Resepi siakap stim limau ni memang mudah disediakan, orang bujang pun confirm boleh buat.l
Ia adalah salah satu hidangan yang sangat terkenal di negara jiran kita, Thailand.
Selain rasa dan baunya yang menyelerakan, ia juga sihat sebab tak menggunakan setitik minyak pun tau!
Jadi, jom kita cuba resepi siakap stim limau ala Thai yang dikongsikan oleh Puan Zurina Zulkefli ini.
Jangan risau kalau tak ada pengukus, boleh je masak guna kuali macam cara yang ditunjukkan nanti.
RESEPI SIAKAP STIM LIMAU ALA THAI SIMPLE & POWER!
Ikan siakap stim ni memang special sebab ikan siakap tu saja dah sedap.
Kadang-kadang orang buat siakap stim halia, siakap stim limau atau siakap stim lemon, bergantung pada selera dan bahan yang kita ada.
Hari ni saya kongsikan resepi siakap stim simple ala Thai yang mudah.
BAHAN-BAHAN
- Seekor ikan siakap
- 2 biji limau nipis
- 1 batang serai
- 5 hirisan halia
- 3 tangkai cili kecil merah
- 3 tangkai cili kecil hijau
- 5 ulas bawang putih
- 1 batang daun ketumbar
- Setengah kiub pati ayam
- Sos ikan
CARA-CARA
1. KUKUS IKAN
Mula-mula, kukus ikan mengikut langkah ini:
- Bersihkan ikan siakap dan hiris bahagian badannya.
- Masukkan halia dan serai ke dalam perut ikan.
- Perah jus limau nipis ke atas ikan untuk menghilangkan bau hanyir.
- Kukus ikan ke dalam periuk kukus selama 5 minit dan biarkan seketika pada suhu api perlahan.
2. MASAK KUAHNYA
Dalam sebuah periuk lain, kita masak pula kuahnya.
Caranya seperti di bawah:
- Cincang bawang putih secara kasar
- Gorengkan bawang putih yang telah dicincang di dalam kuali sehingga warna keemasan – kerangupan bawang putih goreng menaikkan aroma ikan siakap stim
- Padamkan api kuali dan langsung masukkan sedikit air suam, setengah kiub pati ayam, 4 sudu besar sos ikan, 1 sudu kecil gula, cili hijau dan merah, lebihan serai dan perahan jus limau.
- Rasa dahulu kuah, sekiranya termasin sila tambah sedikit air.
- Kacau kuah sehingga sebati.
3. KUKUS IKAN BERSAMA KUAH
Bila kuah dan ikan dan masak, tuangkan kuah stim ke atas ikan siakap dan taburkan hirisan daun ketumbar.
Kukus lagi ikan siakap bersama kuah selama 3 minit supaya kuah, bahan-bahan masakan dan perasa meresap dan sebati dengan ikan siakap.
Siap dan sedia dihidang.
*Nota: Bagi yang tak ada pengukus, boleh juga gunakan kuali untuk mengukus.
CARA KUKUS GUNA KUALI
Mungkin ada yang tertanya-tanya, macam mana nak kukus guna kuali.
Ini saya kongsikan cara saya kukus guna kuali.
1. Mula-mula letak air dalam kuali, kemudian letak mangkuk kaca berisi air di dalamnya.
2. Kemudian isi pinggan besi yang nak letak ikan stim nanti.
3. Lepas tu guna penutup yang muat dengan kuali tu.
Kalau nak guna mangkuk kecil pun boleh.
Simple kan?
SIHAT, MUDAH & SEDAP
Sekejap je dah resepi siakap stim kita ni.
Ada yang nak lagi senang, terus masukkan semua bahan bersama macam masak ikan singgang, cuma ditutup periuknya. Boleh juga ikut kreativiti, bahan yang ada dan selera masing-masing.
Dekat rumah pun boleh makan ala restoran Thai. Taklah susah mana kan?
Lagi jimat dan puas hati buat sendiri. Rugi tak cuba tau!