Archives for February 12, 2020

Korban bukan sekadar ibadah haiwan sembelihan sebaliknya terus perkuatkan Islam

Masalah kebuluran di negara bergolak telah menyebabkan kanak-kanak tidak berdosa menjadi mangsa.
SALAM semua dan selamat menyambut hari raya korban atau Aidiladha. Alhamdulillah bagi sesiapa yang telah melakukan ibadah korban iaitu menjadi sunah yang sangat dituntut.

Apabila bercakap mengenai korban, saya teringat bahawa kita sebagai seorang Islam sepatutnya sentiasa berkorban untuk meninggikan agama Allah, tidak kira masa dan tempat.

Kalau yang dimaksudkan korban cuma berkorban sebahagian dari seekor lembu atau dengan seekor kambing dan cuma sekali setahun, kita belum cukup menghayati hikmah korban yang sebenar, jika masih ramai saudara seagama kita yang masih kebuluran di serata dunia.

Apakah hikmah korban itu telah tercapai?

Di Somalia lebih sejuta kanak-kanak yang mati kebuluran dek kerana tiada makanan, badan mereka macam mayat hidup yang tinggal tulang dan kulit sahaja. Di Syria saudara kita sudah lama makan kertas, kucing, anjing dan apa sahaja untuk hidup.

Apakah hikmah korban telah tercapai? Contoh yang paling dekat dengan kita, umat Islam Rohingya ditindas, dicincang, dirogol bahkan satu kampung dibakar dan dihalau dari kampung halaman mereka. Apakah telah tercapai maksud dan hikmah korban kita?

Teringat saya Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam lagunya, “berkorban apa saja harta atau pun nyawa.”

Kita masih bercerita tentang pengorbanan harta belum lagi nyawa. Korban nyawa tak payah cerita… Korban harta pun bukan semua orang, dan sekali setahun untuk bagi makan fakir miskin dalam kalangan orang Islam.

Oleh tu kita kena faham tuntutan pengorbanan dalam Islam agar mencapai hikmah dan tujuan sebenar.

Apabila sebut pasal korban kita dipaparkan tentang sejarah Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih anaknya sendiri.

Antara hikmah ibadah korban adalah untuk membantu golongan susah dan fakir miskin.

Tetapi dalam masa yang sama apa pengorbanan lain Nabi Ibrahim AS? Perintah untuk berdakwah sehingga terpaksa meninggalkan keluarga, pengorbanan isterinya Siti Hajar bersama anaknya Nabi Ismail AS yang ditinggalkan di padang pasir yang kering kontang sehingga ke hulu ke hilir mencari air untuk minuman.

Pengorbanan Nabi Ibrahim AS dalam mengajak kaumnya yang syirik kepada Allah yang menyembah berhala, bahkan ayahnya sendiri Azar adalah pembuat berhala untuk dijual.

Tetapi bagaimana Nabi Ibrahim sendiri ditugaskan oleh ayahnya supaya menjual berhala? Tetapi Nabi Ibrahim AS mengajak kaumnya supaya menggunakan akal fikiran yang waras dalam memilih untuk menyembah Tuhan yang sebenar.

Nabi Ibrahim AS menyeret berhala yang dikatakan Tuhan sampai tercabut tangan telinga kaki dan sebagainya sambil menawarkan jualan Tuhan itu.

Logik akalnya bagaimana berhala dikatakan Tuhan sedangkan Tuhan kena jual, Tuhan putus tangan, putus kaki, putus telinga. Tuhan takde cakap apa pun diheret sampai  putus segala anggota badan. Tuhan ke macam tu? Macam mana manusia sanggup menyembah Tuhan seperti tu?

Dalam kisah yang lain, Nabi Ibrahim AS telah menetak berhala Tuhan di rumah penyembahan dengan kapak. Dikapaknya berhala tadi dan ditinggalkan berhala yang besar dan diletaknya kapak tadi di tangan berhala yang besar.

Apabila penyembah berhala tadi datang nak menyembah maka mereka terkejut semua berhala tadi tidak ada kepala, tak ada telinga, putus tangan dan sebagainya.

Mereka mengesyaki ini mesti perbuatan Nabi Ibrahim AS. Apabila ditanya, maka apa kata Nabi Ibrahim AS? Tanyalah Tuhan yang besar tu sebab kapak tu ditangannya! Kaumnya berkata: Mana berhala boleh bercakap? Nah habis kalau bercakap pun tak boleh, kenapa kamu sembahnya sebagai Tuhan?

Nabi Ibrahim AS mengajak kaumnya menggunakan akal fikiran yang waras dalam menilai apa yang disembah.

Dalam al-Quran Allah SWT menceritakan kisah kaum Nabi Ibrahim AS apabila mereka nampak bintang yang bercahaya mereka kata; Oh itulah Tuhan kami yang bercahaya.

Mudah-mudahan ibadah korban yang kita lakukan ini mendapat reda Allah serta menjadikan kita hamba Allah yang sentiasa mensyukuri nikmatnya.

Tetapi apabila hilang bintang tu, maka apa kata mereka; Oh kami tak suka Tuhan yang menghilangkan diri!  Apabila mereka nampak matahari terbit dengan bersinarnya, mereka kata; Oh inilah Tuhan kami dan ini lebih besar!

Begitulah telatah kaum Nabi Ibrahim AS apabila mereka mengunakan akal tanpa dipandu oleh hidayah.

Maka akal fikiran mesti dipandu oleh hidayah. Sebab bukan semua perkara boleh dicapai oleh akal fikiran manusia.

Contohnya, manusia hidup perlukan udara. Kita nampak tak udara? Tak nampak, tapi ada tak? Ada. Kita ada rohkan, kalau tak ada roh matilah kita

Tapi kita  nampak tak roh di mana? Tak nampak sebab tu kita kena berpandukan kepada hidayah daripada Allah. Hidayah maknanya panduan atau petunjuk sebenar daripada Allah.

Kalau nak cerita pengorbanan nyawa baginda Nabi SAW bersama dengan sahabat terpaksa menghadapi tekanan, peperangan yang amat dahsyat lebih dari seratus peperangan untuk mempertahankan Islam, mempertahankan sebuah negara Islam Madinah dan negara-negara yang  berlindung di bawah pentadbiran Islam yang adil.

Itulah Islam agama rahmat bagi sekalian alam yang sampai kepada kita merentasi pengorbanan harta dan nyawa setiap penganut sepanjang zaman dan seluruh pelosok dunia.

Lalu apa pengorbanan kita kepada agama Allah. Berapa banyak harta kita yang telah kita korbankan, tenaga kita berapa banyak kita kerahkan untuk mengajak manusia kepada jalan yang benar.

Minda kita berapa banyak idea kita curahkan untuk agama Allah? Nyawa kita sanggup tak kita pertaruhkan untuk menyampaikan rahmat kepada sekalian alam?

Sebenarnya kehidupan kita amat jauh dari tuntutan pengorbanan yang sebenar, ikhlas kerana Allah dan bukan kerana selain Allah.

Sanggupkah kita melihat situasi seperti ini terus berlaku di seluruh dunia?

Maka carilah ruang waktu dan kesempatan, kerahan tenaga dan keringat, idea, harta dan kenikmatan yang Allah curahkan kepada kita demi sebuah perjuangan hanya kerana Allah semata-mata.

Allah berfirman dalam al-Quran, “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan balasan bahawa mereka akan beroleh syurga, disebabkan mereka berjuang (sehingga sanggup berkorban) pada jalan Allah” – [Al-Taubah:111].

Salah satu hikmah kita berpuasa adalah untuk merasakan kesusahan orang fakir yang terpaksa menahan lapar dan dahaga. Kita merasakan bahawa kita telah berpuasa dengan jayanya cukup sebulan bulan Ramadan, dan dalam bulan puasa kita bersedekah dengan banyaknya bagi makan orang fakir miskin dan selainnya, tetapi setelah berlalunya Ramadan adakah kita masih bersedekah memberi makan fakir miskin 11 bulan yang lain?

Juga, bulan Ramadan kita mengeluarkan zakat supaya membantu fakir miskin turut meraikan hari kemenangan.

Tetapi setelah berlalunya Ramadan, bagaimana kehidupan fakir miskin dalam 11 bulan yang lain. Ada tak umat Islam mengeluarkan zakat harta yang lain. Zakat fitrah tak ada masalah sebab sikit je tak lebih RM8.

Tapi zakat wang simpanan, zakat perniagaan, zakat emas dan zakat pendapatan adakah kita bayar zakat untuk membantu asnaf yang dalam kesusahan?

Oleh itu, marilah sama-sama kita memahami dan menghayati makna sebenar sesuatu ibadah yang Allah fardukan kepada kita supaya kebajikan seluruh umat Islam terpelihara dengan keindahan sistem Islam yang membawa rahmat kepada sekalian alam.

Kongsikan artikel ini semoga menjadi sebahagian amal jariah kita. Wallahua’lam.

Air zamzam boleh ‘hand carry’ masuk ke pesawat, bukan dibuang atau disimpan dalam bagasi

Air zamzam menjadi oleh-oleh paling dinanti-nantikan sanak saudara dan sahabat handai di tanah air.
JEMAAH haji mula berangkat pulang ke tanah air secara berperingkat bermula minggu ini dan mudah-mudahan mereka dikurniakan haji mabrur yang menjadi keutamaan setiap jemaah.

Semoga Allah mengurniakannya dan memakbulkan doa yang dipanjatkan sepanjang berada di Tanah Suci.

Pastinya, kepulangan jemaah akan disambut ahli keluarga dan sanak saudara yang merindui mereka.

Justeru, pelbagai cenderahati atau oleh-oleh dibawa pulang. Paling diinginkan adalah tamar atau kurma ajwa, ambar, rotab dan semestinya air zamzam.

Lazimnya, air zamzam lima liter dan senaskhah al-Quran akan diberi secara percuma kepada setiap jemaah haji. Bekalan air zamzam biasanya tidak mencukupi bagi menampung keperluan tetamu yang bertandang untuk bertanya khabar insan yang baru bergelar haji dan hajah.

Setiap individu yang mengunjungi Makkah bagi tujuan mengerjakan haji atau umrah sentiasa dibekalkan dengan air zamzam.

Justeru, ramai yang akan membawa lebih daripada dibekalkan. Satu daripada caranya adalah menerusi khidmat pos yang disediakan di Tanah Suci. Itu cara terbaik untuk mendapatkan air zamzam. Dengan hanya SR120 jemaah boleh mengepos air zamzam 10 liter dari Tanah Suci ke kediaman mereka di Malaysia.

InsyaAllah, air zamzam dan segala barangan yang dipos dari Tanah Suci akan tiba di tanah air dalam tempoh dua minggu. Bagaimanapun, jemaah dinasihatkan agar menyimpan resit atau bukti pos kerana dikhuatiri barang lewat sampai atau tidak mengikut jadual.

Air zamzam juga boleh dibawa secara hand carry oleh setiap jemaah ketika hendak pulang ke tanah air. Ramai yang bimbang, tidak percaya dan ragu-ragu kerana menganggap cecair melebihi 100 milileter (ml) tidak boleh dibawa naik ke dalam pesawat.

Bagaimanapun, usah terlalu banyak membawa air zamzam secara hand carry. Cukup dengan sebotol atau dua botol bersaiz tidak melebihi 1 liter.

Kakitangan lapangan terbang tidak akan merampas atau meminta anda meninggalkan botol air yang dibawa kerana mereka juga yakin yang dibawa adalah air zamzam.

Jika anda membawa sebotol dua air zamzam secara hand carry, tidak mengapa tetapi apa yang tidak boleh adalah meletakkan berbotol-botol air zamzam di dalam bagasi besar yang hendak dimuatkan di dalam perut kapal terbang.

RAIHANAH ABDULLAH

PEMBIMBING JEMAAH HAJI DAN UMRAH WANITA

Saya lihat, sebahagian besar jemaah akan membuang air zamzam di lapangan terbang sebelum memasuki pemeriksaan bagasi di bahagian pelepasan. Ramai jemaah tidak yakin air zamzam boleh dibawa secara hand carry sehingga meletakkannya di mesin pengimbas sebelum meletakkan bagasi dan melalui pemeriksaan tubuh. Ini amat merugikan.

Pernah saya beberapa kali menasihatkan jemaah membawa masuk saja air zamzam secara hand carry tetapi tidak diendahkan kerana mereka tidak percaya dan akhirnya mereka kesal meninggalkan air itu di mesin pengimbas setelah melihat air zamzam yang saya bawa tidak diambil atau dilarang dibawa masuk ke dalam pesawat.

Jika anda membawa sebotol dua air zamzam secara hand carry, tidak mengapa tetapi apa yang tidak boleh adalah meletakkan berbotol-botol air zamzam di dalam bagasi besar yang hendak dimuatkan di dalam perut kapal terbang.

Ini bukan saja menyebabkan lebihan muatan pada bagasi jemaah tetapi menimbulkan pelbagai kesulitan jika pihak pengurusan lapangan terbang berjaya mengesan ada air zamzam di dalam bagasi menerusi mesin pengimbas.

Jemaah haji atau umrah berpeluang menikmati air zamzam yang disediakan di Makkah dan Madinah.

Jika keadaan ini berlaku, jemaah diminta mengeluarkan air zamzam di dalam bagasi. Jika tidak dikesan awal, dikhuatiri air zamzam yang dibawa boleh tumpah sehingga boleh menjejaskan bagasi jemaah lain.

Sehubungan itu, air zamzam tidak boleh dimasukkan ke dalam beg besar dan usah sekali-kali memandang ringan perkara seumpama itu.

Masih ada jemaah yang bertanya perihal memuatkan air zamzam di dalam bagasi besar dan sanggup melakukannya dan kadangkala berdegil kerana menganggap selamat melakukannya.

Jika bernasib baik, anda mungkin terlepas dan air zamzam yang dibawa tidak menjejaskan bagasi lain tetapi bayangkanlah jika ia berjaya dikesan ketika daftar masuk, sudah tentu ini menyulitkan semua jemaah lain kerana ia melambatkan keseluruhan proses daftar masuk dan seterusnya penerbangan.

Justeru, usah sekali-kali mementingkan diri kerana sifat ini boleh menyusahkan jemaah lain.

Pintu langit dibuka untuk roh yang baik… 15 perkara harus diketahui saat mati sehingga di alam Barzakh

Seseorang yang meniggal dunia apabila mendapat doa 70 orang yang soleh semasa pengebumiannya, dijanjikan Allah akan terlepas daripada azab seksa kubur. Gambar hiasan.
MATI… Setiap benda yang bernyawa pasti akan menemui detik kematian yakni permulaan untuk seseorang itu menempuh alam Barzakh dan juga alam akhirat sebelum ditempatkan sama ada syurga atau neraka.

Tiada sesiapa pun yang hidup akan mengetahui saat kematian kerana ia menjadi rahsia Allah bagi membolehkan umat manusia itu sentiasa mengisi masanya untuk melakukan amal kebajikan dan suruhanNya sebagai bekalan di akhirat nanti.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang ditetapkan), maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan. – [Surah al-A’raf, ayat 34].

Dan turut disebut juga berkenaan mati yang dikaitkan kiamat semakin hampir apabila banyaknya berlaku kematian mengejut.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya di antara tanda-tanda hari kiamat ialah… munculnya kematian mengejut. – [Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir – 1132].

Adakah kita tahu bagaimanakah proses iaitu saat malaikatulmaut atau Izrail mencabut nyawa sehinggalah roh seseorang dibawa ke alam Barzakh untuk disoal malaikat Mungkar dan Nakir?

Begini proses-prosesnya

1. Selepas mendapat perintah daripada Allah, malaikatulmaut akan mendatangi umat manusia untuk mencabut nyawa dalam dua keadaan bergantung kepada amalan seseorang. Jika dia hadir dalam keadaan wajah berseri-seri, ini bermakna si mati seorang yang beriman. Namun jika hadirnya dalam keadaan bengis, maka ketahuilah si mati bahawa dia adalah orang kafir atau fasiq iaitu membawa banyak dosa.

2. Seseorang itu mula rasa kosong dalam badannya bermula dari bahagian kaki sehinggalah nyawa sampai ke kerongkong. Ketika di kerongkong, segala amalan taubatnya tidak lagi diterima Allah.

Roh di alam Barzakh akan mendengar tapak kaki orang hadir ke pengebumian jasadnya dan selepas tapak kaki terakhir tidak lagi kedengaran, dua malaikat akan hadir untuk menyoal. Gambar hiasan.

3. Sebaik sahaja roh dicabut, ketika itu manusia akan dapat melihat dua keadaan iaitu alam nyata dan alam ghaib.

4. Malaikatulmaut bersama sekumpulan mailaikat rahmat (bagi si mati yang beriman) dan malaikat azab (jika si mati orang fasiq) akan membawa roh untuk dipersembahkan kepada Allah di langit ketujuh.

5. Ketika tiba di langit pertama, malaikat penjaga langit akan membuka pintu sambil memuji-muji roh si mati yang berbau haruman syurga dan begitulah di langit berikutnya sehinggalah di langit ketujuh. Namun jika si mati ialah orang yang fasiq, pintu langit tidak akan dibuka sebaliknya roh tersebut akan mendapat penghinaan oleh malaikat penjaga langit selain baunya juga busuk.

6. Seterusnya malaikat akan membawa buku amalan seseorang untuk dipersembahkan kepada Allah dan ia akan diletakkan di dua tempat yang diberi nama Illiyin – untuk orang soleh dan Sijjin – bagi mereka yang fasiq. Buku-buku amalan ini akan diturunkan pada hari kiamat kelak untuk dihitung di Mahsyar.

Ia disebut dalam surah Al-Mutaffifiin yang maksudnya; Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari akhirat)! Sesungguhnya “kitab suratan amal” orang-orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam Sijjin. – [Surah Al-Mutaffifiin, ayat 7].

Dan seterusnya berkenaan Illiyin dalam surah yang sama juga disebut dan maksudnya; Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya kitab suratan amal orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam Illiyiin. – [Surah Al-Mutaffifiin ayat 18].

7. Roh yang diangkat ke langit tadi akan dibawa turun semula oleh malaikat untuk proses seterusnya di alam Barzakh iaitu sebuah destinasi transit sebelum tibanya hari perhitungan iaitu kiamat.

8. Selepas selesai pengebumian, jasad yang disemadikan di tanah perkuburan tadi akan mendengar bunyi tapak kaki orang yang mengiringinya untuk pengebumian sehinggalah bunyi tapak kaki orang terakhir meninggalkan tanah perkuburan sebelum tibanya dua malaikat Munkar dan Nakir.

Buku amalan seseorang yang meninggal dunia akan diangkat ke langit untuk dipersembahkan kepada Allah sebelum disimpan di tempat bernama Illiyin iaitu bagi golongan orang soleh dan Sijjin untuk mereka yang fasiq.

9. Si mati akan dibangkitkan dalam keadaan duduk dan disoal dengan keras tanpa belas ihsan oleh Munkar dan Nakir. Diceritakan mata kedua-dua malaikat itu berwarna kebiru-biruan, badannya hitam melekat dan kemunculan mereka amat menakutkan si mati. Di tangan mereka berdua ada penukul daripada besi yang kalau dikumpulkan seluruh manusia dan jin, tidak akan mampu mengangkatnya. Jika penukul itu dihumban ke atas gunung, maka ranaplah gunung itu.

10. Semasa Munkar dan Nakir bertanya soalan, ketika itulah segala amal ibadat dan al-Quran akan hadir untuk menjawabnya malah jika sesiapa yang mengamalkan bacaan surah al-Mulk setiap malam sebelum tidur, maka surah itu yang akan menjadi pelindung daripada seksaan kedua-dua malaikat tersebut.

11. Terdapat dua jenis roh manusia iaitu roh mun’ammah dan mu’azzabah. Mun’ammah ialah roh orang yang mendapat nikmat Allah dan boleh menjawab soalan di alam Barzakh. Roh mu’azzabah pula bagi mereka yang akan memperoleh seksaan dan azab yang tak terperi sakitnya.

12. Bagi umat Islam yang dapat melepasi ujian di alam Barzakh itu, maka kuburnya yang sempit akan diluaskan saujana mata memandang dan terbinalah ia taman-taman syurga yang serba indah lagi menarik. Ketika itu Allah hadirkan amalan baik yang bentuknya seperti orang yang disayangi untuk menjadi peneman di taman syurga itu sehinggalah tibanya hari kiamat.

13. Bagi golongan fasiq, mereka akan ditempatkan di lubang-lubang neraka yang antara siksaannya ialah menjadi makanan api neraka, lemas dalam sungai darah selain mereka akan mencederakan diri sendiri dengan cara memotong pipi sehingga ke leher menggunakan pisau tajam dan besar.

14. Bagi orang beriman yang tinggal di taman syurga pula, mereka akan diperlihatkan mahligai indah masing-masing yang sudah dibina di alam syurga. Maka mereka akan sentiasa berdoa agar dipercepatkan hari kiamat untuk membolehkan mereka segera memasuki mahligai indah itu.

15. Penghuni alam Barzakh akan terus mendapat ganjaran pahala berterusan menerusi amal dilakukan ketika dunia iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat yang ditinggalkan dan doa daripada anak-anak yang soleh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Apabila manusia meninggal dunia terputuslah pahala amalannya kecuali daripada tiga sumber: Sedekah yang berterusan faedahnya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa kepadanya. – [HR Muslim, bilangan (3092) daripada Abu Hurairah].

Semoga kita semua dapat meningkatkan amalan agar perjalanan untuk menuju ke alam Barzakh dan akhirat akan menjadi lebih mudah.

Kongsilah ilmu bermanfaat ini mudah-mudahan kita mendapat ganjaran atas niat yang baik.

Generasi baharu akan tersasar jika akidah tidak dijaga! 4 panduan ini dapat membantu

Generasi muda mempunyai peranan penting namun mereka harus mengutamakan akidah untuk berjaya. Gambar hiasan.
ASSALAMMUALAIKUM para pembaca semoga kita semua dirahmati Allah. Menerusi artikel ini,  kita akan kongsikan kisah dalam al-Quran menunjukkan bagaimana sepatutnya generasi muda atau belia memainkan peranan seperti dikehendaki dalam Islam.

Sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke 62, golongan muda atau belia seharusnya memperkukuhkan jati diri dalam usaha menentukan hala tuju negara dan ia seharusnya berpandukan kepada ajaran Islam dan al-Quran sebagai panduannya.

Kisah mengenai golongan belia turut diceritakan dalam al-Quran seperti berikut:

Dalam surah al-Kahfi ayat 13, Allah menceritakan tentang pemuda Al-Kahfi  bagaimana mereka terpaksa menyembunyikan diri mereka ke dalam gua Al-Kahfi kerana nak menyelamatkan akidah dari dipaksa oleh Raja Diqyanus yang menyembah berhala dan akan membunuh sesiapa sahaja yang tidak menyembah berhala.

Tetapi pemuda Al-Kahfi ini tetap beriman kepada Allah sahaja dan tidak menyembah selain dari Allah walaupun mereka tahu mereka akan dibunuh jika mengengkari perintah raja.

Akhirnya Allah selamatkan mereka dengan menidurkan mereka di dalam gua Al-Kahfi selama 309 tahun.

Dalam surah Yusuf pula bagaimana Allah menceritakan tentang Nabi Yusuf AS yang ditawarkan dengan syahwat, kenikmatan seksualiti tetapi baginda menolaknya dan akhirnya memilih untuk dipenjarakan daripada melakukan perzinaan dengan isteri raja.

Jika seseorang itu menjadikan al-Quran sebagai panduan, insyaAllah mereka akan berjaya. Gambar hiasan.

Menerusi surah Assaffat ayat 102, diceritakan tentang nabi Ibrahim dan nabi Ismail AS di mana Allah mengujinya supaya menyembelih anaknya sendiri nabi Ismail AS.

Apa kata anak muda nabi Ismail AS; “Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari kalangan orang-orang yang sabar.” Begitu taat seorang anak muda dengan perintah Allah sebagai ujian dan Allah menggantikan nabi Ismail AS dengan kibas sebagai sembelihan.

Pada masa Islam mula disebarkan dalam kalangan orang Arab oleh baginda Nabi SAW maka kaum pemudalah yang awal dan paling ramai menerima ajaran Islam seperti Abu Bakar RA ketika berumur 38 tahun, saidina Umar RA berusia 28 tahun, saidina Ali RA berumur kurang 10 tahun dan sahabat lain yang umurnya antara 12 hingga 15 tahun.

Apa peranan generasi muda? Mengikut Dr Yusuf Qardhawi, bekas Ketua Ulama Dunia, generasi muda mempunyai empat kewajipan iaitu:

Wajib memahami Islam secara sahih

Mereka hendaklah mempelajari ilmu agama Islam terutama fardu ain terlebih dahulu sebelum mempelajari ilmu fardu kifayah yang lain.

Akidah hendaklah diteguhkan dahulu sebab tu nabi SAW berdakwah di Mekah selama 13 tahun untuk menguatkan akidah asas umat Islam. Ayat-ayat al-Quran yang diwahyukan kebanyakkannya berkisar tentang akidah seperti dalam rukun iman.

Apabila akidahnya kuat dan teguh baharulah mereka mampu melaksanakan amalan-amalan lain dan mampu mengharungi cabaran yang amat dahsyat. Tambahan lagi cabaran kita di akhir zaman ini amat dahsyat sekali dengan hiburan yang melampaui batasan, pergaulan tanpa batasan, soal halal haram, pemikiran yang rosak dengan ideologi baru seperti liberal dan syiah, pendidikan yang jauh terpisah dari agama Islam dan sebagainya.

Perlu beramal dengan Islam

Maksudnya menjadikan Islam sebagai cara hidup. Hidup dalam batasan yang Allah telah gariskan tentang halal, haram, makruh, sunat dan harus.

Tetapi kalau kita tengok realiti generasi muda, contohnya dalam laporan daripada Jabatan Pendaftaran Negara, lebih 532,158 kelahiran anak luar nikah yang didaftarkan dari 2005 hingga 2015 dengan 536 kes pembuangan bayi.

Pada tahun 2017, hampir 5,000 bayi dilahirkan oleh remaja yang berumur bawah 18 tahun dan 120 kes pembuangan bayi.

Ia tidak lagi termasuk jumlah pasangan yang melakukan zina tetapi si wanita tidak hamil dengan melakukan pelbagai cara selain ada juga menggugurkan anak.

Satu kajian pada 2016 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara yang bertajuk “Faktor Risiko dan Perlindungan Yang Mempengaruhi Kelakuan Seksual Remaja di Sabah dan Sarawak” mendapati pendedahan kepada bahan lucah meningkatkan risiko remaja terlibat dalam kegiatan seksual yang tidak sah.

Sejumlah 22 peratus pelajar aktif seksual memberitahu mereka dipengaruhi kerana menonton pornografi.

Terbaharu dalam minggu ni saya terbaca dalam akhbar mengenai murid tahun 5 merogol kakak sepupu yang berumur 12 tahun.

Dalam laporan itu pelajar terbabit mendakwa sudah empat kali mengulangi perbuatan itu kerana terpengaruh dengan pornografi melalui telefon bimbit.

MasyaAllah! Saya berpendapat ini bukan kes rogol sebab sudah empat kali diulangi benda yang sama tidak timbul soal paksaan sebaliknya ia sama-sama suka.

Di mana silapnya? Apa yang kita hidangkan untuk generasi muda kita? Salah siapa? Siapa yang patut bertanggungjawab? Sehingga apabila kita sekadar lihat tanpa berbuat apa-apa? Fikirkanlah!

Wajib melaksanakan dakwah kepada Islam

Maksudnya mereka hendaklah mengajak kepada Islam agama yang benar dan sempurna.

Mengamalkan Islam tidak cukup dengan amalan untuk diri sendiri sahaja bahkan hendaklah kebaikan itu disebarkan kepada manusia lain supaya orang lain turut sama mendapat kebaikan  atau yang kita sebut sebagai rahmat.

Dalam surah al-Asr, Allah mensyaratkan kejayaan manusia dari kerugian agar berpesan kepada orang lain dengan kebenaran dan menerima pesanan daripadanya.

Dalam surah Luqman ayat 17 pula bermaksud; Bagaiamana Luqman al-Hakim berpesan kepada anaknya; Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu.

Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”

Mengikat hubungan berdasarkan Islam

Sesungguhnya generasi muda yang mempersiapkan diri mereka untuk memahami Islam dengan kefahaman yang sahih, mengimaninya dengan iman yang benar dan mendalam, berpesan-pesan dengannya dan menyeru kepadanya, sepatutnya mereka saling tolong-menolong di antara mereka dan mengikat tali perhubungan di kalangan mereka.

Maka tidak ada sesuatu amalan dalam Islam dalam bentuk perseorangan, amalan persendirian tidak mencukupi.

Ia mesti dilakukan dengan cara berjemaah, berpersatuan, kelompok kumpulan sebahagian kita dengan sebahagian yang lain sebagai ikatan persaudaraan.

Perlu ada sifat berkasih sayang kerana Allah, saling menziarahi kerana Allah, berkumpul kerana Allah, berkorban dan saling memahami dan memberi pemahaman dalam masalah yang dikongsi bersama, melakukan solat berjamaah, menyuruh kebaikan bersama, mencegah kemungkaran bersama dan sebagainya.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita walau siapa pun kita sama ada sebagai ibu bapa, guru, jiran, pentadbir dan selainnya untuk mendidik anak-anak dan masyarakat kita supaya memenuhi tanggungjawab mereka sebagai genarasi muda yang akan menerajui negara pada masa akan datang.

Bagaimana akan jadi kepada negara kita akan datang, lihat generasi muda sekarang. Wallahua’lam.

Dosa silam akan terhapus jika taubat diterima, maka berhijrahlah

Seseorang yang berhijrah untuk berubah menuju kebaikan dan sentiasa berdoa memohon keampunan akan mendapat keredaan Allah. Gambar hiasan.
AHAD lalu iaitu 1 Hijrah 1441, seluruh umat Islam menyambut Tahun Baharu.

Sambutan ini mempunyai kaitan dengan peristiwa baginda Nabi Muhammad SAW bersama  penganut Islam pada peringkat permulaan Islam berhijrah dari Mekah ke Yathrib iaitu nama asal Madinah.

Pada peristiwa ini juga bermulalah kiraan tahun mengikut bulan dalam Islam bermula.

Hijrah itu sendiri yang mana dalam Bahasa Melayu kita bermakna berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain atau dari satu keadaan kepada keadaan yang lain.

Pada zaman awal kebangkitan Islam, Nabi SAW bersama sahabat berpindah dari satu tempat dan keadaan di mana ajaran Islam dan penganutnya ditekan, diejek, diseksa, dibunuh menuju ke satu tempat yang selamat.

Dengan kata lain, berpindah dari tempat yang tidak selamat kepada tempat yang selamat, dari tempat yang banyak berlaku penganiyaan dan kejahatan kepada tempat yang aman dan banyak kebaikan.

Mengambil semangat hijrah itu, maka sepatutnya begitulah kita hendaklah berhijrah dari satu keadaan yang tidak selamat untuk iman dan Islam kita kepada satu keadaan yang lebih selamat bukan sahaja untuk dunia bahkan untuk akhirat kita.

Dalam surah al Kahfi, penghuni gua lari kerana hendak menyelamatkan diri dari dibunuh dan menyelamatkan akidah dari dipaksa untuk menyembah berhala yang bukan Tuhan sebenar.

Mereka berhijrah dari satu keadaan iaitu tidak boleh mengamalkan agama yang sebenar kerana nak mempertahankan suatu kebenaran.

Tetapi bagaimana pula manusia sekarang? Adakah mereka berhijrah dari satu keadaan yang tak baik kepada keadaan yang baik atau sebaliknya?

Realitinya bagaimana?

Kalau kita perhatikan statistik Jabatan Pendaftaran Negara, pendaftaran anak luar nikah di Malaysia di mana lebih daripada 159,725 telah didaftarkan dalam tempoh 3 tahun bermula 2013.

Dalam statistik yang lain pula pada tahun 2017 sejumlah 4,992 kanak-kanak tidak sah taraf dilahirkan oleh remaja berumur bawah 18 tahun.

Kematian akibat kemalangan meningkat di Malaysia yang menunjukkan sebahagian pengguna jalan raya tiada akhlak ketika memandu dan sikap itu perlu diubah. Gambar hiasan.

Kalau kita tengok statistik kemalangan jalan raya di negara kita pula, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia 2013, Malaysia menduduki tangga ke-3 tertinggi berkaitan kematian yang melibatkan kemalangan jalan raya.

Seramai 23 orang bagi setiap 100,000 penduduk dan purata 14.4 kematian setiap hari dilaporkan.

Sepanjang musim perayaan pula, secara purata ia melibatkan 200 kematian. Lebih 80 peratus faktor kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh kesilapan manusia terutama memandu laju dan terbabas.

Di Malaysia, kematian disebabkan oleh kemalangan jalan raya merupakan penyebab kematian kedua selepas penyakit jantung.

Ini menunjukkan bahawa sebahagian pemandu kenderaan di negara kita kurang akhlak semasa memandu.

Mereka mungkin baik akhlak tetapi apabila memandu kenderaan akhlak mereka berubah.

Kita sepatutnya mengekalkan akhlak kita walaupun di mana sahaja kita berada.

Berhijrahlah sebab penghijrahan kita akan menyelamatkan nyawa dan nasib kehidupan manusia lain.

Nabi SAW bersabda orang Islam yang baik adalah yang menyelamatkan muslim yang lain melalui lidah dan tangannya.

Hadis ini menggunakan perkataan lidah bagi merujuk apa-apa sahaja perkataan yang keluar dari mulut kita atau zaman internet ini ialah tulisan, foto dan sebagainya.

Juga hadis ini menggunakan perkatan tangan yang menunjukkan sebarang perbuatan hendaklah dijaga jangan sehingga melanggar hak orang lain.

Bagaimana nak hijrah jadi baik?

Mungkin ada dalam kalangan kita yang beranggap diri itu jahat.

Mereka mungkin berkata: “Aku ni jahat, aku ni tak berakhlak, aku ni teruk perangai macamana nak hijrah?”

Untuk soalan itu, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang  Allah mahukan kebaikan baginya, Dia (Allah) memberinya kefahaman dalam agama” – [HR Bukhari dan Muslim]

Maksudnya Allah yang nak hijrahkan kita ke arah kebaikan bukan orang lain tetapi Allah.

Apabila disebut Allah yang nakkan kita berhijrah maka tiada apa-apa yang boleh menghalang kita jadi baik melainkan Allah sahaja.

Kedua, apabila Allah nak kita jadi baik, Allah akan berikan kita kefahaman tentang agama Islam.

Kalau begitu macam mana kita nak dapatkan kefahaman agama? Sudah tentulah ke majlis ilmu. Majlis ilmu diadakan di mana? Maka carilah surau masjid, carilah radio Ikim, tontonlah program agama di TV Alhijrah, tengoklah YouTube ceramah agama oleh ustaz yang muktabar.

Dalam satu hadis nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang mempersiapkan dirinya untuk menuntut ilmu maka Allah akan mempermudahkan jalannya ke syurga…”

MasyaAllah! Rupa-rupanya Allah nak bagi kita syurga, maka Allah mempermudahkan jalan kita ke syurga. Jom kita ke majlis ilmu.

Allah berfirman dalam beberapa surah tentang orang yang berilmu: “Hanya orang yang takut kepada Allah ialah orang yang berilmu” – [Al-Faatir:28]

“Katakanlah: Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu” – [Az-Zumar:9]

“Allah memberikan hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan orang orang yang diberikan ilmu pengetahuan bererti dia telah diberikan kebaikan yang banyak” – [Al-Baqarah:269]

Justeru apabila kita faham tentang agama, maka kita akan menuju melalui jalan yang benar dan memperbaiki cara hidup kita kepada cara hidup yang benar iaitu cara hidup Islam.

Akan ada batasan halal, haram, makruh dan perkara yang digalakkan.

Maka bertaubatlah dan berhijrahlah kita daripada jalan yang salah, cara hidup yang salah dan perbuatan yang salah.

Apabila Allah terima taubat kita maka tidak ada lagi dosa-dosa kita yang lalu, Allah akan hapuskan dari catatan amalan kejahatan kita.

Tidak macam sikap manusia, masih ingat lagi kisah hitam walaupun telah dimaafkan.

Ingatlah bahawa apabila dosa kita diampunkan Allah, maka kita akan dicintai oleh Allah.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 222: “Sesungguhnya Allah cintakan orang- orang yang selalu bertaubat dan orang-orang yang selalu mensucikan diri.”

Jika Allah sayangkan kita apa lagi yang kita mahukan dalam hidup ini? Tidak seperti bagaimana sayang daripada seseorang manusia bersyarat, bersifat sementara.

Kalau kita cantik maka kita disayangi tapi apabila dah tua kerepot hilanglah sayangnya.

Kongsikan artikel ini semoga menjadi amal jariah kita. Wallahua’lam

Rebut pahala puasa, baca surah Al-Ikhlas 1,000 kali antara amalan Hari Asyura

Umat Islam digalakkan untuk berpuasa dan mengamalkan amalan sunat lain pada Hari Asyura kerana terdapat pelbagai keistimewaannya.
UMAT Islam baru sahaja menyambut tahun baharu ataupun disebut Maal Hijrah minggu lalu.

Tanggal 1 Muharam, permulaan kepada tahun baharu merupakan peristiwa yang penting dalam takwim Hijrah, di mana pada tarikh inilah Nabi Muhammad SAW berhijrah dari kota Makkah ke kota Madinah pada 622 Masihi.

Jika awal Muharam dicatat sebagai antara hari terpenting, terdapat beberapa lagi hari penting dalam bulan ini yang wajib diambil tahu, iaitu 9 dan 10 Muharam, atau disebut juga Hari Asyura.

Umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada Hari Asyura kerana terdapat pelbagai keistimewaannya.

Antara amalan sunat pada hari Asyura adalah membaca surah Al-Ikhlas 1000 kali.

Antara nas yang menceritakan kelebihan berpuasa pada 10 Muharam ini secara khusus adalah sebuah riwayat daripada Abu Qatadah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

Berpuasa pada hari Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya’. (Riwayat Ibn Majah)

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, untuk menyempurnakan puasa Hari Asyura adalah dengan berpuasa sehari sebelum dan sehari selepas 10 Muharam, namun dibolehkan untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharam, atau pada 10 Muharam secara tunggal.

Selain itu, umat Islam juga digalakkan mengamalkan beberapa perkara sunat lain pada Hari Asyura.

1) Berpuasa Hari Asyura

2) Solat sunat

3) Memanjangkan tali silaturrahim

4) Memakai celak

5) Mengusap kepala anak yatim

6) Melapangkan masa untuk keluarga

7) Bersedekah

8) Memotong kuku

9) Mandi sunat

10) Membaca surah Al-Ikhlas 1000 kali

Jerebu tanda murka Allah kerana tangan manusia… Berdoa dan kembalilah ke pangkal jalan

Kebakaran hutan di Kahayan Hilir Kalimantan Tengah, Indonesia, menyebabkan kesusahan kepada rakyat Malaysia dan ia antara contoh perbuatan yang dimurkai Allah berpunca daripada tangan manusia. Foto: AFP
MANUSIA merupakan khalifah di atas muka bumi yang diamanahkan oleh Allah agar sentiasa menjaga dan melaksanakan segala perintah Allah.

Bagi  membolehkan  mereka melaksanakan tugasan ini secara efektif, manusia telah dikurniakan akal dan nafsu sebagai pengimbang dan pemandu dalam memainkan sesuatu peranan.

Alam  bumi  merupakan  salah  satu  daripada  alam-alam  lain  yang telah diciptakan oleh Allah sebagai tanda kekuasaanNya.

Manusia adalah sebahagian daripada ciptaan penting yang wujud di bumi dan mempunyai hubungan yang rapat dengan  persekitarannya.

Bumi  yang  dijadikan  dengan  penuh  keindahan  dan keseimbangan  ini  memerlukan  pentadbir  yang  berkualiti  bagi  memastikan kesinambungannya terpelihara.

Bumi kelihatan berkabus pada waktu tengah hari disebabkan jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan di Kalimantan, Indonesia.

Oleh itu, manusia perlu memberikan perhatian dan tumpuan  yang  serius  terhadap  amanah  yang  telah  diberikan  oleh  Allah  dengan memastikan mereka mampu melaksanakan kedua-dua tugasan ini secara sempurna tanpa mengabaikannya.

Kelalaian manusia

Fenomena jerebu yang melanda negara ketika ini merupakan kesilapan dan kelalaian manusia itu sendiri. Ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah Ar-Room ayat 41: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat.

Ada yang mengatakan bahawa fenomena jerebu yang berlaku ini merupakan salah satu tanda hari kiamat berdasarkan daripada salah satu surah didalam Al-Quran iaitu Surah ‘Ad-Dukhan’ yang beerti asap. Dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah itu mengenai azab kepada satu golongan kaum musyrikin yang menolak seruan Rasulullah SAW.

Hari kiamat tidaklah diketahui oleh sesiapa melainkan hanya Allah sahaja mempunyai rahsianya. Disebutkan dalam surah Luqman ayat ke 34 Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat.

Firman Allah SWT di dalam Surah Ad-Dukhan ayat 10 yang bermaksud: Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih.

Tanda kiamat juga disebutkan di dalam sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim didalam sahihnya: Sabda Baginda SAW:  “Sesungguhnya kiamat tidak akan terjadi hingga ada sepuluh tanda (sebelumnya):  Gerhana di Timur, gerhana di Barat, gerhana di Jazirah Arab, asap, dajal, binatang bumi, Yakjuj dan Makjuj, terbitnya matahari dari Barat, dan api yang keluar dari  Yaman mengiring manusia.”

Berdasarkan ayat dan hadis di atas maka ramai yang mengatakan bahawa hari kiamat semakin hampir.

Ujian Allah

Hari kiamat tidaklah diketahui oleh sesiapa melainkan hanya Allah sahaja mempunyai rahsianya. Disebutkan dalam surah Luqman ayat ke 34 Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat.

Oleh yang demikian kejadian jerebu yang melanda negara hari ini merupakan ujian dan peringatan Allah supaya kita kembali kepadaNya dengan keinsafan dan bertaubat serta mengikut segala perintah Allah.

Orang ramai digalakkan memakai topeng muka jika berada di luar rumah untuk mengelak pelbagai penyakit akibat jerebu.

Ini kerana Allah akan sentiasa menguji hambanya dengan kelaparan, kesakitan, kekurangan hasil tanaman ataupun dengan kematian untuk mereka menyedari akan keagungan dan kehebatan Allah.

Saranan ketika jerebu

Islam menyarankan supaya kita menjaga nyawa seperti mana yang terdapat dalam Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Oleh itu dinasihatkan supaya kita sentiasa mendengar arahan dan saranan daripada pihak berkuasa supaya tidak terjerumus dalam kemudaratan antaranya ialah:

1. Elakkan aktiviti fizikal di luar bangunan

2. Banyakkan berada di dalam bangunan

3. Banyakkan minum air kosong

Islam juga menyarakan supaya umat Islam melakukan solat Istisqa’ iaitu solat momohon agar hujan diturunkan.

Solat merupakan doa dan ibadat yang paling penting bagi seorang hamba. Melalui solat ia dapat berhubung secara langsung dan paling hampir dengan Allah SWT serta kita juga disarankan untuk berdoa dengan rendah hati dan tawaduk di hadapan Allah yang Maha Kuasa.

Tutup makanan dan pintu rumah… Elak kediaman diganggu jin dengan 7 amalan ini

Jin dan syaitan sentiasa mengganggu manusia namun ada amalan untuk melemahkan makhluk itu. Gambar hiasan.
ASSALAMMUALAIKUM kepada semua pembaca mStar, semoga dirahmati Allah.

Sambungan dari artikel sebelum ini mengenai rumah kami diganggu oleh ramai makhluk jin dari rumah jiran sebelah yang ditinggalkan lebih tiga tahun.

Rumah itupun mempunyai pintu pagar besi yang berat. Tiap-tiap pagi ia tertutup sendiri dan malam-malam pun sama, terbuka sendiri.

Semasa saya panggil kawan saya Ustaz Zailani datang melakukan syifa, ustaz Zailaini kata ketika dia tunggu saya di depan rumah jiran yang kosong tu, tiba-tiba dia lihat pintu pagar terbuka sendiri tanpa ada angin dan ribut.Setelah peristiwa itu berlaku, anak-anak saya semua jadi takut. Kadang-kadang mereka perasan dan ternampak lembaga duduk di tangga. Apabila malam je semua anak-anak tidur dalam bilik bersama saya, ayahnya walaupun dah besar-besar.

Rumah kami tu walaupun besar dah jadi sempit sebab semua berkumpul dalam satu bilik.

Peristiwa yang melanda saya itu menyebabkan saya mula teringat beberapa pesanan nabi Muhammad SAW yang mana ia merupakan antara amalan sunah bagaimana nak mengelak daripada gangguan jin dan syaitan dalam kehidupan seharian kita.

Berikut ini antara amalan yang boleh kita lakukan.

1. Ketika nak masuk rumah dan makan

Nabi SAW bersabda: “Jika seseorang memasuki rumahnya lantas ia menyebut nama Allah saat memasukinya (dengan memberi salam), begitu pula saat ia makan (dengan membaca doa makan), maka syaitan pun berkata (pada teman-temannya): “Kalian tidak ada tempat untuk bermalam dan tidak ada bahagian makan.”

Ketika seseorang memasuki rumah tanpa menyebut nama Allah, syaitan pun mengatakan (pada teman-temannya), “Saat ini kalian mendapatkan tempat untuk bermalam.”

Jika diizin Allah, jin jahat dapat dilihat dengan wajah menakutkan. Gambar hiasan.

Jika seseorang lupa menyebut nama Allah saat makan, maka syaitan pun berkata, “Kalian mendapat tempat bermalam dan bahagian makan malam.” – [HR. Muslim no. 2018].

2. Tutup makanan

Amalkan juga dengan menutup makanan dan minuman kita selepas makan sebab nabi SAW pernah bersabda, “Tutuplah bekas makanan dan minuman kamu pada malam hari. Setiap tahun ada satu malam yang padanya diturunkan wabak.

Tidak akan lalu (melintasi) wabak itu ke atas bekas makanan atau minuman yang tidak ditutup kecuali ia (wabak) masuk ke dalamnya.” – [HR Muslim].

Dalam satu hadis lain nabi SAW bersabda, “Tutuplah bejana (makan/minuman) kamu pada waktu malam walaupun dengan sebatang lidi.”

Imam An Nawawi berkata: “Para ulama menyebutkan beberapa faedah dari perintah menutup makanan dan minuman, iaitu;

i. Menjaganya (makanan dan minuman) dari syaitan, kerana syaitan tidak dapat menyingkap penutup makanan dan minuman sekali pun hanya dengan sebatang lidi.

ii. Menjaganya dari wabak yang turun pada satu malam pada setiap tahun.

iii. Menjaga makanan dan minuman dari terkena najis dan kotoran.

iv. Menjaga dari dimasuki berbagai serangga dan binatang melata.

3. Tutup pintu rumah ketika senja

Dalam hadis lainnya, Jabir bin Abdillah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Apabila hari telah senja laranglah anak-anak keluar rumah, kerana ketika itu syaitan berkeliaran.

Umat Islam digalakkan memohon doa berlindung daripada syaitan ketika masuk ke tandas untuk membuang ‘hajat’.

Dan apabila sudah masuk sebahagian waktu malam maka biarkanlah mereka. Tutuplah pintu dan sebut nama Allah, kerana syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup (dengan menyebut nama Allah).

Tutup semua kendi kalian dengan menyebut nama Allah dan tutuplah bejana kalian dengan menyebut nama Allah, sekalipun dengan membentangkan sesuatu di atasnya, dan padamkan lampu kalian (ketika hendak tidur).” – [HR. Al-Bukhari dan Muslim].

4. Ketika masuk tandas

Daripada Anas bin Malik RA: (كَانَ النَبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم إِذَا دَخَلَ الخَلَاءَ قَالَ :(اللهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبائِثِ.

Maksudnya: Apabila Nabi SAW ingin memasuki tandas. Baginda bersabda, “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan jantan dan syaitan betina” – [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 139].

Para ulama telah menetapkan bahawa antara sebab mengapa dianjurkan kita meminta perlindungan daripada Allah SWT ketika  memasuki tandas adalah agar kita terlindung daripada syaitan-syaitan yang mendiami tempat-tempat najis dan tempat terbukanya aurat.

Rasululllah SAW telah bersabda maksudnya: “Mana-mana kampung mahupun kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan didampingi oleh syaitan.”

RIWAYAT ABU HURAIRAH r.a

Bahkan najis adalah salah satu makanan jin selain tulang-tulang dan asap. Juga tutuplah kepala semasa berada di dalam tandas kerana semasa kita ‘meneran’ untuk buang air kecil atau besar maka urat darah dalam otak kita akan kembang, maka pada masa itu jin dan syaitan akan mudah masuk melalui saluran darah kita.

5. Amalan semasa bersetubuh

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sekiranya kamu ingin bersetubuh dengan isteri ucaplah, “Ya Allah, jauhkan kami daripada gangguan syaitan, juga jauhkan zuriat yang bakal lahir ini daripada gangguan syaitan. Sekiranya mereka ditakdirkan mendapat anak hasil daripada persetubuhan itu, zuriat itu selamanya tidak dapat diapa-apakan oleh syaitan. – [ HR Bukhari].

6. Selepas akad nikah dan malam pertama

Dalam satu hadis nabi SAW menasihati umat manusia agar dari awal lagi iaitu selepas akad nikah sehingga ke malam pertama, perlu berdoa memohon perlindungan Allah SWT daripada gangguan jin dan syaitan.

Beri salam ketika masuk rumah boleh mengelak diganggu jin dan syaitan. Gambar hiasan.

Caranya suami perlu meletakkan tangan kanannya di atas ubun-ubun kepala isterinya sambil berdoa, “Ya Allah, aku memohon kepadaMu kebaikan yang telah Engkau selubungi ke atasnya, dan aku berlindung dari keburukannya dan keburukan yang telah Engkau selubungi ke atasnya.

“Ya Allah berkatilah isteriku ini atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya.” – [HR Abu daud dan Menurut Al Albaaniy sanadnya baik]

7. Lakukan solat berjemaah

Satu lagi amalan yang nabi SAW sebutkan iaitu mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas serta aman dari gangguan syaitan.

Bersikap sambil lewa terhadap solat berjamaah akan menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi mereka. Apabila selalu berdampingan, lama kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain.

Mengikut riwayat Abu Hurairah r.a, Rasululllah SAW telah bersabda maksudnya: “Mana-mana kampung mahupun kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan didampingi oleh syaitan.”

Oleh itu hendaklah kita dirikan solat berjemaah. Sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya. – [HR Abu Daud dengan sanad].

Berbalik mengenai kisah saya dan keluarga, tiap-tiap malam apabila kami pasang ayat suci al-Quran, anak saya terdengar lembaga tu menangis mungkin kepanasan.

Selain itu banyak kejadian lain yang berlaku dalam rumah kami dengan kelibat menyeramkan muncul.

Memang kami dah nekad nak berpindah ke rumah baru. Semoga Allah merahmati kami semua.

Sebarkan semoga bermanfaat untuk kita semua dan menjadi sebahagian dari amal jariah kita.

 

Catatan buruk atau baik di media sosial, ‘sahamnya’ akan diterima sehingga kiamat

Allah tidak hanya mencatat amal perbuatan yang kita lakukan, namun Allah juga mencatat semua pengaruh serta kesan daripada perilaku dan perbuatan kita.
KEHIDUPAN manusia itu bergantung pada setiap amalan yang dilakukannya sama ada baik ataupun buruk. Ini kerana Allah telah menjadikan setiap kejadian di atas muka bumi itu berpasang-pasangan.

Allah menciptakan laki-laki dan perempuan, Allah juga menciptakan siang dan malam. Ini berdasarkan firman Allah didalam Surah Adh-Dzariyat ayat 49: Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah.

Tujuan kehidupan manusia diatas muka bumi ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Kerana itu, setiap apa yang di lakukan di atas muka bumi semuanya akan di catat oleh dua malaikat bernama Raqib dan Atib yang akan mencatat amalan baik dan buruk.

Allah tidak hanya mencatat amal perbuatan yang kita lakukan, namun Allah juga mencatat semua pengaruh serta kesan daripada perilaku dan perbuatan kita. Allah berfirman didalam Surah Yasin ayat 12: Sesungguhnya Kami yang menghidupkan orang mati, Kami catat semua yang telah mereka lakukan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan. Dan semuanya kami kumpulkan dalam kitab (catatan amal) yang nyata.


Media sosial boleh menjadi perkara bermanfaat jika digunakan dengan betul.

Al-Hafidz Ibnu Katsir menyebutkan dua tafsir ulama tentang makna kalimat, ‘bekas-bekas yang mereka tinggalkan’ iaitu:

1. Jejak kaki mereka ketika melangkah menuju ketaatan atau maksiat

Ini merupakan pendapat Mujahid dan Qatadah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Najih.

Di antara dalil yang menguatkan pendapat ini adalah hadis dari Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhuma, bahwa ada Bani Salamah ingin berpindah membuat perkampungan yang dekat dengan Masjid Nabawi Kerana mereka terlalu jauh jika mahu pergi solat jemaah setiap hari ke Masjid Nabawi. Ketika berita ini sampai kepada Nabi SAW beliau bersabda: Wahai Bani Salamah, perjalanan dari rumah kalian ke masjid akan dicatat jejak-jejak kali kalian. (HR. Muslim 1551, dan Ahmad 14940)

2. Pengaruh daripada amalan yang kita kerjakan

Ertinya, Allah mencatat bentuk amalan  yang mereka kerjakan dan pengaruh dari amalan itu. Jika baik, maka dicatat sebagai kebaikan. Dan jika buruk dicatat sebagai keburukan.

Ini seperti yang disebutkan dalam hadis dari sahabat Jarir bin Abdillah, bahwa Nabi SAW bersabda: Siapa yang menghidupkan sunah yang baik dalam Islam, kemudian diikuti oleh orang lain setelahnya maka dicatat untuknya mendapatkan pahala seperti orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun.

Sesiapa yang menghidupkan budaya yang buruk ditengah kaum muslimin, kemudian diikuti oleh orang lain setelahnya, maka dia mendapat dosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun. (HR. Muslim 2398, Ahmad 19674, dan yang lainnya)

Ada di antara kita yang menggunakan media sosial untuk memaki hamun, menyebar fitnah, menanam kebencian dan sekali gus menyebabkan perbalahan diantara satu sama lain. Maka semua itu akan menjadi dosa walaupun sesudah ia meninggal dunia selagi mana ia tidak membetulkan keadaan itu kembali.

DR NUR MOHAMMAD HADI ZAHALAN

Maka dapat kita fahami, bahawa setiap apa yang kita tulis dan kita lakukan khususnya di media sosial maka semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah.

Jika perkara yang kita lakukan itu merupakan amalan yang baik dan diikuti oleh orang lain, maka ia akan memperolehi saham sehingga hari kiamat selagi mana pekara baik itu dibuat secara berterusan oleh orang lain. Tetapi jika sebaliknya, ia juga akan mendapat saham dosa sehingga hari kiamat.

Ada di antara kita yang menggunakan media sosial untuk memaki hamun, menyebar fitnah, menanam kebencian dan sekali gus menyebabkan perbalahan diantara satu sama lain.

Seseorang manusia itu akan mendapat habuan sama ada baik atau buruk berdasarkan apa yang ditinggalkan kepada orang lain di dunia. Gambar hiasan.

Maka semua itu akan menjadi dosa walaupun sesudah seseorang itu meninggal dunia selagi mana ia tidak membetulkan keadaan itu kembali.

Oleh itu, pastikan apa yang ingin kita kongsikan khususnya di media sosial boleh menjadi teladan kepada orang lain supaya dapat diikuti.

Sendiri buat sendiri mahu ingat, buat di dunia akhirat akan dapat!

Justeru, hati-hatilah jika menulis sesuatu di media sosial termasuklah ketika menyebarkan apa juga infon melalui kumpulan WhatsApp.

Hebatnya sabar, 90 kali disebut dalam al-Quran! Allah sediakan mahligai bawahnya mengalir air sungai

Sungguh besar sabar itu didalam Islam sehingga didalam Al-Quran disebut perkataan sabar sebanyak 90 kali.
SABAR merupakan perkataan yang sering kita dengar dalam kehidupan seharian, akan tetapi tahukah kita bahawa ia adalah perkataan yang mudah diungkap tetapi susah untuk dilaksanakan melainkan mereka yang benar-benar mempraktikkan nilai kesabaran dalam diri masing-masing.

Sabar membawa maksud menahan atau meninggalkan. Setiap orang tidak terlepas daripada nikmat dan cubaan dalam kehidupan mereka.

Maka kesabaran dalam sesuatu perkara perlulah dititikberatkan supaya pekerjaan yang dilakukan mendapat hasil yang diingini.

Mana mungkin seseorang yang ingin berjaya dalam perniagaan, kehidupan rumah tangga mahupun pelajaran tidak akan mendapat hasil yang baik jika tidak mempunyai sifat sabar.

Sifat sabar merupakan satu sifat yang cukup hebat sehinggakan Allah menyebutnya dalam Al-Quran dalam banyak tempat, tetapi yang paling hebat apabila Allah menyebut didalam Surah Al-Baqarah ayat 153 yang maksudnya; Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.

Ya… Sabar merupakan sifat yang akan mendekatkan diri kita dengan Allah. Sabar juga merupakan kekuatan bagi jiwa orang mukmin.

Terdapat beberapa jenis sabar yang perlu kita ambil perhatian dalam menjadikan kita seorang Muslim yang baik. 

Sabda baginda Rasulullah di dalam satu hadis maksudnya; Iman itu dua bahagian; satu bahagian sabar dan satu bahagian lagi adalah syukur – [HR Baihaqi:9264].

Sungguh besar sabar itu dalam Islam sehingga di dalam Al-Quran disebut perkataan sabar sebanyak 90 kali.

Jenis kesabaran

1. Sabar dalam ketaatan kepada Allah

Ketaatan kepada Allah merupakan perkara yang wajib diikuti oleh semua manusia. Ia merupakan perintah Allah kepada kita. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 21, ertinya: Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa.

Sabar dalam mentaati Allah merupakan sabar yang penuh dengan dugaan, ini kerana sudah menjadi tabiat manusia yang tidak suka dikongkong dengan mana-mana peraturan kehidupan. Manusia suka akan kebebasan dan suka kepada benda-benda yang menghiburkan.

Sabar dalam mentaati Allah lebih sempurna daripada sabar menjauhkan diri daripada perkara-perkara maksiat. Sesungguhnya kebaikan dalam melakukan ketaatan lebih dituntut oleh syarak daripada kebaikan meninggalkan maksiat.

Ini kerana manusia yang mentaati Allah bersungguh-sungguh dengan sendirinya akan menjauhkan diri daripada maksiat kepada Allah.

Firman Allah didalam Surah Maryam ayat yang ke 65, ertinya: Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, oleh itu, sembahlah Dia (Allah) dan bersabarlah dengan tekun dan tetap dalam beribadah kepadaNya.

Sabar dalam ketaatan kepada Allah pula kata ulama terbahagi kepada tiga:

I. Sabar sebelum daripada melakukan ketaatan dengan membetulkan niat yang ikhlas kerana Allah dan menjauhi daripada unsur-unsur riyak.

Firman Allah didalam Surah Al-Hud ayat yang ke 11, ertinya; Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.

Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, oleh itu, sembahlah Dia (Allah) dan bersabarlah dengan tekun dan tetap dalam beribadah kepadaNya. 

SURAH MARYAM, AYAT KE 65

Dalam ayat ini Allah mendahulukan kesabaran daripada amalan itu sendiri yang membawa erti setiap amalan yang hendak dikerjakan. Maka kita perlulah bermula daripada kesabaran dengan membetulkan niat yang ikhlas supaya setiap apa yang dibuat akan mendapat keredaan Allah.

II. Sabar dalam keadaan sedang mengerjakan sesuatu ketaatan supaya tidak lalai, tidak malas dan tidak khusyuk. Maka kita akan melaksanakan segala tuntutan seperti mana yang diajarkan dan diterangkan oleh baginda Rasulullah.

Firman Allah didalam Surah Al-Ankabut ayat yang ke 58 dan 59, ertinya; (ayat 58) Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di syurga yang mengalir di bawahnya beberapa batang sungai, mereka kekal didalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh. (59) (iaitu) mereka yang sabar dan mereka yang berserah diri bulat-bulat kepada Tuhannya.

III. Sabar selepas daripada beramal: Iaitu janganlah melihat diri sendiri dengan pandangan yang ujub (bangga dengan diri sendiri) supaya setiap amalan yang dikerjakan tidak menjadi sia-sia.

2. Sabar dalam meninggalkan maksiat dan perkara-perkara haram

Sesungguhnya Allah menjadikan sesuatu sebagai ujian untuk menilai keimanan seseorang itu terhadapNya. Firman Allah didalam Surah Al-Anbiya’ ayat yang ke 35, ertinya; Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Manusia memerlukan kesabaran dalam menjalani kehidupan yang sementara di dunia dan sabar daripada melayan nafsu yang membinasakan.

Allah menjelaskan kepada kita bahawa setiap apa yang ada pada orang yang tidak beriman dan melakukan maksiat bukan bererti mereka mendapat nikmat, akan tetapi ia adalah satu bala yang mana ramai manusia tidak mengetahuinya.

Kehilangan orang yang dikasihi  antara dugaan diberikan Allah namun kita hendaklah bersabar menempuhnya. Gambar hiasan.

Contoh-contoh yang jelas dalam Al-Quran seperti Firaun yang mempunyai kekuasaan dan kekayaan tetapi Allah melaknat akan dia disebabkan ketidakimanan kepada Allah. Begitu juga dengan Qarun yang mempunyai harta yang cukup banyak tetapi harta itu tadi merupakan malapetaka baginya.

3. Sabar dalam sesuatu ujian dan ketentuan Allah yang menyakitkan

Tidak ada seseorang yang terlepas daripada kesakitan badan, kesakitan jiwa, kerugian harta benda dan kehilangan orang yang dikasihi.

Ujian ini datang tidak kira baik atau jahat, mukmin atau kafir tetapi yang membezakannya adalah bagaimana orang mukmin menghadapi setiap musibah itu dengan keredaan dan ketenangan kerana mereka yakin ia adalah ujian Allah untuk menguji hamba-hambanya.

Ia juga perlu dilihat sebagai satu tangga untuk meningkatkan keimanan. Firman Allah didalam Surah Al-Baqarah ayat 155, ertinya; Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.

Setiap ujian manusia itu berbeza diantara satu sama lain maka dengan kita bersabar dan yakin kepada Allah, ia akan menjadikan seorang hamba itu lebih reda menangani setiap masalah yang dihadapi.

Sabda baginda Rasulullah didalam sebuah hadis, ertinya; Daripada Syuhaibin telah berkata, telah bersabda baginda Rasulullah: “Sungguh ajaib urusan orang mukmin, semua urusannya adalah baik, dan tidak ada seperti itu melainkan mukmin sahaja. Jika ditimpa kesenangan ia akan bersyukur, maka itu baik baginya. Jika ditimpa kesusahan pula ia bersabar maka itu baik juga untuknya – [HR Muslim:2999].