5 RAHSIA RENDAHKAN PREMIUM TAKAFUL

Ramai tahu tentang kelebihan melanggan polisi insurans/takaful, tetapi masih ramai teragak-agak untuk melanggan insurans. Antara alasan yang sering diberikan adalah— premium(caruman bulanan) insurans mahal. Jadi, hari ni saya nak beri tips (bukan rahsia pun) macam mana nak miliki polisi insurans dengan premium lebih murah.

1. LANGGAN POLISI SEKARANGMula langgan polisi ketika masih muda, sihat dan tiada penyakit kronik. Semakin umur meningkat, risiko penyakit seperti diabetes, darah tinggi dan sakit jantung meningkat. Maka pihak insurans akan mengenakan premium yang tinggi pada anda jika anda lewat melanggan.

Malahan, jika anda sudah ada penyakit, baru anda hendak langgan polisi, pihak insurans boleh buat pengecualian daripada melindungi kos rawatan penyakit yang anda telah ada itu.

Contoh:—Semasa anda mula melanggan polisi insurans perubatan, anda sudah ada sakit jantung

—Jika anda masuk wad, kos rawatan anda akan ditanggung pihak insurans #KECUALI kes melibatkan sakit jantung

Jadi, langgan polisi sekarang! Lebih awal, lebih rendah risiko, lebih murah!

Selain itu, faktor yang mempengaruhi kadar premium adalah sejarah penyakit keluarga. Jika keluarga anda ada sejarah penyakit kronik, premium anda boleh tinggi. Anda tak boleh ubah sejarah, tapi anda boleh ubah masa depan.

Maka, jaga kesihatan anda, supaya anak-anak anda nanti nak ambil insurans nanti, tak kena premium tinggi. Lagi baik kalau anda ambil polisi untuk anak anda mulai sekarang.

2. JANGAN MEROKOK / SALAHGUNA DADAHTabiat merokok dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti, darah tinggi penyakit kardiovaskular, serangan strok dan kanser paru-paru/tekak. Maka, jika anda perokok, premium yang dikenakan pada anda akan lebih tinggi daripada individu yang tidak merokok.

Sudahlah rokok sudah mahal, premium takaful pula jadi pebih mahal jika anda merokok. Dua kali rugi di situ. Jadi, jangan/hentikan merokok jika mahu bayar premium takaful lebih murah. Elakkan juga ambil minuman beralkohol dan dadah rekreasi atas sebab yang sama.

Faktor lain yang meninggikan premium adalah jenis pekerjaan dan hobi. Pekerjaan dan hobi yang berisiko tinggi untuk mendapat kecederaan atau penyakit, akan meninggikan premium. Namun, takkan nak tukar kerja semata-mata nak premium murah. Hobi boleh pertimbang untuk diubah.

Mahu murah, elakkan tabiat yang mempunyai risiko tinggi!

3. AMBIL JUMLAH PERLINDUNGAN OPTIMUMAda ejen takaful yang menjual polisi hanya berpaksikan kutipan komisen dan mengejar anugerah. Ejen seperti ini akan cuba memujuk pelanggan untuk ambil polisi lebih daripada pelanggan itu perlukan. Anda perlu tahu keperluan anda.

Insurans Hayat: Semakin tinggi, jumlah perlindungan, semakin tinggi premium. Maka ambil jumlah perlindungan yang optima sahaja. Tak usah over-insured, tak usah under-insured. Bagaimana nak tahu jumlah perlindungan yang optima?

Formula mudahnya: Jumlah pendapatan setahun x 10

Contoh:

— Jumlah pendapatan setahun = RM50,000

— Jumlah perlindungan hayat yang perlu = RM50,000 x 10 = RM500,000

*Namun, jika anda berkemampuan, ambillah perlindungan yang lebih tinggi. Ambil lebih dari satu perlindungan hayat pun boleh.

Insurans Perubatan:

Ada syarikat yang beri kelebihan insurans perubatan kepada para pekerja. Jika majikan anda beri kelebihan ini, tidak mengapa jika anda tak langgan insurans perubatan persendirian. Cuma, insurans yang majikan beri ini #HANYA boleh guna selagi anda bekerja dengan majikan itu. Lepas berhenti/pencen, kena tanggung sendiri. Kena pandai uruskan.

Oleh itu, cari ejen yang bagus. Ejen yang boleh nasihat tentang keperluan anda. Ejen yang menjaga kepentingan anda juga, bukan yang jaga diri dia sendiri sahaja.

4. TAK PERLU INSURAN BERPELABURANKini banyak syarikat insurans menawarkan produk insuran/takaful berpelaburan. Segelintir ejen suka mengesyorkan produk ini kerana komisen yang ejen terima untuk penjualan produk ini lebih tinggi.

Masalahnya, premium insurans/takaful berpelaburan mempunyai premium yang lebih tinggi berbanding tanpa pelaburan. Satu lagi pelaburan itu bukan saving. Ia cash value. Cash value ini boleh jadi kosong.

OK. Ini keutamaan produk (atas lebih utama)

— Insurans/Takaful Hayat

— Insurans/Takaful Perubatan

— Insurans/Takaful Hayat + Perubatan

— Insurans/Takaful Hayat + Perubatan + Pelaburan

Pelaburan itu bukan keperluan. Perlindungan itu yang penting. Tinggalkan pelaburan jika perlu perlindungan sahaja, pasti premium akan lebih murah.

5. CO-INSURANS / CO-TAKAFULTak ramai ejen beritahu anda tentang pilihan ini, dan tak ramai pelanggan yang ingin ambil pilihan ini setelah diberitahu. Hakikatnya co-insurans boleh rendahkan premium dan ada kebaikannya juga.

Co-insurans bermaksud, pelanggan bersetuju untuk membiayai sebahagian daripada bil rawatan hospital mereka dan selebihnya akan di tanggung oleh pihak insurans

Contoh pakej co-insurans:

— Bil rawatan = pemegang polisi bayar 10% daripada jumlah bil ( syarat: minimum bayaran yang dibayar oleh pemegang polis RM300 dan maksimum RM1000) dan selebihnya insurans bayar.

Contoh pengiraan co-insurans:

— Bil rawatan = RM50,000 (10% = RM5,000)

— Insurans bayar = RM49,000

— Pemegang sijil bayar = RM1000(itu pun boleh dibayar sebahagiannya menggunakan elaun yang diberi oleh pihak insurans untuk kemasukan wad)

Memandangkan anda bayar sebahagian daripada kos rawatan, maka premium anda adalah rendah. Co-insurans sesuai untuk orang muda dan baru bekerja, cuma kena siapsiaga RM1,000 dalam simpanan. Dah mampu nanti, boleh tukar kepada polisi full coverage.

AKHIR KATA

Semua saranan di atas hanya sesuai jika anda mempunyai kekangan kewangan namun masih perlukan perlindungan insurans. Jika anda mampu, tak usahlah lokek sangat nak belanjakan wang untuk melindungi kesihatan dan kewangan anda. Semasa membuat pilihan polisi insurans, fikirkan juga tentang perlindungan lain yang anda ada seperti JPA/PERKESO, supaya anda boleh buat pilihan yang tepat.

Semoga bermanfaat

Kredit :Kamarul Ariffin Nor Sadan

Speak Your Mind

*