Archives for October 31, 2021

Tuan Norizan Kongsikan Cara Nak Bersara Awal Di Usia 54 Tahun

Nampak simple dan semua orang boleh buat, itulah perkongsi daripada Tuan Norizan bin Sharif bagaimana cara untuk bersara awal pada usia 54 tahun dengan tenang. Beliau memang banyak berkongsi mengenai kehidupan dan gaya penulisan beliau sempoi dan mudah difahami.

Kini beliau menetap di Amerika Syarikat dan benarlah kata orang, “Jauh perjalanan luas pemandangan”.

Apa Maksud Pencen Umur 54 Dengan Tenang?

Ramai sahabat-sahabat tanya, “Betulkah dah pencen?” Ada juga yang buat komen, “Eh, muda lagi, baru umur 54 dah pencen?”

Dalam masyarakat kita, “pencen” bermaksud tunggu nak mati.

Duduk di rumah, jaga cucu. Atau, selepas solat Subuh join group surau di kedai mamak sambil buat analisis politik. Itu “pencen” dalam masyarakat kita.

Bagi saya, “pencen” membawa maksud kita bebas mengatur gaya hidup sendiri. We take control of our life. Kita buat keputusan apa yang kita mahu. Bukan boss. Bukan staf.

Ini berbeza dengan orang yang “terpaksa bekerja”. Mengapa mereka terpaksa bekerja? Nak bayar hutang. Hutang kahwin. Hutang beli handphone. Hutang tukar kereta baru. Hutang kad kredit. Ada komitmen kewangan yang tinggi untuk support gaya hidup tertentu – rumah besar, kereta besar, nak melancong ke luar negara, makan di tempat hebat. Semua lima bintang.

Dalam beberapa tulisan sebelum ini, saya sebutkan mengenai hidup tanpa ropol, saya berikan tips bagaimana untuk hidup tanpa hutang, saya sebutkan mengenai dunia freelance (digital nomad) dan saya terangkan mengenai bagaimana menguruskan kewangan peribadi. Sekiranya anda masih ingat, saya pernah menulis mengenai betapa di pejabat saya dulu, saya tak letak gambar keluarga, gantung ijazah di dinding atau letak barang-barang peribadi. Saya menulis ketika itu, saya tidak berhasrat untuk lama-lama di situ. Selesai tugas, saya pergi.

Sekiranya anda belum baca, boleh cari tulisan-tulisan itu di wall Facebook saya. Kesemua tulisan tersebut bertujuan mendidik kita untuk “pencen” awal. Saya tulis apa yang saya telah amalkan. Itu bukan ilmu buku teks. Itu pengalaman lelaki berusia 54 tahun dan isterinya yang pernah tidur beralas lengan dalam bilik stor di kedai di Taman Sri Gombak. Itu pengalaman lelaki yang pernah keluarkan anak dari tadika kerana tak mampu bayar yuran.

5 Tips Untuk Bersara Awal

  1. Elakkan riba. Cari jalan supaya tak habiskan wang bayar faedah (interest). Faedah pinjaman inilah punca kenapa sebahagian besar kita terpaksa bekerja sampai mati.
  2. Usah ada hutang. Ikat perut. Hidup tanpa ropol. Elak tukar kereta, beli handphone baru, dan pergi melancong setiap kali dapat kenaikan gaji atau bonus. Simpan lebihan wang. Fikirkan jangka panjang.
  3. Kahwin awal supaya apabila kita berusia 50 tahun, anak-anak semua sudah bekerja dan boleh berdikari.
  4. Usah hidup dalam kemampuan. Hidup di bawah kemampuan. Kalau kita mampu beli barang RM10, beli yang berharga RM2. Baki RM8 simpan.
  5. Mula rancang pencen sejak mula bekerja. Tetapkan matlamat bila nak pencen, berapa banyak wang yang diperlukan dan buat strategi bagaimana nak capai matlamat kewangan tersebut.

Apabila kita jalani kehidupan tanpa ropol dan membebaskan diri dari kemewahan dunia yang tak perlu, barulah kita boleh hidup bebas.

Barulah kita boleh memilih apa yang kita mahu. Barulah kita ada masa menerokai apa yang selama ini kita tidak dapat lakukan. Usah biarkan dunia berada dalam diri kita. Biar kita pijak dunia. Barulah kita akan dapat mengawal destinasi kita sendiri.

Apabila saya kata saya pencen, adakah ini bermaksud saya tidak bekerja lagi? Saya bekerja – dengan cara saya sendiri. Usia 54 tahun terlalu muda untuk saya duduk memerap di rumah. Namun, sebagai “orang pencen” saya boleh memilih apa yang saya mahu lakukan. Saya tidak terikat dengan jadual 8-5.

Mungkin ada yang bertanya, mengapakah tak ada gambar saya bertemu orang itu dan ini. Atau, bergambar di depan papan tanda pejabat? Atau, bergambar di depan menara tinggi-tinggi. Atau, bergambar dengan Mat Salleh? Mengapakah gambar brisk walk saja? Mana gambar Statue of Liberty? Mana gambar 42nd Street? Mana gambar Empire State Building?

Itulah indahnya dunia pencen. Kita tak perlu melaporkan dan mendapatkan pengiktirafan boss – atau, kawan-kawan Facebook. Bahagia ialah apa yang kita rasa, bukan apa (harta) yang kita miliki!

Sumber: Norizan Bin Sharif 

Perlu Ada Pelan Untuk Pencen Awal

Kita seharusnya ada rancangan untuk pencel lebih awal daripada umur 60 yang ditetapkan. Kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan hidup di bawah tahap kemampuan. Usaha untuk habiskan hutang secepat mungkin dan banyakkan menyimpan.

Nampak macam mudah, tapi kalau takde pelan untuk pencen awal, nampak gayanya kita terpaksa kerja sampai ke usia tua.

Sebab kalau nak harapkan duit persaraan cukup dengan simpanan KWSP, pastikan anda baca Harapkan Duit Simpanan KWSP Tidak Cukup Untuk Bersara – Data KWSP. Izinkan kami kongsi beberapa point yang perlu kita ambil iktibar seperti di bawah:

  • Malaysia merupakan negara yang semakin tua, dengan populasi mereka yang berumur 65 dan ke atas akan menjadi 15% pada tahun 2035. Manakala, jangka hayat rakyat Malaysia pula semakin meningkat dengan lelaki berada pada umur 72.5 tahun manakala wanita pula berada pada umur 77.4 tahun.
  • 68% daripada pencarum KWSP berumur 54 tahun dan ke bawah hanya mempunyai kurang daripada RM50,000.
  • Kelompok 20% terbawah pencarum KWSP mempunyai simpanan purata sebanyak RM6,909
  • Daripada 32 juta rakyat Malaysia, 69% tergolong dalam ‘umur bekerja’ iaitu di antara 15-65 tahun. Hanya 48% daripada golongan ini mempunyai akaun KWSP yang aktif.
  • 70% pencarum yang mengeluarkan simpanan pada umur 55 tahun, menghabiskannya dalam masa kurang daripada 10 tahun.

Di usia tua inilah kita patut tingkatkan ibadat dan risau akan bagaimana keadaan hidup kita sesudah mati. Bukannya risau di mana datangnya rezeki demi sesuap nasi.

Jadi apakah persiapan untuk bersara di usia muda yang telah anda buat? Dan adakah ia memadai? Hanya anda yang boleh jawab dengan jujur.

Panduan Memohon Bersara Pilihan (Bersara Awal)

Kebanyakkan penjawat awam yang telah menandatangani opsyen persaraan pada usia 55, 56, 58 dan 60 tahun masih lagi terkeliru dengan informasi yang telah mereka terima melalui media sosial.
Ramai yang beranggapan mereka terpaksa mencapai umur opsyen berkenaan untuk bersara bagi mendapatkan faedah persaraan seperti pencen bulanan dan sebagainya.
Sebenarnya penjawat awam tidak terikat dengan opsyen tersebut dan boleh memilih untuk bersara lebih awal iaitu seawal usia 40 tahun dengan tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 10 tahun yang boleh dimasuk kira.

Bersara Awal

Soalan Penjawat Awam (Bakal Pesara):
Nama saya Mimi Rugayah, saya berumur 45 tahun dan telah berkhidmat selama 18 tahun (dilantik pada 1 Oktober 1999) sebagai Pegawai Tadbir di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Saya telah memilih skim pencen dan memilih opsyen umur persaraan 60 tahun.
Jika saya ingin bersara pada 1 Oktober 2018, bagaimanakah cara untuk saya memohonnya? Apakah faedah-faedah persaraan yang akan saya terima? Betulkah pencen bulanan saya hanya akan dibayar pada umur saya 60 tahun?
Jawapan:
Puan Mimi Rugayah, terima kasih kerana menghubungi pihak kami.

Untuk makluman, mengikut Seksyen 12, Akta Pencen 1980 :
Syarat-syarat memohon persaraan pilihan:
– berumur sekurang-kurangnya 40 tahun pada tarikh kuatkuasa persaraan pilihan;
– berkhidmat sekurang-kurangnya selama 10 tahun dalam perkhidmatan yang boleh diambilkira (tanpa sebarang cuti tanpa gaji, cuti berlebihan atau tempoh yang tidak layak); dan
– mendapat sokongan Ketua Jabatan
– bebas tindakan tatatertib
– bebas tapisan SPRM
Cara memohon?
– hantar surat permohonan kepada Ketua Jabatan
– Permohonan dihantar ke JPA/KWAP melalui perakuan dan sokongan Ketua Jabatan
– Dokumen yang lengkap perlu dikemukakan ke JPA/KWAP dalam tempoh tidak kurang dari 3 bulan daripada tarikh persaraan pilihan (Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 tahun 2003)

Faedah-faedah yang bakal diterima setelah diluluskan persaraan pilihan?
1. Award Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (GCR) – Terhad sehingga 150 hari sahaja
Formula perkiraan:
1/30 x GCR x Gaji (gaji pokok termasuk imbuhan tetap)
2. Ganjaran perkhidmatan (gratuity)
Formula perkiraan:
7.5% x tempoh perkhidmatan dalam bulan x gaji pokok akhir
Bilakah PENCEN bulanan mula dibayar?
– ianya bergantung kepada tarikh lantikan anda
– sekiranya anda dilantik sebelum 12 April 1991, jika anda ingin bersara pilihan, sekiranya diluluskan, maka pencen bulanan akan mula dibayar :
a) pada umur 45 tahun bagi semua anggota/pegawai wanita, anggota polis berpangkat rendah daripada ASP (Inspektor ke bawah), anggota bomba berpangkat rendah, pegawai penjara (bawah dari pangkat penguasa penjara) jururawat lelaki yang bertugas di hospital mental Kerajaan; dan
b) pada umur 50 tahun bagi semua anggota / pegawai lelaki selain jawatan di atas (a).
– sekiranya anda dilantik selepas 12 April 1991, sekiranya anda ingin bersara pilihan, pencen akan mula dibayar kepada anda apabila anda mencapai umur 55 tahun, walaupun opsyen umur persaraan wajib anda adalah pada 60 tahun, anda tetap akan menerima pada umur 55 tahun dan tidak sebelum umur itu.
Ini bagi menjawab soalan ke 3 puan di atas. Peraturan ini adalah sepertimana pindaan yang telah dibuat pada tahun 2011 dan masih berkuatkuasa sehingga ke hari ini.
Formula Perkiraan Pencen:
1/600 x tempoh perkhidmatan dalam bulan yang boleh dimasukkira x gaji pokok akhir
– kiraan pencen bulanan adalah terhad kepada pencen maksimum iaitu sebanyak 3/5 x gaji pokok akhir atau 60% x gaji pokok akhir atau terhad kepada tempoh 360 bulan (30 tahun) sahaja.
** sebaiknya untuk penentuan tarikh untuk bersara pilihan, pilihlah tarikh selepas anda menerima kenaikan gaji tahunan. Walau bagaimanapun, tarikh persaraan pilihan anda yang tentukan.
** tiada sebarang konsep persaraan pilihan bagi penjawat awam yang memilih skim KWSP. Anda dikira meletakkan jawatan dan anda hanya layak menuntut caruman majikan dan caruman pekerja/anggota sahaja, tiada sebarang faedah persaraan dan perubatan akan diberikan kepada anda sekeluarga.
Sekian dimaklumkan, terima kasih.
Sila Tag kawan anda atau SHARE post ini supaya keluarga, rakan-rakan atau kenalan anda tahu mengenai info ini.
Sumber: Bahagian Pasca Perkhidmatan
Jabatan Perkhidmatan Awam
8 Januari 2018