Archives for October 24, 2026

UTM santuni warga sekolah melalui khidmat bakti dan penambahbaikan infrastruktur

KOTA TINGGI, 24 Okt. – Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama Kelab UTM Marshall Johor Bahru dan Sukarelawan UTM PRIHATIN, menganjurkan Program RIDE USR @ Bantuan B40 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, pada Sabtu bagi membantu meningkatkan keselesaan dan keceriaan persekitaran sekolah.

Program yang melibatkan 45 sukarelawan, guru serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu memberi tumpuan kepada aktiviti gotong-royong, kerja-kerja mengecat dan penyelenggaraan kemudahan asas sekolah bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih bersih, selesa dan kondusif.

Antara aktiviti utama yang dilaksanakan ialah mengecat laluan pejalan kaki dengan tema jalan raya bagi meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan murid. Selain itu, sukarelawan turut mengecat dinding sekolah di tingkat dua serta menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan elektrik, termasuk membaiki dan menggantikan lampu serta soket yang rosak dan memeriksa fius yang mengalami kerosakan.

Kerja-kerja mengemas dan menceriakan kawasan sekolah turut dilaksanakan bagi menambah baik persekitaran pembelajaran serta memberikan suasana yang lebih selesa kepada warga sekolah.

Guru Besar SK Taman Kota Jaya, Zubir Ismail, menyambut baik pelaksanaan program tersebut dan menyifatkan kerjasama yang terjalin sebagai inisiatif yang amat bermanfaat kepada pihak sekolah.

Beliau berharap hubungan kerjasama antara UTM dengan pihak sekolah dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membolehkan lebih banyak usaha kebajikan dan penambahbaikan persekitaran sekolah dilaksanakan demi kepentingan guru dan murid.

Penyampaian cenderahati daripada UTM PRIHATIN kepada pihak sekolah

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM, Mahyudin Md Sarip, berkata program seumpama itu mencerminkan komitmen universiti dalam melaksanakan tanggungjawab sosial melalui sumbangan khidmat bakti, kepakaran dan tenaga sukarelawan kepada komuniti yang memerlukan.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan akan diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha menyokong golongan pendidik dan sekolah yang memerlukan bantuan dalam menceriakan serta menambah baik kemudahan persekitaran pembelajaran.

Program itu diketuai oleh Haironizam Mohamad selaku penyelaras program, yang bertanggungjawab menyelaraskan tugasan sukarelawan sepanjang aktiviti berlangsung bagi memastikan pelaksanaan setiap aktiviti berjalan dengan teratur.

Penyerahan sumbangan kepada penerima bantuan B40

Penganjuran Program RIDE USR itu memperlihatkan komitmen UTM dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat menerusi pendekatan Tanggungjawab Sosial Universiti (University Social Responsibility, USR). Selain membantu meningkatkan kualiti persekitaran sekolah, program berkenaan turut menyokong usaha memupuk semangat kesukarelawanan, kerjasama berpasukan dan keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat.

Sukarelawan UTM dan wakil sekolah berganding bahu menjayakan Program RIDE USR

Pusat Islam UTM, bersama Kelab UTM Marshall Johor Bahru dan Sukarelawan UTM PRIHATIN, berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang bagi memperluas manfaat kepada sekolah dan komuniti yang memerlukan, sekali gus memperkukuh hubungan antara universiti dengan masyarakat setempat.

kredit Ustaz Mahyudin Md Sarip Pusat Islam UTM