KEMPEN KESEDARAN PSIKOSOSIAL: HARI KESEDARAN MENCEDERAKAN DIRI 2022

Mencederakan diri merupakan perbuatan yang disengajakan yang mendatangkan kemudaratan kepada diri tetapi selalunya tanpa niat untuk membunuh diri namun tetap boleh membahayakan nyawa sekiranya melakukannya secara agresif seperti menoreh, meletakkan benda panas di badan atau membakar diri. Individu yang mencederakan diri lebih berkemungkinan besar untuk mati akibat membunuh diri. Perbuatan mencederakan diri ini didapati sekitar 40% hingga 6o% daripada kes kematian akibat membunuh diri di seluruh dunia. 
Keinginan untuk mencederakan diri merupakan simptom yang sering terdapat dalam kalangan mereka yang mengalami kecelaruan personaliti.  

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mereka ini terdorong untuk mencederakan diri, iaitu:

  • untuk mengalih perhatian atau melarikan diri dari kesakitan emosi, kemarahan melampau atau kekecewaan yang mendalam (mekanisme daya tindak). 
  • berasa puas hati, lega dan lebih tenang setiap kali melihat darah yang mengalir tumpah seiring dengan hilangnya kesakitan emosi, seperti kemurungan, kebimbangan, stres dan perasaan gagal.
  • sebagai luahan emosi dalaman yang amat terluka dan minta diberi perhatian. 
  • inginkan kawalan atau dominasi terhadap diri. 
  • menghukum diri kerana berasa bersalah atau menyalahkan diri dan tidak dapat memaafkan diri atas sesuatu kejadian yang berlaku atau sebab berasa sangat berdosa.
  • mengikut trend tingkah laku semasa kerana terpengaruh dengan lambakan video tutorial atau filem di Youtube.
  • perlu melakukannya untuk diterima sebagai ahli dalam sesuatu kumpulan.
  • masalah keluarga, seperti keluarga yang berantakan, kehilangan ibu bapa, penceraian ibu bapa, penderaan, sering dipersalahkan, dibanding-bandingkan, atau ibu bapa pilih kasih.
  • masalah di sekolah, seperti dibuli, pergaduhan, terasing atau dipulaukan.
  • mengalami kecelaruan mental seperti kemurungan, kebimbangan, penyalahgunaan bahan, kecelaruan pemakanan, trauma, post traumatic stress disorder (PTSD) dan skizofrenia (terdengar suara meminta untuk mencederakan diri sendiri). 

Kebiasaannya perbuatan mencederakan diri ini akan diikuti dengan perasaan bersalah dan berasa malu dengan perbuatan mencederakan diri  sendiri. Sesetengah individu mungkin mencederakan diri untuk beberapa kali dan berhenti dari melakukannya semula, dan ada juga yang mencederakan diri selalu dan secara berterusan.

Tindakan mencederakan diri ini adalah lebih lazim dalam kalangan wanita berbanding dengan lelaki. Golongan wanita pada kebiasaannya mencederakan diri dengan mengelar tubuh badan, manakala golongan lelaki pula lebih kepada memukul diri dan menggunakan api untuk mencederakan diri.

Perbuatan mencederakan diri lebih kerap berlaku di antara usia 12 hingga 24 tahun dan lebih cenderung bermula pada usia 14 tahun. Remaja perempuan dalam lingkungan usia antara 12 hingga 15 tahun adalah 5 kali ganda lebih berisiko untuk mencederakan diri. Statistik menunjukkan 5% dalam populasi umum dewasa mencederakan diri manakala bagi populasi umum remaja pula adalah sebanyak 15%. 

Simptom-simptom mencederakan diri yang boleh diperhatikan:

  • luka yang tidak dapat dijelaskan.
  • sentiasa berpakaian bertutup sepenuhnya walaupun dalam keadaan  cuaca panas. 
  • tanda-tanda kemurungan.
  • mengasingkan diri dan tidak bercakap dengan orang lain.
  • menyatakan perasaan bersalah, menyalahkan diri dan berhasrat ingin menghukum diri.
  • berasa putus asa, hilang harapan dan tidak berhasrat meneruskan kehidupan dan ingin mengakhiri penderitaan.

Apakah yang boleh dilakukan sekiranya berhadapan situasi ini?

  • jangan ambil ringan dan mudah.
  • cuba memahami faktor yang boleh menyebabkan perbuatan mencederakan diri.
  • luangkan masa untuk mendengar luahan perasaan.
  • dapatkan bantuan pakar.
Self Injury Awareness Day.jpg

Speak Your Mind

*