Hebatnya maksud kalimah duduk antara 2 sujud… Ketahui gerak kaki Rasulullah ketika rukun solat itu

BENARLAH sesungguhnya ilmu itu jika terus digali maka bertambah bermakna hidup ini.

Begitulah juga jika setiap insan yang menunaikan solat lima waktu selain sembahyang sunat memahami maksud bagi setiap bacaan yang dilafazkan.

Misalnya, rukun solat iaitu duduk di antara dua sujud yang ada lapan kalimah penuh mendalam maksudnya.

Berikut maksud setiap bait lafaz ketika rukun berkenaan untuk manfaat semua.

Sebagai umat Islam kita perlu faham setiap apa yang dibaca dalam solat agar lebih khusyuk.

1. Rabbighfirli (Tuhanku, ampunilah aku)

Ya Allah, ampunilah semua dosa-dosaku. Hamba hanya manusia berlumuran dosa yang tidak luput dari kesalahan, sedangkan Engkau adalah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun, ampunilah dosa-dosaku dan jauhkan hamba dari segala macam perbuatan dosa.

2. Warhammi (Kasihinilah aku)

Sayangilah hambamu yang lemah dan tak berdaya ini. Jangan sampai hamba ditinggalkan sendiri tanpa belas kasihmu.

3. Wajburni (Cukupkanlah segala kekuranganku)

Ya Allah, cukupkanlah segala kekuranganku. Jangan sampai hati ini selalu merasa kurang yang akan selalu menyeksaku dan malah semakin menjauhkan aku darimu Ya Allah. Jadikan hamba ini orang yang selalu bersyukur atas apa yang Engkau berikan kepadaku.

4. Warfa’ni (Angkatlah darjatku)

Tingkatkan pangkat iman dan taqwa ku di hadapanmu Ya Allah. Dan angkatlah darjatku di hadapanmu Ya Allah. Jangan sampai diriku dihinakan olehmu di dunia mahupun akhirat.

Moga akan lebih khusyuk ketika mengerjakan solat jika maksud setiap bacaan itu diketahui.

5. Warzuqni (Berikan rezeki kepadaku)

Berikanlah hambamu rezeki kecil berupa sandang, pangan dan papan untuk menopang ibadahku, berikan pula hambamu rezeki besar berupa udara, air, tanah dan api. Dan mudah-mudahan Engkau limpahkan kepadaku nikmat yang agung, iaitu nikmat iman dan Islam.

6. Wahdini (Berilah aku petunjuk)

Tunjukkan jalan Islam yang benar dan lurus kepadaku Ya Allah. Jangan biarkan aku tersesat saat menempuh perjalanan duniawi yang penuh cubaan dan godaan ini. Berikanlah aku keteguhan dan kekuatan iman yang kukuh.

7. Wa’afini (Berikan kesihatan kepadaku)

Betapa besarnya nikmat sehat yang Engkau berikan kepadaku selama ini. Mudah-mudahan sihatku ini dapat aku gunakan untuk beribadah kepadamu bukan untuk menentang perintahmu. Sihatkan rohaniku, bersihkan hambamu ini dari segala penyakit hati yang boleh merosak iman di dadaku.

8. Wa’fu’anni (Berikan ampunan kepadaku)

Ampunilah segala kesalahan dan dosa-dosaku. Tanpa keampunanmu, celakalah hambamu ini Ya Allah. Jangan biarkan hambamu ini mengulang-ngulang kesalahan yang sama.

Moga akan lebih khusyuk ketika mengerjakan solat jika maksud setiap bacaan itu diketahui.

Cara duduk antara dua sujud yang betul.

Bukan itu sahaja, malahan sunnah untuk mengikut amalan Rasulullah dan ia sememangnya dituntut Islam. Hal berkaitan solat Nabi Muhammad SAW misalnya wajar diteladani.

Ketahuilah bahawa Rasulullah apabila bangun dari sujud, maka beliau akan membaca takbir. Setelah itu Baginda akan duduk dengan tenang.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna sholat seseorang hingga dia sujud sampai ruas tulang belakangnya mapan, kemudian mengucapkan “Allahu Akbar” kemudian mengangkat kepalanya (bangkit dari sujud) hingga duduk dengan tegak.” (HR Abu Dawud No. 857).

Malahan, cara duduk di antara dua sujud Rasullullah pula dengan membentangkan kaki kirinya, lalu duduk di telapak kaki kirinya itu.

Kemudiannya Baginda akan menegakkan telapak kaki kanannya serta menghadapkan jari-jari kaki kanannya ke arah kiblat.

Begitu telitinya Rasulullah ketika melaksanakan rukun itu dan bagi semua umat Islam tentunya afdal meneladani sunnah ini.

Speak Your Mind

*