Tuan Norizan Kongsikan Cara Nak Bersara Awal Di Usia 54 Tahun

Nampak simple dan semua orang boleh buat, itulah perkongsi daripada Tuan Norizan bin Sharif bagaimana cara untuk bersara awal pada usia 54 tahun dengan tenang. Beliau memang banyak berkongsi mengenai kehidupan dan gaya penulisan beliau sempoi dan mudah difahami.

Kini beliau menetap di Amerika Syarikat dan benarlah kata orang, “Jauh perjalanan luas pemandangan”.

Apa Maksud Pencen Umur 54 Dengan Tenang?

Ramai sahabat-sahabat tanya, “Betulkah dah pencen?” Ada juga yang buat komen, “Eh, muda lagi, baru umur 54 dah pencen?”

Dalam masyarakat kita, “pencen” bermaksud tunggu nak mati.

Duduk di rumah, jaga cucu. Atau, selepas solat Subuh join group surau di kedai mamak sambil buat analisis politik. Itu “pencen” dalam masyarakat kita.

Bagi saya, “pencen” membawa maksud kita bebas mengatur gaya hidup sendiri. We take control of our life. Kita buat keputusan apa yang kita mahu. Bukan boss. Bukan staf.

Ini berbeza dengan orang yang “terpaksa bekerja”. Mengapa mereka terpaksa bekerja? Nak bayar hutang. Hutang kahwin. Hutang beli handphone. Hutang tukar kereta baru. Hutang kad kredit. Ada komitmen kewangan yang tinggi untuk support gaya hidup tertentu – rumah besar, kereta besar, nak melancong ke luar negara, makan di tempat hebat. Semua lima bintang.

Dalam beberapa tulisan sebelum ini, saya sebutkan mengenai hidup tanpa ropol, saya berikan tips bagaimana untuk hidup tanpa hutang, saya sebutkan mengenai dunia freelance (digital nomad) dan saya terangkan mengenai bagaimana menguruskan kewangan peribadi. Sekiranya anda masih ingat, saya pernah menulis mengenai betapa di pejabat saya dulu, saya tak letak gambar keluarga, gantung ijazah di dinding atau letak barang-barang peribadi. Saya menulis ketika itu, saya tidak berhasrat untuk lama-lama di situ. Selesai tugas, saya pergi.

Sekiranya anda belum baca, boleh cari tulisan-tulisan itu di wall Facebook saya. Kesemua tulisan tersebut bertujuan mendidik kita untuk “pencen” awal. Saya tulis apa yang saya telah amalkan. Itu bukan ilmu buku teks. Itu pengalaman lelaki berusia 54 tahun dan isterinya yang pernah tidur beralas lengan dalam bilik stor di kedai di Taman Sri Gombak. Itu pengalaman lelaki yang pernah keluarkan anak dari tadika kerana tak mampu bayar yuran.

5 Tips Untuk Bersara Awal

  1. Elakkan riba. Cari jalan supaya tak habiskan wang bayar faedah (interest). Faedah pinjaman inilah punca kenapa sebahagian besar kita terpaksa bekerja sampai mati.
  2. Usah ada hutang. Ikat perut. Hidup tanpa ropol. Elak tukar kereta, beli handphone baru, dan pergi melancong setiap kali dapat kenaikan gaji atau bonus. Simpan lebihan wang. Fikirkan jangka panjang.
  3. Kahwin awal supaya apabila kita berusia 50 tahun, anak-anak semua sudah bekerja dan boleh berdikari.
  4. Usah hidup dalam kemampuan. Hidup di bawah kemampuan. Kalau kita mampu beli barang RM10, beli yang berharga RM2. Baki RM8 simpan.
  5. Mula rancang pencen sejak mula bekerja. Tetapkan matlamat bila nak pencen, berapa banyak wang yang diperlukan dan buat strategi bagaimana nak capai matlamat kewangan tersebut.

Apabila kita jalani kehidupan tanpa ropol dan membebaskan diri dari kemewahan dunia yang tak perlu, barulah kita boleh hidup bebas.

Barulah kita boleh memilih apa yang kita mahu. Barulah kita ada masa menerokai apa yang selama ini kita tidak dapat lakukan. Usah biarkan dunia berada dalam diri kita. Biar kita pijak dunia. Barulah kita akan dapat mengawal destinasi kita sendiri.

Apabila saya kata saya pencen, adakah ini bermaksud saya tidak bekerja lagi? Saya bekerja – dengan cara saya sendiri. Usia 54 tahun terlalu muda untuk saya duduk memerap di rumah. Namun, sebagai “orang pencen” saya boleh memilih apa yang saya mahu lakukan. Saya tidak terikat dengan jadual 8-5.

Mungkin ada yang bertanya, mengapakah tak ada gambar saya bertemu orang itu dan ini. Atau, bergambar di depan papan tanda pejabat? Atau, bergambar di depan menara tinggi-tinggi. Atau, bergambar dengan Mat Salleh? Mengapakah gambar brisk walk saja? Mana gambar Statue of Liberty? Mana gambar 42nd Street? Mana gambar Empire State Building?

Itulah indahnya dunia pencen. Kita tak perlu melaporkan dan mendapatkan pengiktirafan boss – atau, kawan-kawan Facebook. Bahagia ialah apa yang kita rasa, bukan apa (harta) yang kita miliki!

Sumber: Norizan Bin Sharif 

Perlu Ada Pelan Untuk Pencen Awal

Kita seharusnya ada rancangan untuk pencel lebih awal daripada umur 60 yang ditetapkan. Kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan hidup di bawah tahap kemampuan. Usaha untuk habiskan hutang secepat mungkin dan banyakkan menyimpan.

Nampak macam mudah, tapi kalau takde pelan untuk pencen awal, nampak gayanya kita terpaksa kerja sampai ke usia tua.

Sebab kalau nak harapkan duit persaraan cukup dengan simpanan KWSP, pastikan anda baca Harapkan Duit Simpanan KWSP Tidak Cukup Untuk Bersara – Data KWSP. Izinkan kami kongsi beberapa point yang perlu kita ambil iktibar seperti di bawah:

  • Malaysia merupakan negara yang semakin tua, dengan populasi mereka yang berumur 65 dan ke atas akan menjadi 15% pada tahun 2035. Manakala, jangka hayat rakyat Malaysia pula semakin meningkat dengan lelaki berada pada umur 72.5 tahun manakala wanita pula berada pada umur 77.4 tahun.
  • 68% daripada pencarum KWSP berumur 54 tahun dan ke bawah hanya mempunyai kurang daripada RM50,000.
  • Kelompok 20% terbawah pencarum KWSP mempunyai simpanan purata sebanyak RM6,909
  • Daripada 32 juta rakyat Malaysia, 69% tergolong dalam ‘umur bekerja’ iaitu di antara 15-65 tahun. Hanya 48% daripada golongan ini mempunyai akaun KWSP yang aktif.
  • 70% pencarum yang mengeluarkan simpanan pada umur 55 tahun, menghabiskannya dalam masa kurang daripada 10 tahun.

Di usia tua inilah kita patut tingkatkan ibadat dan risau akan bagaimana keadaan hidup kita sesudah mati. Bukannya risau di mana datangnya rezeki demi sesuap nasi.

Jadi apakah persiapan untuk bersara di usia muda yang telah anda buat? Dan adakah ia memadai? Hanya anda yang boleh jawab dengan jujur.

Speak Your Mind

*