14 tip di Mina dan Arafah, jemaah perlu mandi awal pagi elak berebut tandas

PADAT… Jemaah haji dari seluruh dunia akan berkumpul di Arafah untuk melaksanakan rukun haji kedua iaitu wukuf di Arafah yang bermula dari gelincir matahari pada 9 Zulhijjah iaitu apabila masuk waktu Zohor hingga seketika sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah. – Foto BERNAMA
PERLUKAH mandi di Arafah dan bagaimana hendak mandi di Mina? Itu soalan lazim yang sering dikemukakan oleh jemaah wanita sebelum berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadat haji.

Mestilah perlu mandi tetapi bagaimana pula hendak mandi jika terlalu ramai jemaah beratur dan tidak dinafikan kadangkala ada yang berebut dan berselisih faham gara-gara tidak tahan hendak membuang air kecil, membuang air besar atau mandi.

Ketika mengerjakan ibadat haji yang pertama, sudah tentu saya tidak tahu rahsia masa terbaik untuk mandi di Arafah mahupun Mina. Bukan senang hendak membersihkan diri. Usia muda ketika itu menyebabkan saya terpaksa mengalah dengan jemaah lebih berusia.

Sabar. Itulah yang saya tanamkan dalam diri. Saya memerhati jemaah demi jemaah memasuki ruang tandas. Saya termenung panjang.

Akhirnya, saya tidak berpeluang mandi di Arafah kerana tandas sentiasa sesak dan saya tidak sanggup lagi beratur menunggu giliran. Saya pula tidak sampai hati apabila jemaah yang boleh saya panggil makcik atau nenek hendak memotong giliran. Saya benarkan saja.

Sepanjang mengerjakan ibadah Haji elakkan sikap pentingkan diri.

Disebabkan jemaah wanita lebih ramai berbanding lelaki. Tandas lelaki juga turut menjadi rebutan jemaah wanita. Keadaan ini adakala melucukan tetapi sukar dibendung kerana lazimnya, wanita juga mengambil masa lama di dalam tandas.

Badan terasa melekit. Alhamdulillah, suhu tidak terlalu tinggi kerana musim haji ketika itu pada Februari. Saya pulang semula ke khemah. Saya memunggah bagasi kecil saya dan mengambil botol penyembur seterika. Ketika itu, belum ada penyembur wuduk seperti sekarang.

Saya sembur ke muka dan tubuh tanpa mengelapnya. Terasa segar seketika. Jadilah, detik hati saya sementara menunggu waktu wukuf saya mengaji, membaca dan solat sunat.

Bagaimanapun, ketika mengerjakan ibadat haji yang kedua dan seterusnya, saya merancang waktu untuk masuk ke tandas dan Alhamdulillah apa yang dipraktikkan itu saya turut kongsikan dengan rakan dan kenalan yang bertanya.

Saya akan mandi pada jam 1 pagi atau 2 pagi. Selepas mandi, barulah saya tidur seketika sebelum bangun semula sebelum Subuh. Ketika itu, saya lihat memang ramai jemaah beratur untuk ke tandas. Untuk berwuduk, saya ke ruang wuduk berhampiran tandas dan selalunya ia tidak mengambil masa yang panjang.

Jika bersedia lebih awal, ibadah juga dapat dilakukan dengan selesa.

Jemaah boleh mandi dengan selesa tanpa perlu beratur lama jika mandi pada jam 1 pagi.

Lazimnya, pada masa itu, sebahagian besar jemaah lena tidur dan rebutlah masa itu untuk membersihkan diri, tidak kiralah di Arafah atau Mina.

Selalunya, ramai mengatakan jam 3 pagi boleh bangun dan mandi tetapi bangkitllah sebelum jam 3 pagi dan mandilah ketika itu. Selepas mandi, anda masih berpeluang tidur dengan selesa dan jika hendak berwuduk, tidak perlu beratur panjang dan boleh mengambil wuduk di tempat wuduk saja.

Di Mina, elakkan membasuh pakaian atau tudung. Bawa pakaian secukupnya demi keselesaan semua jemaah. Jika membasuh pakaian atau tudung atau telekung, sudah tentu anda mengambil masa dan ini menyebabkan tempoh menunggu lebih lama di kalangan jemaah lain.

Justeru, elak pentingkan diri dan sentiasa ingat, setiap jemaah juga memerlukan masa untuk membersihkan diri.

Tip membersihkan diri di Arafah dan Mina

1. Mandi pada jam 1 pagi atau sebelum jam 3 pagi.

2. Elak mandi pada waktu siang kerana cuaca panas kerana dikhuatiri boleh demam.

3. Masukkan kelengkapan mandian dan pakaian di dalam beg kecil yang boleh digantung di dalam tandas.

4. Elak membasuh pakaian, tudung, telekung di dalam tandas.

5. Mengambil wuduk di luar tandas.

6. Beratur mengikut giliran.

7. Sentiasa menutup aurat.

8. Usah mengambil masa lama di dalam tandas.

9. Elak mencuci rambut di dalam tandas apatah lagi jika anda di Arafah dan masih dalam ihram.

10. Pastikan botol penyembur wuduk sentiasa bersama anda terutama di dalam khemah

11. Elak membuang air kecil di ruang lantai di dalam atau di luar tandas serta di tempat mengambil wuduk.

12. Jika tidak tahan mahu membuang air besar atau kecil, nyatakan dengan sopan dan usah terus berlari atau menolak jemaah lain untuk masuk ke dalam tandas.

13. Elak berdandan atau menyikat rambut di dalam tandas. Lakukan di dalam khemah.

14. Elak makanan yang pedas, masam dan alah kepada perut sepanjang di Arafah serta Min