Archives for April 2021

Bukan hanya bulan Ramadan, kurma sesuai dimakan sepanjang tahun… ini 5 khasiatnya yang patut anda tahu

Buah kurma mempunyai pelbagai khasiat.

BUAH kurma cukup sinonim dengan Ramadan yang mana ia dimakan ketika berbuka puasa dan bersahur namun tahukah anda ia mempunyai pelbagai kelebihan untuk kesihatan?

Ia sebenarnya bukan sahaja baik dimakan ketika Ramadan tetapi boleh diamalkan sepanjang tahun kerana manfaatnya yang cukup besar.

Berikut adalah lima kebaikan buah kurma yang mungkin tidak anda ketahui;



Kurma kaya dengan serat.

1. Baik untuk pencernaan

Serat yang terdapat di dalam buah kurma sangat baik untuk sistem pencernaan manusia selain sayuran dan buah-buahan. Dalam 100 gram kurma terdapat tujuh gram serat.

Serat membantu mencegah sembelit, selain melancarkan aktiviti dalam usus.

2. Menyihatkan otak

Otak adalah organ penting bagi manusia dan amalan makan buah kurma dapat memberi manfaat kepadanya. Dalam satu kajian dilakukan Neural Regeneration Research 2016, kurma mempunyai perlindungan dalam melawan inflamasi dan tekanan oksidatif pada otak.

Kurma juga mampu menurunkan penanda inflamasi seperti interleukin 6 (IL-6) pada otak. Kadar IL-6 yang tinggi berhubungan dengan risiko penyakit neurodegenatif tinggi termasuk Alzheimer.

3. Pemanis semula jadi

Kurma juga boleh digunakan sebagai pemanis semula jadi malah boleh dicampur dengan bahan-bahan lain untuk dijadikan kek, puding malah minuman.



Pesakit diabetes juga boleh makan kurma.

4. Makanan ringan buat pesakit diabetes

Meskipun rasanya manis, kurma boleh dimakan oleh pesakit diabetes. Dalam kajian diterbitkan dalam Jurnal Nutrients, pengambilan kurma tidak membawa perubahan pada kadar gula dalam darah.

Sebanyak 100 wanita dan lelaki yang menghidap diabetes jenis 2 mengambil bahagian dalam kajian itu dengan memasukkan kurma sebanyak tiga biji dalam diet harian mereka selama 16 minggu.

Hasilnya, kandungan gula dalam darah mereka tidak menunjukkan perubahan malah setiap pesakit mengalami penurunan kolesterol jahat.

5. Menjaga berat badan

Untuk jenis kurma muda, kandungan kalorinya tidak tinggi dan berpotensi membantu menjaga berat badan disebabkan kandungan serat dan rendah kalori. Serat yang terdapat dalam kurma boleh membantu kita berasa kenyang lebih lama.

Ramai mula buat biskut raya tapi guna mentega atau marjerin… eh tak sama ke?

KEDATANGAN bulan Ramadan, kaum ibu pasti ramai yang sibuk membuat biskut raya untuk dihidangkan kepada tetamu pada Aidilfitri nanti.

Tapi masalah biasa yang berlaku setiap kali hendak membuat adunan biskut raya – guna mentega atau marjerin?

Meskipun kedua-dua produk itu mempunyai fungsi hampir sama, tetapi ia sebenarnya adalah dua produk berbeza. Jadi, apa perbezaannya?

Mentega adalah produk susu yang diperbuat daripada susu atau krim yang digaul. Proses menggaul itu akan memisahkan lemak mentega daripada cecair.



Mentega diperbuat daripada susu manakala marjerin berasaskan minyak sayuran.

Mentega yang kita beli kebiasaannya diperbuat daripada susu lembu namun ada juga mentega menggunakan susu kambing.

Warna mentega pula biasanya kuning pucat tetapi ia juga bergantung kepada jenis susu digunakan. Selain itu, mentega bukan 100 peratus lemak sebaliknya mengandungi 20 peratus kandungan air dan protein susu.

Sementara marjerin diperbuat daripada minyak sayur seperti minyak sawit, kanola dan soya.

Kebiasaannya, marjerin diperbuat daripada 80 peratus minyak sayur dan air yang kemudiannya diberi perisa seperti mentega. Kebanyakan marjerin juga mengandungi susu.

Jadi sekiranya mencari produk bebas susu, carilah marjerin dengan label vegan.

Meskipun kedua-duanya memiliki komponen yang berbeza, mentega dan marjerin mengandung lemak meskipun jenisnya berbeza.

Kenapa lepas berbuka puasa badan jadi lemah?

PERASAN tak setiap kali selepas berbuka puasa, badan akan terasa lemah meskipun sudah menikmati pelbagai juadah.

Sepatutnya selepas seharian berpuasa, dapat makan dan minum akan memberikan tenaga tapi rasa semakin lemah sampaikan hendak menunaikan solat Maghrib dan Tarawih pun tak larat.

Sebenarnya, keadaan itu berlaku disebabkan faktor makan berlebihan selain pengambilan gula yang tinggi.

Pengambilan makanan dan minuman manis ketika berbuka boleh menyebabkan badan lemah kerana gula mendorong pankreas untuk menghasilkan insulin bagi menurunkan kadar gula dalam darah.

Insulin yang berlebihan pula akan menurunkan gula dalam darah tetapi kesannya badan menjadi lemah dan lesu.

Makan berlebihan membuatkan sistem penghadaman yang seharian berpuasa dipaksa bekerja lebih keras. Kesannya, tubuh akan mengeluarkan lebih banyak tenaga untuk mencerna makanan.

Tidak hanya membuatkan badan terasa lemah dan lesu, perut juga boleh mengalami masalah seperti sakit perut, mual, kembung dan sembelit.

Bagi mengelakkan masalah itu, sebaik-baiknya amalkan pemakanan seimbang ketika berbuka puasa dan bukannya mengikut nafsu.

Paling baik, hindari makanan bergoreng dan pilih hidangan yang direbus, dikukus atau dipanggang. Ingat, puasa bukan bererti tiket emas untuk memanjakan diri dengan pelbagai hidangan menyelerakan.

SOALAN LAZIM VAKSIN COVID-19

APA ITU COVID-19?

Penyakit COVID-19 disebabkan oleh coronavirus yang disebut SARS-CoV-2. Gejala mungkin muncul 2 hingga 14 hari selepas terdedah kepada virus. Gejala yang mungkin dialami adalah:

•demam atau menggigil;

•batuk;

•sesak nafas;

•keletihan;

•sakit otot atau badan;

•sakit kepala;

•kehilangan deria rasa baru atau bau;

•sakit tekak;

•kesesakan atau hidung berair;

•loya atau muntah; atau

•cirit-birit.

SIAPAKAH GOLONGAN BERISIKO TINGGI UNTUK MENDAPAT JANGKITAN COVID-19?

Golongan berisiko adalah:

•Kanak-kanak

•Warga emas berusia 65 tahun ke atas

•Pesakit dengan penyakit kronik

•Pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah

•Wanita hamil

APAKAH KEPENTINGAN MENGAMBIL VAKSIN COVID 19?

Vaksin COVID-19 diberikan untuk mengawal penularan penyakit COVID-19. Apabila semakin ramai orang mendapat vaksinasi, semakin ramai penduduk membentuk antibodi dan seterusnya mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit COVID-19 yang lebih teruk. Secara tidak langsung ia boleh melindungi golongan yang berisiko yang tidak layak menerima vaksinasi.

APAKAH JENIS VAKSIN YANG AKAN DIGUNAKAN DI MALAYSIA?

•Terdapat beberapa jenis yang akan digunakan di Malaysia iaitu:

•Vaksin Covid-19 mRNA keluaran Pfizer-BioNtech

•Vaksin Covid-19 viral vector keluaran Astra Zeneka

•Vaksin Covid-19 inactivated keluaran Sinovac

•Vaksin Covid-19 recombinant viral vector keluaran Cansino

•Vaksin Covid-19 viral vector keluaran Gamaleya

SIAPAKAH YANG LAYAK MENERIMA VAKSIN COVID-19 PFIZER-BIONTECH?

Semua penduduk Malaysia berusia 18 tahun yang layak boleh menerima vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech. Keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan, mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 seperti warga emas, pesakit dengan masalah perubatan seperti pesakit jantung, kencing manis, darah tinggi, asthma, kanser dan sebagainya.

SIAPA YANG TIDAK LAYAK MENERIMA VAKSIN COVID-19 PFIZER-BIONTECH?

Anda tidak layak menerima vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech sekiranya anda:

•mempunyai sejarah kemasukan ke hospital akibat dari alahan yang teruk;

•mengalami reaksi alahan yang teruk setelah menerima dos pertama vaksin jenama ini;

•mempunyai reaksi alahan yang teruk terhadap mana-mana vaksin yang pernah diterima sebelum ini;

•sedang hamil;

atau•sedang menyusukan bayi

APAKAH HUKUM PENGAMBILAN VAKSIN COVID-19?

Majlis Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember 2020 mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

ADAKAH SAYA DIBERI PILIHAN UNTUK MEMILIH JENIS VAKSIN COVID-19?Tidak. Penerima vaksin tidak dibenarkan untuk memilih jenis vaksin COVID-19 yang akan diterima. Ianya bergantung kepada bekalan stok sedia ada di pusat vaksinasi.

APAKAH PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN SELEPAS MENERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19?

Setelah menerima suntikan vaksin COVID-19, penerima vaksin perlu:

1.Berada di ruang pemerhatian yang ditetapkan sekurang-kurangnya selama 15 minit.

2.Anda mesti memaklumkankepada petugas kesihatan atau mendapatkan rawatan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda berikut selepas menerima vaksin COVID 19:

•Kesukaran bernafas

•Pembengkakan muka, bibir dan tekak

•Denyutan jantung yang sangat cepat

•Ruam teruk timbul di seluruh badan

•Merasa pening dan lemah tubuh badan

3.Penerima vaksin perlu sentiasa mengamalkan norma baharu dan mengikuti langkah pencegahan penyakit COVID-19.

4.Anda perlu menyimpan kad vaksinasi yang diberi oleh anggota kesihatan. Apabila anda mendapat dos pertama, anda akan diberi kad vaksinasi untuk menunjukkan bila anda perlu mendapatkan dos kedua Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech.

ADAKAH SAYA AKAN DILINDUNGI SEPENUHNYA SELEPAS MENERIMA VAKSIN COVID-19 PFIZER-BIONTECH?

Vaksin akan mula menunjukkan keberkesanan melalui peningkatan antibodi dalam badan bermula dari hari ke-12 selepas dos pertama diberikan. Pembentukan antibodi akan meningkat secara mendadak selepas pemberian dos kedua. Ini bermakna, seseorang akan dilindungi secara optima selepas menerima kedua-dua dos untuk mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit COVID-19 yang serius. Walaupun seseorang itu telah menerima dos lengkap vaksin, beliau masih perlu mengamalkan langkah pencegahan seperti mengamalkan3W iaitu Wash, Wear, Warn dan mengelakkan 3C iaitu mengelakkan Confined space (Sempit), Crowded (Sesak) dan Close conversation (Sembang dekat). Walau bagaimanapun, pada masa ini, tempoh perlindungan jangka panjang terhadap COVID-19 masih belum diketahui.

BOLEHKAH SAYA MENOLAK UNTUK MENERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19 PFIZER-BIONTECH?

Anda boleh memilih untuk tidak menerima vaksin kerana penerimaan vaksin COVID-19 ini adalah secara sukarela. Sekiranya anda adalah petugas barisan hadapan, mempunyai penyakit kronik dan warga emas, penerimaan vaksin ini boleh mengurangkan risiko keterukan penyakit apabila anda dijangkiti.

SEKIRANYA SAYA MENGALAMI KESAN SAMPINGAN SELEPAS SUNTIKAN?

Sekiranya anda mengalami kesan sampingan selain yang telah dinyatakan di atas, sila lapor ke klinik kesihatan terdekat dan dapatkan rawatan dengan segera. Terdapat kemungkinan kesan sampingan yang lain yang belum dilaporkan.

BAGAIMANA SAYA BOLEH MENDAPATKAN MAKLUMAT LEBIH LANJUT BERKAITAN VAKSIN?

1.Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut, sila bertanya kepada petugas kesihatan berhampiran

2.Anda juga melayari laman sesawang yang mengandungi maklumat yang lebih tepat dan dipercayai seperti:

•WHO: www.who.int

•CDC : https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/index.html.

•FDA : https://www.fda.gov/emergency-preparedness-and-response/mcmlegal-regulatory-and-policy-framework/emergency-use-authorization