hawa nafsu serakah.

Akibat turutkan hawa nafsu, tentunya segala cara akan digunakan termasuk segala tipu muslihat tidak mengira halal haram dan dosa pahala.

Ketika itu lenyaplah nilai-nilai akhlak yang murni dan tinggallah kecurangan, khianat-mengkhianati, dengki mendengki dan zalim menzalimi… Nauzubillah.

Peperangan banyak mengorbankan nyawa insan tidak berdosa.

Apa ubatnya untuk menyembuhkan penyakit-penyakit ini?

Beberapa ubat dan vaksin kepada penyakit kronik akhir zaman ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT yang mencipta kita dan baginda Nabi SAW adalah seperti berikut:

Firman Allah SWT: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Agama Islam) [Ali Imran:103].

Rasulullah SAW berpesan kepada kita: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kalau kamu berpegang dengannya nescaya kamu tak akan sesat selamanya iaitu: al-Quran dan sunnahku.”

Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda: “Semua umatku akan masuk ke dalam syurga melainkan yang enggan.”

Sahabat berasa kehairanan lalu bertanya; “Ya Rasulullah! Siapa yang tidak mahu masuk syurga?” Rasulullah SAW menjawab: “Siapa yang taat kepadaku bererti dia mahu masuk syurga dan siapa yang menyalahi ajaranku maka itulah yang tidak mahu masuk syurga – [Riwayat Bukhari].

Maka marilah kita kembali ke pangkal agama Islam kita dan berpegang kuat kepada ajaran-ajarannya, insya-Allah kita akan diselamatkan oleh Allah di dunia dan akhirat.

Semoga sama-sama kita sebarkan perkongsian ini dan menjadi sebahagian dari amal jariah kita, insyaAllah.

Nabi Muhammad akan tolong kita masuk syurga dengan 4 perkara, rebutlah peluang terakhir ini

Banyak berzikir dengan mengucapkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW akan memudahkan seseorang itu mendapat syafaat baginda.
SEMUA orang berkeinginan untuk masuk syurga dan tiada sesiapa yang berhajat untuk menjadi penghuni neraka walaupun sesaat sekali pun.

Namun, tujuan Allah menjadikan syurga dan neraka itu ada sebab-sebabnya.

Bagi mereka yang engkar dengan suruhan Allah, disediakan tempat seksaan neraka yang maha dahsyat tidak terperi sakitnya.

Sesungguhnya jurang neraka itu terlalu curam dan kedalamannya sama seperti 70 tahun perjalanan untuk sampai ke dasarnya.

Perkara itu turut dijelaskan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim iaitu; Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh. Lalu Baginda bertanya: “Tahukah kamu semua tahu suara apakah itu?” Kami menjawab: “Allah dan rasulNya lebih mengetahui.”

Baginda bersabda yang maksudnya: “Itu adalah suara batu yang dilemparkan ke dalam neraka jahanam sejak 70 tahun yang lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya.”

Pelbagai acara dilakukan umat Islam seluruh dunia termasuklah perarakan setiap kali tibanya 15 Rabiualwal setiap tahun bagi mengingati Rasulullah.

Namun begitu, syurga juga mempunyai nikmat yang tidak terperi hebatnya bagi mereka yang soleh.

Syurga itu digambarkan cukup indah, penghuninya boleh besenang-lenang dengan pelbagai jenis buah-buahan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya syurga terdiri daripada seratus tingkat, jarak antara dua tingkatnya seperti jarak antara langit dan bumi, Allah menyediakannya untuk orang yang berjihad pada jalanNya.” – [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Dalam surah ar-Rahman, ayat 52 Allah berfirman yang maksudnya; “Pada kedua-dua syurga itu terdapat dua macam daripada tiap-tiap jenis buah-buahan (yang biasa dan yang luar biasa).”

Selain ini, firman Allah SWT pada surah yang sama ayat 54 pula yang maksudnya: “Mereka (ahli syurga bersenang-senang di tempat masing-masing dalam syurga itu dengan) berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya daripada sutera tebal yang bersulam, dan buah-buahan kedua-dua syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik.”

Hadis daripada Anas Bin Malik Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: Syafaatku untuk orang yang melakukan dosa besar dalam kalangan ummatku.

HADIS RIWAYAT IMAM AHMAD

Namun begitu, sifat kasih dan penyanyang Allah melebihi segala-galanya kerana Dia tetap inginkan umat Islam menjadi penghuni syurga.

Maka, Allah memberi peluang terakhir kepada umat Islam untuk masuk ke syurga semasa perhitungan di Mahsyar kelak dengan pertolongan daripada Nabi Muhammad SAW.

Hanya Nabi SAW sahaja peluang terakhir umat manusia mendapatkan pertolongan itu sebagai jalan.

Syafaat Rasulullah

Bersempena Rabiulawal iaitu bulan kelahiran Rasulullah, marilah kita hayati betapa besarnya pengorbanan Nabi SAW untuk membawa umat Islam ke syurga dengan memberikan syafaatnya.

Syafaat terbahagi kepada dua iaitu Syafaat umum dan Syafaat khusus. Syafaat umum ialah syafaat yang dikurniakan kepada para Nabi, ulama dan syuhada.

Syafaat khusus pula hanyalah dikurniakan kepada Nabi kita Muhammad SAW iaitu alSyafaat al-Uzma.

Syafaat ini bermaksud permohonan oleh baginda nabi SAW kepada Allah supaya disegerakan sesi perbicaraan dan pengadilan setelah lama sengsara menunggu di perhimpunan Mahsyar.

Ketika itu semua manusia sudah tidak tahan dengan kesengsaraan yang dialami di Mahsyar lalu mereka beramai-ramai pergi berjumpa Nabi Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa agar supaya dipercepatkan proses perbicaraan dan pengadilan.

Bagaimanapun kesemua Nabi tersebut enggan menolong malah ada yang mengatakan bahawa ketika itu Allah sedang murka yang amat sangat dan tidak pernah Allah murka sebegitu rupa sebelumnya.

Akhirnya orang ramai sepakat pergi berjumpa Nabi Muhammad SAW untuk memohon kepada Allah SWT supaya perbicaraan dan pengadilan segera dijalankan.

Nabi Muhammad SAW bersetuju lantas sujud bermunajat kepada Allah di bawah Arasy, permohonan nabi itu dikabulkan dan pengadilan pun dimulakan.

Selain dari Syafaat al-Uzma ada lagi syafaat-syafaat yang lain yang dianugerahkan kepada Nabi SAW seperti berikut:

1. Syafaat yang diberi kepada para aulia dan solihin untuk meninggikan tingkat kedudukan mereka di dalam syurga.

2. Syafaat untuk menjemput orang-orang yang masih ada saki baki iman dalam diri mereka walau sebesar gandum, mereka dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan kedalam syurga. Syafaat ini diperolehi oleh Rasulullah SAW dengan rasa belas kasihan baginda SAW lalu berdoa sambil menangis kepada Allah.

Al-Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis melalui Ibnu Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Nabi SAW berdoa; “Ya Allah! Umatku umatku (mereka masih berada di dalam neraka). Permintaan Nabi dikabulkan Allah dengan firmannya: “…Kami sesunggunnya reda terhadap umatmu dan kami tidak akan menyakitkan hatimu (maksudnya mereka dikeluarkan dari neraka).

Membaca al-Quran juga boleh membantu seseorang itu untuk masuk syurga selain amalan solat yang tidak ditinggalkan.

3. Syafaat yang diberikan kepada Nabi SAW untuk membantu orang yang timbangan amal kebaikannya dan kejahatannya sama berat. Maka dengan pertolongan tersebut akhirnya orang itu berjaya memasuki Syurga.

4. Syafaat yang diberikan kepada Nabi SAW untuk memasukkan orang-orang tertentu ke dalam syurga tanpa hisab dan azab. Mereka yang sangat bernasib baik ini akan masuk kedalam syurga melalui laluan khas yang telah ditentukan.

Al-Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis melalui Abdul Rahman bin Abu Bakar Radhiallahu Anhu beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Tuhanku telah mengurniakan kepadaku seramai 70,000 dalam kalangan umatku mereka masuk syurga tanpa hisab.

Saidina Umar bertanya kepada Nabi SAW; “Tidakkah tuan minta ditambah bilangan itu? Rasulullah menjawab ya! Saya telah memohon tambahan, lalu Allah mengurniakan kepadaku tambahan setiap seorang membawa 70,000 orang bersama.

Umar berkata: Tidakkah tuan meminta tambah lagi? Rasulullah menjawab ya! Setiap seorang membawa 70,000 lagi. Umar bertanya lagi: Tidakkah Tuan meminta tambah lagi? Rasulullah SAW menjawab ya! Aku telah meminta tambah tetapi setakat itu sahaja yang diberi.

5. Syafaat yang dikurniakan kepada Nabi SAW untuk menyelamatkan orang yang telah melakukan dosa besar dari seksaan api neraka.

Hadis daripada Anas Bin Malik Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Syafaatku untuk orang yang melakukan dosa besar dalam kalangan ummatku.” – [Imam Ahmad].

Berdasarkan kepada keterangan di atas, adakan kita bakal termasuk dalam golongan umat Islam yang akan mendapat syafaat Nabi? Apakah amalan kita agar tergolong agar orang yang memperoleh syafaat itu?

Perkara yang membolehkan untuk mendapat syafaat Nabi SAW

1. Umat Islam mesti yakin bahawa kehadiran Nabi Muhammad SAW ke alam ini adalah membawa rahmat kepada seluruh alam.

2. Umat Islam hendaklah sedar bahawa mandat untuk memberikan syafaat adalah kurniaan dan keizinan Allah.

3. Umat Islam yang ingin mendapatkan syafaat Nabi SAW mestilah tidak pernah menyengutukan Allah SWT.

4. Orang-orang yang ingin mendapatkan syafaat dari Nabi SAW mestilah memperbanyak amalan dan selawat kepada baginda.

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. – [al-Taubah: 128].

Artikel ini disusun berdasarkan khutbah Jumaat berjudul Syafaat Sebagai Peluang Terakhir terbitan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Bukan saja hutang sesama manusia perlu dibayar, kepada Allah juga hendaklah dilunaskan

Mengeluarkan zakat adalah wajib dan jika seseorang itu terlupa membayarnya maka waris hendaklah berbuat demikian jika individu itu meninggal dunia.
MANUSIA memang tidak dapat lari daripada berhutang samada terpaksa berhutang kerana kesempitan hidup atau pun kerana tidak mampu membiayai persekolahan terutama di peringkat diploma dan ijazah atau pun kerana membiayai sesuatu projek dan sebagainya.

Dalam Islam hutang terbahagi kepada dua jenis iaitu hutang dengan Allah dan hutang dengan manusia. Jarang orang kisahkan hutang dengan Allah. Atau tak pernah kita dengar orang hutang dengan Allah dibankrupkan, yang selalu kita dengar “Oh dia tu dah bankrup tak bayar hutang dengan bank.”

Mari kita selidik apa hutang manusia dengan Allah. Hutang dengan Allah bermaksud kita sebagai hamba berhutang dengan Allah sebagai Pencipta kita dalam bentuk amalan wajib atau fardu ain yang masih belum ditunaikan atau mungkin hutang dalam bentuk fardu kifayah yang belum dapat dilaksanakan.

Kalau kita perhatikan fardu ain kita dengan Allah sangat banyak ke atas manusia yang mukallaf seperti kita wajib mengerjakan rukun Islam yang lima seperti solat, berzakat, berpuasa, mengerjakan haji yang mana semuanya mempunyai syarat-syarat yang tertentu.

Apabila cukup syarat masing-masing maka kita wajib melaksanakannya.

Tetapi sama ada kita tidak melaksanakannya disebabkan enggan dengan sengaja, lalai atau dengan tidak sengaja maka wajib bagi kita melaksanakannya dengan menggantikannya yang kita namakan sebagai qada.

Lebih teruk lagi keadaannya kalau kita telah meninggal dunia dalam keadaan kewajiban atau “hutang” tersebut tidak kita tunaikan.

Hutang Solat

Malangnya ada kewajiban yang tidak boleh digantikan oleh orang lain hatta waris kita seperti solat. Solat merupakan kewajiban ke atas individu yang mukallaf dan tidak boleh digantikan solat tersebut oleh orang lain melainkan kita sendiri.

Apabila kita tidak solat dengan sengaja tiba-tiba mati tanpa sempat membayar hutang solat kepada Allah, maka kita akan menanggung dosa meninggalkan solat sendiri dan akan diseksa oleh Allah. Nauzubillah. Maka sebab itu kita kena jaga solat dan terus menggantikan solat kita yang tertinggal.

Solat adalah tiang agama dan meninggalkannya adalah haram. Ia wajib digantikan jika anda tidak mahu berhutang dengan Allah. Gambar sekadar hiasan.

Akan tetapi kalau kita meninggalkan membayar zakat puasa yang mana sudah cukup syaratnya maka boleh digantikan oleh orang lain seperti anak-anak pewaris kita.

Mereka boleh mengqada/membayar hutang zakat kita dengan membayar fidyah dan puasa ganti. Mungkin dalam kalangan kita memang tidak pernah meninggalkan membayar zakat tetapi zakat apa yang kita tidak pernah tinggalkan?

Adakah cuma zakat fitrah setiap sebelum hari raya yang cuma RM7 atau RM8  sahaja. Bagaimana pula dengan zakat lain seperti zakat perniagaan, wang simpanan dan zakat KWSP semasa dikeluarkan.

Allah akan mengazab dengan cara harta zakat yang kita tidak keluarkan datang dalam bentuk api neraka dan akan mengatakan bahawa ‘akulah harta zakat yang kamu tidak keluarkan dan akan mengazab kamu’. Nauzubillah.

Ramai dalam kalangan kita yang bekerja di sektor swasta dan mempunyai simpanan KWSP.

Setiap kali kita keluarkan KWSP kita yang melebihi nisab maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5 peratus.

Sekarang ni senang je nak keluarkan zakat pergi je ke kaunter zakat mereka akan kirakan untuk kita dan bayar. Senangkan? Kalau tak pernah keluarkan zakat itulah hutang kita dengan Allah SWT yang wajib dibayar.

Kalau kita dah meninggal maka wajib dibayar daripada harta peninggalan kita sebelum kita bahagikan sebagai harta pusaka.

Tapi ada jaminan tak kalau kita mati dan tinggalkan harta untuk anak kita dan pewaris kita akan bayar hutang kita dengan Allah atau dapat je harta pusaka mereka akan tukar kereta baharu dan sebagainya?

Sebab itu digalakkan kita bayar semasa kita hidup takut-takut kita yang kena seksa dan anak-anak senang linang menghabiskan harta kita.

Zakat emas yang kita simpan atau pakai atau niagakan pun adakah kita dah bayar zakat atau tak?

Saham yang kita niagakan adakah dah dibayar zakat atau tidak? Tetapi kita perlu ingat zakat cuma boleh dibayar melalui sumber yang halal sahaja.

Kalau saham yang kita niagakan itu daripada kaunter yang tidak patuh syariah maka perniagaan itu sendiri haram mungkin kerana riba, judi atau gharar.

Hutang Haji

Hutang dengan Allah juga boleh dalam bentuk hutang menunaikan haji ke Makkah. Dalam keadaan kita dah cukup syarat dan kemampuan ke Makkah untuk menunaikan haji tetapi kita tangguhkan bukan dengan sebab yang dibenarkan.

Bayangkan jika kita mati, maka kita telah berhutang dengan Allah dan waris wajib berusaha agar badal haji buatbsi mata dilakukan.

Dalam bentuk yang lain sepeti kita bernazar dan mati belum sempat menunaikan nazar maka kita wajib membayar hutang nazar kita dengan Allah.

Kifarat atau denda yang belum dilaksanakan juga wajib dibayar. Contohnya kifarah sumpah, zihar iaitu sebagai contoh kita pernah bersetubuh dengan isteri pada siang hari bulan Ramadan yang membatalkan puasa, maka wajib kita bayar hutang Allah dengan puasa selama dua bulan berturut-turut.

Jika tak mampu, maka hendaklah dengan memberi makan kepada fakir miskin seramai 60 orang.

Atas alasan tersebut maka setiap orang perlu berusaha melangsaikan hutangnya bukan sahaja kepada manusia sebaliknya kepada Allah.

Takut nanti apabila kita mati, kita akan meninggalkan harta tetapi pewaris kita tidak mengetahui bahawa kita ada hutang yang wajib tetapi belum dilunaskan

Beratnya tak bayar hutang sehingga Nabi enggan solat jenazah si mati! Ketahui 10 perkara tentang orang berhutang

Hutang wajib dibayar walaupun si peminjam sudah meninggal dunia. Gambar hiasan.
PADA minggu lepas kita telah bincangkan kewajipan kita perlu membayar hutang termasuk hutang dengan Allah.

Kategori kedua ialah berhutang dengan manusia. Hutang dalam Islam adalah perkara yang sangat serius sehingga kita akan dihalang daripada memasuki syurga terutama apabila kita tidak membayar balik hutang samada kerana tidak mampu atau enggan atau disebabkan masalah-masalah lain.

Mari kita teliti beberapa hadis nabi SAW tentang orang yang tidak membayar hutang.

Dalam satu hadis nabi SAW bersabda; “Akan diampunkan segala dosa orang yang mati syahid kecuali orang yang berhutang.”

Kegagalan membayar hutang boleh menyebabkan pergaduhan. Gambar hiasan.

Dalam hadis yang lain nabi SAW bersabda; “Demi jiwaku dalam kekuasaan Allah, sekiranya seorang lelaki terbunuh pada jalan Allah (mati syahid), dan sekiranya Allah menghidupkan dia semula, kemudian dia terbunuh pada jalan Allah lagi dan sekiranya Allah menghidupkan dia semula kemudian dia terbunuh pada jalan Allah sekali lagi, tetapi dia meninggalkan hutang maka dia tidak akan masuk syurga sehinggalah hutangnya diselesaikan.”

Baginda nabi Muhammad SAW dalam satu hadis yang panjang mafhumnya, apabila diminta solatkan jenazah baginda SAW bertanya kepada sahabat: Jenazah ada hutang tak? Sahabat menjawab: Tidak ada ya Rasulullah, maka nabi SAW solatkan jenazah tersebut.

Apabila datang jenazah yang lain nabi SAW bertanya ada hutang tak? Sahabat menjawab: Ada ya Rasulullah, Rasulullah bertanya lagi, ada harta tak? Sahabat menjawab: Ada harta yang ditinggalkan sebanyak 3 dinar, maka nabi SAW solatkan jenazah tersebut.

Maka berkata Abu Qattadah: Ya Rasulullah! hutang si mati saya akan tanggung, maka nabi SAW akhirnya solatkan jenazah tersebut.

Kemudian datang jenazah yang ketiga untuk disolatkan, nabi SAW bertanya adakah dia meninggalkan sesuatu harta, mereka menjawab tidak ada, nabi SAW bertanya ada hutang tak?, mereka menjawab ada hutang sebanyak 3 dinar, maka jawab nabi SAW: kamu solatkanlah jenazah sahabat kamu (dan nabi tidak akan solatkan jenazah tersebut).

Maka berkata Abu Qattadah: Ya Rasulullah! hutang si mati saya akan tanggung, maka nabi SAW akhirnya solatkan jenazah tersebut.

Oleh kerana beratnya kesan akibat tidak dapat menyelesaikan pembayaran hutang, maka mari kita teliti beberapa permasalahan hutang dan apa prinsip Islam secara ringkas seperti persoalan berikut:

1. Kita wajib bayar hutang ke walaupun pemberi hutang dah meninggal?

Jawapan: Wajib bayar kepada pewarisnya.

2. Saya dah cari pemberi hutang tapi tak jumpa?

Jawapan: Wajib cari pemberi hutang dengan segala cara sampai putus asa.

3. Dah cari sampai putus asa, tapi tidak berjumpa juga, masih kena bayar ke?

Jawapan: Wajib sedekahkan kepada asnaf seperti fakir miskin jumlah hutang tersebut dengan cara niatkan untuk bayar hutang kepada pemberi hutang tersebut.

4. Tiba-tiba, selepas sedekah ganti bayaran hutang tersebut, datang pemberi hutang pula, kena bayar hutang lagi tak?

Jawapan: Wajib bayar lagi kepada pemberi hutang tersebut dan apa yang telah disedekahkan, Allah beri pahala sedekah tersebut.

5. 20 tahun dulu saya beri hutang RM50 sekarang dibayar RM50 jugak ke rugi lah?

Hutang hendaklah dibayar dalam nilai semasa. Contohnya hutang sebanyak RM50 dulu berapa nilai tersebut pada masa sekarang.

6. Jiran saya selalu berhutang dengan saya tapi saya takut dia terasa hati kalau saya minta.

Jawapan: Tidak salah dan tidak berdosa apabila kita minta hutang penghutang terasa hati. Tetapi jangan keji dan maki, minta dengan cara yang baik, kalau dia tak mampu bayar kita disarankan bagi tempoh lanjutan, atau nabi SAW bersabda sedekahkan hutang tersebut lebih baik bagi kita. Allah akan berikan 18 pahala bagi orang yang beri hutang dan 10 pahala bagi yang sedekahkan. Maka kita akan dapat 28 pahala.

7. Penghutang bayar hutang tetapi halalkah sumber duitnya?

Jawapan: Kita tidak diwajibkan untuk menyelidik sumber halal atau haram.

8. Hutang saya sebagai isteri saya wajib bayar sendiri ke?

Jawapan: Hutang isteri menjadi tanghungjawab suami membayarnya. Sebab itu isteri kena isytiharkan kepada suami.

9. Saya tak ingat jumlah hutang?

Jawpaan: Ambil jumlah yang diyakini.

10. Saya tak ingat ada hutang ke tak?

Jawapan: Ambil pendirian yang paling kita yakini.

Maka atas alasan tersebut, kita sewajarnya mengisytiharkan hutang kita samada hutang dengan Allah atau hutang kita dengan manusia. Takut-takut apabila kita mati, walaupun dalam keadaan kita meninggalkan harta tetapi pewaris kita tidak mengetahui bahawa kita ada hutang yang wajib dilunaskan. Banyak lagi permasalahan hutang, kalau ada soalan tuan puan boleh e-melkan ke sham.harc@gmail.com Waallahua’lam

4 ancaman untuk orang berhutang, kata-katanya juga dusta

Hukum membayar hutang adalah wajib. Ini kerana, hak mereka tidak boleh dinafikan melainkan jika mereka menghalalkannya. Gambar Sekadar Hiasan
ISLAM mengharuskan seseorang itu berhutang untuk memenuhi keperluan hidup khususnya dalam perkara-perkara daruriyyat (tersangat penting).

Umat Islam pula dituntut mengamalkan sikap tolong menolong antara satu sama lain termasuk memberikan bantuan sama ada melalui sedekah ataupun pinjaman bagi meringankan bebanan dan memenuhi keperluan yang ditanggung.

Firman Allah didalam Surah Al-Maidah ayat 2: Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksaNya.

Terdapat dua keadaan seseorang yang ingin berhutang:

1. Seseorang yang terpaksa berhutang demi memenuhi keperluan kehidupan seperti mendapatkan makanan, tempat tinggal, pakaian, pelajaran dan seumpamanya.

2. Seseorang yang sengaja berhutang demi memenuhi tuntutan nafsu semata-mata seperti hiburan dan perhiasan, tambahan pula peluang pinjaman mudah diperolehi.

Ada yang menerima ugutan dan terpaksa mendapatkan bantuan peguam gara-gara tidak melangsaikan hutang. Gambar Sekadar Hiasan

Disebabkan itu hukum berhutang di dalam Islam dibahagikan seperti berikut:

• Haram

Jika digunakan untuk tujuan yang diharamkan seperti minum arak, judi dan sebagainya.

• Makruh

Jika digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau untuk menunjuk-nunjuk atau penghutang tahu dia tidak mampu membayar semula hutang itu.

• Wajib

Jika seseorang itu amat memerlukan untuk menampung hidupnya dan keluarganya dalam memenuhi keperluan asasi seperti makan, minum, tempat tinggal, pakaian untuk menutupi aurat dan lain-lain.

Hukum membayar hutang adalah wajib. Ini kerana, hak mereka tidak boleh dinafikan melainkan jika mereka menghalalkannya.

Sebaik-baiknya janganlah berhutang untuk perkara tidak berfaedah.

Disebabkan itu terdapat banyak hadis yang menceritakan mengenai ancaman bagi mereka yang enggan membayar hutang antaranya:

1. Tidak akan terangkat amalannya

Sabda Rasulullah: Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya sehinggalah dia menjelaskan hutangnya. – [HR tarmizi]

2. Dosa hutang tidak akan diampunkan

Sabda Rasulullah SAW: Akan diampunkan segala dosa orang yang mati syahid kecuali orang yang berhutang. – [HR muslim]

3. Bagi mereka yang mampu tetapi enggan membayar ia adalah zalim

Sabda Rasulullah SAW: Penundaan orang yang mampu (untuk membayar hutang), adalah perbuatan zalim. – [HR Al-Bukhari]

4. Solat Rasulullah ke atas mereka tidak dapat memberi manfaat bagi mereka yang ada hutang

Anas bin Malik berkata: “Kami pernah bersama Rasulullah SAW, lalu baginda mendatangi seseorang yang sedang disolatkan. Baginda pun bertanya; “Apakah sahabat kalian ada memiliki hutang?” Mereka menjawab, “Ya.”

Lalu baginda bersabda: “Lalu apa manfaatnya bagi kalian jika aku mensolatkan orang yang rohnya pun tidak naik ke langit? Jika ada orang yang menjamin hutangnya, aku akan mengerjakan solat untuknya kerana sesungguhnya solatku akan bermanfaat baginya.” – [HD At-Tabrani]

Bersempena dengan cuti sekolah ini, maka perlulah kita berhemah di dalam perbelanjaan seharian supaya tidak terjerat didalam beban hutang. Elakkan daripada berbelanja melebihi kemampuan hanya semata-mata untuk berjalan-jalan.

Bak kata pepatah melayu, ukurlah baju di badan sendiri agar setiap tindak tanduk yang kita lakukan tidak akan memusnahkan diri sendiri.

Ada rangkap lagu yang menyebut: Buai laju-laju biar sampai pokok sena, bayar hutang itu takut nanti kau merana. Fikir-fikirkanlah agar kita selamat di dunia dan juga di akhirat.

 

Ada diantara mereka juga sanggup berhutang semata-mata mahu berkahwin dengan membuat majlis secara besar-besaran supaya mendapat pujian orang ramai.

Apa guna majlis yang dipuji kalau semua wang itu kita ambil secara hutang dan membebankan kita pada masa hadapan.

Ada rangkap lagu yang menyebut: Buai laju-laju biar sampai pokok sena, bayar hutang itu takut nanti kau merana.

Fikir-fikirkan lah agar kita selamat di dunia dan juga di akhirat.

Baginda Rasulullah mengajarkan kepada kita satu doa untuk melunaskan hutang dan doa ini terdapat dalam Al-Ma’thurat iaitu: Ya Allah,aku berlindung dengan-Mu dari ditimpa kesusahan dan kedukaan, dari kelemahan dan kemalasan, dari sifat kedekut dan perasaan takut juga dari bebanan hutang serta paksaan orang. – [HR Daud]

Baginda juga meminta perlindungan dari berhutang. Ini kerana sabda Nabi SAW: Sesungguhnya seseorang apabila berhutang dia akan cenderung berkata dusta dan berjanji lalu mengingkarinya. – [HR Al-Bukhori]

Wabak penyakit antara 6 tanda akhir zaman, azab dari kejahatan manusia

Wabak koronavirus telah tersebar ke beberapa negara lain.
BERIMAN kepada Allah yang Maha Pencipta lagi Maha Pengatur sesuatu perkara merupakan satu rukun iman yang wajib dipercayai bagi setiap umat Islam.

Setiap apa yang terjadi pasti ada hikmahnya sama ada kita mengetahui ataupun tidak.

Setiap ujian yang Allah berikan kepada kita adalah untuk menilai sejauh manakah pergantungan kita kepada Allah selain mengajarkan untuk bersedia menempuh ujian akhir zaman sebagaimana yang pesan Rasulullah SAW.

Mutakhir ini, kita dapat melihat bukti kekuasaan Allah dengan tersebarnya koronavirus yang berpunca daripada kejahatan tangan-tangan manusia yang membuat kerosakan di atas muka bumi.

Ia terjadi kerana mereka tidak mengikut panduan yang telah ditetapkan Allah kepada kita.

Firman Allah di dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak mereka merasakan sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Kelawar yang dijadikan makanan antara punca wabak koronavirus terjadi.

Tanda akhir zaman

Baginda Rasulullah juga telah mengkhabarkan mengenai peristiwa akhir zaman yang mana akan berlaku penyebaran wabak. Sabda baginda Rasulullah: Dari ‘Auf bin Malik RA berkata: Aku pernah menemui Nabi SAW ketika terjadi perang Tabuk dan baginda sedang berada di dalam sebuah khemah yang terbuat dari kulit. Lalu baginda bersabda: Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang hari kiamat iaitu:

1. Kematianku

2. Pembebasan Baitulmaqdis (dalam riwayat lain: pemakmuran Baitulmaqdis)

3. Kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba

4. Melimpahnya harta benda sehingga ada lelaki yang diberi seratus dinar namun masih marah (kerana merasa kurang)

5. Timbulnya fitnah sehingga tidak ada satu pun rumah orang Arab (dalam riwayat lain: rumah orang Islam) melainkan ia akan memasukinya

6. Akhir sekali perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan bangsa kulit kuning (Bani al-Asfar iaitu Rom), lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kalian di bawah lapan puluh (80) panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri daripada dua belas ribu (12,000) tentera. – [HR al-Bukhari 2940].

Jika kita merenung dan bermuhasabah dengan apa yang berlaku maka kita akan mengetahui bahawa setiap yang berlaku adalah disebabkan perbuatan kezaliman kita sendiri.

Pintu masuk di semua lapangan terbang Malaysia turut dipantau rapi selepas wabak koronavirus tersebar.

Punca tersebarnya penyakit

Baginda Rasulullah pernah menyebut di dalam sebuah hadis mengenai azab yang Allah akan turunkan kepada umat manusia jika kita melakukan kerosakan itu.

Sabda Rasulullah: Wahai sekalian kaum Muhajirin, ada lima hal yang jika kalian terjatuh ke dalamnya, dan aku berlindung kepada Allah supaya kalian tidak menjumpainya.

1. Tidaklah nampak zina di suatu kaum, sehingga dilakukan secara terang-terangan kecuali akan tersebar di tengah-tengah mereka taun (wabak) dan penyakit-penyakit yang tidak pernah menjangkiti generasi sebelumnya.

2. Tidaklah mereka menipu dalam timbangan kecuali akan ditimpa dengan kemarau berpanjangan serta kezaliman penguasa atas mereka.

3. Tidaklah mereka menahan zakat (tidak membayarnya) kecuali hujan dari langit akan ditahan dari turun ke atas mereka, dan sekiranya bukan kerana haiwan-haiwan (yang sentiasa berzikir kepada Allah), nescaya manusia tidak akan diberikan hujan.

4. Tidaklah mereka melanggar perjanjian mereka dengan Allah dan Rasul-Nya, kecuali Allah akan menjadikan musuh mereka dari kalangan orang kafir berkuasa atas mereka, lalu musuh tersebut mengambil sebahagian apa yang mereka miliki.

5. Dan selama pemimpin-pemimpin mereka (kaum muslimin) tidak berhukum dengan Kitabullah (al-Quran) dan mengambil yang terbaik dari apa-apa yang diturunkan oleh Allah (syariat Islam), melainkan Allah akan menjadikan permusuhan di antara mereka.” – [HR Ibnu Majah 4009].

Koronavirus jadi ancaman terbaharu kesihatan manusia hari ini.

Justeru, musibah menerusi penyakit ialah sesuatu wabak dan penyakit yang membahayakan tidak ada sesiapa yang mampu untuk menghapuskannya melainkan dengan izin Allah.

Firman Allah di dalam Surah Yunus ayat 107: Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurnia-Nya.

Allah melimpahkan kurnia-Nya itu kepada sesiapa yang dikendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Antara yang nabi anjurkan ketika berlakunya wabak dan penyakit berjangkit ini ialah bersabar atas ujian Allah serta tidak keluar daripada tempat wabak penyakit.

Sabda Rasulullah: Dari Aisyah berkata; “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah tentang masalah taun lalu baginda memberitahu kepada aku bahawa taun adalah sejenis seksaan yang Allah kirimkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Sesungguhnya Allah menjadikan hal itu sebagai rahmat bagi kaum muslimin. Tidak ada seorang pun yang menderita jika dia bertahan di tempat tinggalnya dengan sabar mengharapkan pahala dan mengetahui bahawa dia tidak terkena musibah melainkan kerana Allah telah mentakdirkan kepadanya maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang mati syahid”. – [HR Bukhari 3215]2.

Kembali kepada Allah

Allah telah menurunkan al-Quran kepada baginda Rasulullah supaya disampaikan kepada umatnya. Oleh itu setiap apa yang diminta oleh Allah maka hendaklah kita melaksanakannya.

Jika kita melihat penularan wabak koronavirus disebabkan oleh makanan yang dimakan adalah tidak halal dan tidak baik seperti ular dan kelawar yang menjadi punca wabak.

Umum mengetahui Islam mempunyai garis panduan yang jelas mengenai soal makanan kerana tidak semua yang hidup itu boleh menjadi bahan santapan kerana ia ada mudaratnya kepada manusia tetapi mungkin tidak kepada makhkuk lain.

Sentiasa berdoa kepada Allah agar terhindar daripada segala jenis penyakit berbahaya.

Oleh itu setiap makanan yang hendak dijamah bukan sahaja perlu halal bahkan hendaklah baik dan suci serta tidak memudaratkan.

Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 168 yang maksudnya; Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.

Demikian juga firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 157 yang maksudnya: Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

Contoh haiwan yang dianggap baik untuk dimakan seperti binatang ternakan antaranya, unta, lembu, biri-biri, kambing, kuda dan seladang.

Sementara itu semua binatang buas yang bertaring kuat untuk menangkap mangsa adalah haram.

Haiwan tersebut antaranya anjing, babi, serigala, beruang, kucing, ibn awi iaitu sejenis binatang yang besar sedikit daripada musang dan lebih kecil daripada anjing dan kukunya panjang.

Selain itu, gajah, singa, harimau, kera dan seumpamanya haram dimakan. – (Rujuk Kitab al-Fiqh al-Manhaji, 1/499).

Burung yang haram dimakan ialah yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan, seperti burung hering, semua jenis burung helang, iaitu saqr, baz, syahin dan burung rajawali.

Daripada Ibn Abbas R.A beliau berkata yang maksudnya: Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam. – Riwayat Muslim (1934) dan Abu Daud (3803).

Pihak penguatkuasa menunjukkan tenggiling yang dirampas dalam aktiviti penyeludupan. Haiwan berkenaan mendapat permintaan tinggi bagi penggemar makanan eksotik. Umat Islam dilarang memakan haiwan bertaring dan berkuku tajam seperti ini.

Dalam pada itu semua binatang yang disunatkan bunuh adalah haram untuk dimakan. Contohnya, ular, kala jengking, gagak, helang, tikus dan semua binatang yang memudaratkan.

Binatang tersebut dan seumpamanya adalah haram dimakan sama ada dianggap elok oleh orang Arab ataupun tidak. Ini kerana hadis telah menghukumkannya sunat dibunuh dan kebanyakannya pula menjijikkan orang Arab. (Rujuk Kitab al-Fiqh al-Manhaji, 1/500).

Daripada Aisyah R.A, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya; Kesemua lima jenis binatang adalah fasik, yang boleh dibunuh walaupun di Tanah Haram, iaitu gagak, helang, kala jengking, tikus, dan anjing ganas. – Riwayat al-Bukhari (1732) dan Muslim (1198).

Berdoa kepada Allah

Nabi Muhammad SAW mengajarkan kepada kita supaya kita sentiasa berdoa kepada Allah agar terhindar daripada segala penyakit dan wabak.

Antara doa yang boleh kita amalkan ialah: Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ia dibaca sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga Subuh.

Dan barang siapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” – [HR Abu Daud 5088]

Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk. – [HR Abu Daud 1554].

Semoga Allah sentiasa memelihara kita di dunia dan juga di akhirat serta dijauhkan segala penyakit dan sentiasa menjadikan Negara Malaysia yang tercinta dalam keadaan aman dan damai.

Setahun anai-anai makan tongkat Nabi Sulaiman, baharulah semua makhluk sedar baginda wafat Jumaat, 25 Januari 2019 7:00 AM

 

Setahun anai-anai makan tongkat Nabi Sulaiman, baharulah semua makhluk sedar baginda wafat

Anai-anai antara haiwan yang istimewa kerana ia ialah makhluk Allah pertama yang mengetahui kewafatan Nabi Sulaiman.
KISAH Nabi Sulaiman yang mempunyai mukjizat boleh bercakap dengan haiwan dan menjadi tuan kepada golongan jin telah diceritakan dalam al-Quran.Sulaiman yang merupakan putera kepada Nabi Daud pada zaman kanak-kanaknya merupakan seorang budak yang bijak.

Baginda telah dilatih oleh ayahandanya untuk menggantikan tempat sebagai pemerintah walaupun ia tidak disenangi oleh abangnya yang merampas takhta daripada Daud.

Akhirnya si abang mati dibunuh oleh tentera Nabi Daud yang membuat serangan balas selepas rampasan kuasa.

Selepas Nabi Daud wafat, Nabi Sulaiman menjalankan tugas sebagai pemerintah untuk menegakkan syiar Islam.

Selain boleh menundukkan jin dan haiwan, Allah memberi kelebihan kepada Nabi Sulaiman dengan mengalirkan tembaga di bawah tanah untuk membolehkan baginda membangunkan kotanya yang dilakukan oleh jin.

Jin sentiasa patuh dan taat dengan perintah Nabi Sulaiman dan mereka sesekali tidak akan mengengkarinya kerana takut diseksa.

Kelebihan bercakap dengan haiwan ini turut diceritakan bagaimana Nabi Sulaiman bersama pengikutnya melalui satu lembah dikenali sebagai Lembah Semut di satu tempat bernama Asgalan.

Ketika melihat kedatangan Nabi Sulaiman bersama pengikutnya itu, salah seekor semut meminta rakan-rakannya agar masuk ke sarang kerana bimbang dipijak baginda Sulaiman dan tentera secara tidak sengaja.

Anai-anai terus meminta izin untuk memakan tongkat Nabi Sulaiman yang diperbuat daripada kayu manis kerana kelaparan yang tidak boleh dibendung namun terus tiada jawapan daripada baginda.

Mendengar perkara itu, Nabi Sulaiman ketawa melihat semut yang berada dalam ketakutan.

Kekayaan Nabi Sulaiman turut diceritakan ketika baginda menerima tetamu iaitu Puteri Balqis.

Semasa beliau dibawa berjalan dalam satu kawasan istana yang dibangunkan oleh jin, Puteri Balgis telah menyelak kainnya kerana disangkakan beliau telah memijak kawasan kolam air yang dikhuatiri akan basah.

Namun berkata Nabi Sulaiman kepada Puteri Balqis, yang dipijaknya itu ialah kaca-kaca putih yang dibina pada lantai dan dinding ruangan itu bagi menyambut kedatangannya.

Nabi Sulaiman antara raja yang terkaya di muka bumi ini dengan lantai dan bumbung istananya terdiri daripada emas.

Namun semasa baginda wafat, tiada sesiapapun mengetahuinya melainkan seekor anai-anai.

Diceritakan seekor anai-anai yang terbang bersama kumpulannya telah ditimpa musibah apabila sayapnya patah lalu dia telah terjatuh dalam istana Nabi Sulaiman.

Haiwan itu kemudian bergerak ke kawasan mihrab yang terdapat Nabi Sulaiman.

Kagum kekayaan nabi

Anai-anai yang kelaparan ketika itu kagum melihat kekayaan Nabi Sulaiman dengan  kayu manis berbalut emas permata iaitu hiasan tempat ibadat baginda.

Sesungguhnya kayu manis ialah antara makanan kesukaan haiwan itu.

Anai-anak melihat Nabi Sulaiman meletakkan dagu pada tongkatnya yang sangkaan anai-anai, baginda sedang khusyuk berzikir kepada Allah.

Ketika itu anai-anai memberanikan diri mendekati baginda dan memberi salam dengan memberitahu sayapnya patah dan perutnya lapar kerana sudah beberapa hari tak makan.

Anai-anai mahu meminta izin untuk mencari jalan keluar dari istana baginda.

Malangnya Nabi Sulaiman berdiam menyebabkan anai-anai terus mendekati tubuh baginda dan melihat mata baginda yang tidak berkelip dengan memandang ke lantai.

Minta izin makan tongkat

Anai-anai terus meminta izin untuk memakan tongkat Nabi Sulaiman yang diperbuat daripada kayu manis kerana kelaparan yang tidak boleh dibendung namun terus tiada jawapan daripada baginda.

Akhirnya selepas malam berlalu, anai-anai hinggap pada bahagian bibir dan melihat bibir baginda menjadi putih. Ketika berada di kawasan hidung pula, anai-anai tidak merasai hembusan nafas baginda.

Lalu mengertilah anai-anai bahawa Nabi Sulaiman telah wafat dan sebab itulah bagnida tidak menjawab salamnya.

Anai-anai terus berdoa kepada Allah sambil dia memakan tongkat kayu manis nabi menyebabkan tongkat tersebut menjadi rapuh dan patah sehinggakan Nabi Sulaiman terjatuh dari tempatnya.

Ketika itulah baharulah seluruh pembesar istana, jin-jin dan rakyat jelata mengetahui Nabi Sulaiman sudah wafat.

Hal itu turut diceritakan dalam al-Quran yang maksudnya; Setelah Sulaiman Kami wafatkan, maka tiadalah yang menunjukkan kematiannya melainkan binatang bumi (anai-anai) yang memakan tongkatnya. Setelah dia tertelengkup, baharulah jelas bagi jin-jin bahawa jika mereka mengetahui benda yang ghaib tentu mereka tidak akan tinggal dalam seksaan yang menghinakan itu. – Surah As-Saba (ayat 14).

Diceritakan anai-anai memakan tongkat itu selama setahun dan disebabkan jin-jin tidak tahu perkara yang ghaib iaitu kewafatan Nabi Sulaiman, mereka terus bekerja mendirikan mahligai seperti diarahkan.

Jika mereka mengetahui kewafatan baginda, nescaya jin-jin tersebut akan berhenti melakukan pekerjaan yang dianggap satu seksaan dan pekerjaan yang hina bagi mereka.

Pengajaran daripada kisah ini dapat disimpulkan agar kita tidak memandang rendah kepada semua makhluk.

Ini kerana anai-anak yang dilihat lemah dan kecil itu turut berperanan menjadi penyebab untuk orang lain mengetahui akan wafatnya Nabi Sulaiman yang tidak boleh direndahkan peranannya.

Dalam masa yang sama kisah ini memberi erti walau setinggi mana darjat seseorang, pengakirannya ialah mati manakala jin pula tidaklah sebijak mana.

Mereka yang hidup dalam alam ghaib sendiri tidak sedar akan perkara ghaib iaitu kewafatan Nabi Sulaiman.