Korban bukan sekadar ibadah haiwan sembelihan sebaliknya terus perkuatkan Islam

Masalah kebuluran di negara bergolak telah menyebabkan kanak-kanak tidak berdosa menjadi mangsa.
SALAM semua dan selamat menyambut hari raya korban atau Aidiladha. Alhamdulillah bagi sesiapa yang telah melakukan ibadah korban iaitu menjadi sunah yang sangat dituntut.

Apabila bercakap mengenai korban, saya teringat bahawa kita sebagai seorang Islam sepatutnya sentiasa berkorban untuk meninggikan agama Allah, tidak kira masa dan tempat.

Kalau yang dimaksudkan korban cuma berkorban sebahagian dari seekor lembu atau dengan seekor kambing dan cuma sekali setahun, kita belum cukup menghayati hikmah korban yang sebenar, jika masih ramai saudara seagama kita yang masih kebuluran di serata dunia.

Apakah hikmah korban itu telah tercapai?

Di Somalia lebih sejuta kanak-kanak yang mati kebuluran dek kerana tiada makanan, badan mereka macam mayat hidup yang tinggal tulang dan kulit sahaja. Di Syria saudara kita sudah lama makan kertas, kucing, anjing dan apa sahaja untuk hidup.

Apakah hikmah korban telah tercapai? Contoh yang paling dekat dengan kita, umat Islam Rohingya ditindas, dicincang, dirogol bahkan satu kampung dibakar dan dihalau dari kampung halaman mereka. Apakah telah tercapai maksud dan hikmah korban kita?

Teringat saya Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam lagunya, “berkorban apa saja harta atau pun nyawa.”

Kita masih bercerita tentang pengorbanan harta belum lagi nyawa. Korban nyawa tak payah cerita… Korban harta pun bukan semua orang, dan sekali setahun untuk bagi makan fakir miskin dalam kalangan orang Islam.

Oleh tu kita kena faham tuntutan pengorbanan dalam Islam agar mencapai hikmah dan tujuan sebenar.

Apabila sebut pasal korban kita dipaparkan tentang sejarah Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih anaknya sendiri.

Antara hikmah ibadah korban adalah untuk membantu golongan susah dan fakir miskin.

Tetapi dalam masa yang sama apa pengorbanan lain Nabi Ibrahim AS? Perintah untuk berdakwah sehingga terpaksa meninggalkan keluarga, pengorbanan isterinya Siti Hajar bersama anaknya Nabi Ismail AS yang ditinggalkan di padang pasir yang kering kontang sehingga ke hulu ke hilir mencari air untuk minuman.

Pengorbanan Nabi Ibrahim AS dalam mengajak kaumnya yang syirik kepada Allah yang menyembah berhala, bahkan ayahnya sendiri Azar adalah pembuat berhala untuk dijual.

Tetapi bagaimana Nabi Ibrahim sendiri ditugaskan oleh ayahnya supaya menjual berhala? Tetapi Nabi Ibrahim AS mengajak kaumnya supaya menggunakan akal fikiran yang waras dalam memilih untuk menyembah Tuhan yang sebenar.

Nabi Ibrahim AS menyeret berhala yang dikatakan Tuhan sampai tercabut tangan telinga kaki dan sebagainya sambil menawarkan jualan Tuhan itu.

Logik akalnya bagaimana berhala dikatakan Tuhan sedangkan Tuhan kena jual, Tuhan putus tangan, putus kaki, putus telinga. Tuhan takde cakap apa pun diheret sampai  putus segala anggota badan. Tuhan ke macam tu? Macam mana manusia sanggup menyembah Tuhan seperti tu?

Dalam kisah yang lain, Nabi Ibrahim AS telah menetak berhala Tuhan di rumah penyembahan dengan kapak. Dikapaknya berhala tadi dan ditinggalkan berhala yang besar dan diletaknya kapak tadi di tangan berhala yang besar.

Apabila penyembah berhala tadi datang nak menyembah maka mereka terkejut semua berhala tadi tidak ada kepala, tak ada telinga, putus tangan dan sebagainya.

Mereka mengesyaki ini mesti perbuatan Nabi Ibrahim AS. Apabila ditanya, maka apa kata Nabi Ibrahim AS? Tanyalah Tuhan yang besar tu sebab kapak tu ditangannya! Kaumnya berkata: Mana berhala boleh bercakap? Nah habis kalau bercakap pun tak boleh, kenapa kamu sembahnya sebagai Tuhan?

Nabi Ibrahim AS mengajak kaumnya menggunakan akal fikiran yang waras dalam menilai apa yang disembah.

Dalam al-Quran Allah SWT menceritakan kisah kaum Nabi Ibrahim AS apabila mereka nampak bintang yang bercahaya mereka kata; Oh itulah Tuhan kami yang bercahaya.

Mudah-mudahan ibadah korban yang kita lakukan ini mendapat reda Allah serta menjadikan kita hamba Allah yang sentiasa mensyukuri nikmatnya.

Tetapi apabila hilang bintang tu, maka apa kata mereka; Oh kami tak suka Tuhan yang menghilangkan diri!  Apabila mereka nampak matahari terbit dengan bersinarnya, mereka kata; Oh inilah Tuhan kami dan ini lebih besar!

Begitulah telatah kaum Nabi Ibrahim AS apabila mereka mengunakan akal tanpa dipandu oleh hidayah.

Maka akal fikiran mesti dipandu oleh hidayah. Sebab bukan semua perkara boleh dicapai oleh akal fikiran manusia.

Contohnya, manusia hidup perlukan udara. Kita nampak tak udara? Tak nampak, tapi ada tak? Ada. Kita ada rohkan, kalau tak ada roh matilah kita

Tapi kita  nampak tak roh di mana? Tak nampak sebab tu kita kena berpandukan kepada hidayah daripada Allah. Hidayah maknanya panduan atau petunjuk sebenar daripada Allah.

Kalau nak cerita pengorbanan nyawa baginda Nabi SAW bersama dengan sahabat terpaksa menghadapi tekanan, peperangan yang amat dahsyat lebih dari seratus peperangan untuk mempertahankan Islam, mempertahankan sebuah negara Islam Madinah dan negara-negara yang  berlindung di bawah pentadbiran Islam yang adil.

Itulah Islam agama rahmat bagi sekalian alam yang sampai kepada kita merentasi pengorbanan harta dan nyawa setiap penganut sepanjang zaman dan seluruh pelosok dunia.

Lalu apa pengorbanan kita kepada agama Allah. Berapa banyak harta kita yang telah kita korbankan, tenaga kita berapa banyak kita kerahkan untuk mengajak manusia kepada jalan yang benar.

Minda kita berapa banyak idea kita curahkan untuk agama Allah? Nyawa kita sanggup tak kita pertaruhkan untuk menyampaikan rahmat kepada sekalian alam?

Sebenarnya kehidupan kita amat jauh dari tuntutan pengorbanan yang sebenar, ikhlas kerana Allah dan bukan kerana selain Allah.

Sanggupkah kita melihat situasi seperti ini terus berlaku di seluruh dunia?

Maka carilah ruang waktu dan kesempatan, kerahan tenaga dan keringat, idea, harta dan kenikmatan yang Allah curahkan kepada kita demi sebuah perjuangan hanya kerana Allah semata-mata.

Allah berfirman dalam al-Quran, “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan balasan bahawa mereka akan beroleh syurga, disebabkan mereka berjuang (sehingga sanggup berkorban) pada jalan Allah” – [Al-Taubah:111].

Salah satu hikmah kita berpuasa adalah untuk merasakan kesusahan orang fakir yang terpaksa menahan lapar dan dahaga. Kita merasakan bahawa kita telah berpuasa dengan jayanya cukup sebulan bulan Ramadan, dan dalam bulan puasa kita bersedekah dengan banyaknya bagi makan orang fakir miskin dan selainnya, tetapi setelah berlalunya Ramadan adakah kita masih bersedekah memberi makan fakir miskin 11 bulan yang lain?

Juga, bulan Ramadan kita mengeluarkan zakat supaya membantu fakir miskin turut meraikan hari kemenangan.

Tetapi setelah berlalunya Ramadan, bagaimana kehidupan fakir miskin dalam 11 bulan yang lain. Ada tak umat Islam mengeluarkan zakat harta yang lain. Zakat fitrah tak ada masalah sebab sikit je tak lebih RM8.

Tapi zakat wang simpanan, zakat perniagaan, zakat emas dan zakat pendapatan adakah kita bayar zakat untuk membantu asnaf yang dalam kesusahan?

Oleh itu, marilah sama-sama kita memahami dan menghayati makna sebenar sesuatu ibadah yang Allah fardukan kepada kita supaya kebajikan seluruh umat Islam terpelihara dengan keindahan sistem Islam yang membawa rahmat kepada sekalian alam.

Kongsikan artikel ini semoga menjadi sebahagian amal jariah kita. Wallahua’lam.

Speak Your Mind

*