Oleh Jawatankuasa Teknikal Standard MyGDI (JTSM) 2010
Garis panduan ini disediakan bagi tujuan penilaian kualiti sesuatu data geospatial oleh pembekal data. Ia merupakan satu prosedur yang jelas dan konsisten bagi membolehkan pembekal data menyatakan sejauh mana produk mereka memenuhi kriteria spesifikasi produk yang ditetapkan. Ini membolehkan pengguna data menilai data tersebut sama ada memenuhi keperluan mereka atau sebaliknya.
Spesifikasi produk adalah kriteria yang penting dalam menjalankan penilaian kualiti data geospatial. Bagi maksud garis panduan ini, spesifikasi produk merupakan penerangan teknikal yang jelas dan tepat mengenai sifat-sifat sesuatu produk data geospatial serta boleh digunakan dalam pelbagai keadaan dan kegunaan oleh pihak-pihak yang berkenaan.
Walau bagaimanapun, bagi sesuatu produk data geospatial yang belum mempunyai spesifikasi produk, garis panduan ini masih boleh digunakan untuk menilai kualiti data geospatial tersebut. Sehubungan dengan ini, peraturan-peraturan berkaitan kualiti data sedia ada boleh digunakan untuk menyemak tahap pematuhan kualiti data tersebut.