“Kita baru balik dari satu peperangan kecil untuk memasuki peperangan besar.” Apabila para Sahabat bertanya: “Peperangan apakah itu?” Baginda berkata: “Peperangan melawan nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi)
Dalam memahami kebudayaan Melayu, kita tahu terdapat banyak makna dan tujuan di sebalik ciptaan orang Melayu terdahulu, walaupun pada ciptaan yang sama – termasuklah perihal bilangan anak tangga.
Contohnya, bilangan 5 mungkin melambangkan Rukun Islam. Bilangan 7 pula mungkin melambangkan Martabat Alam, Petala Langit dan Bumi, atau Tingkat Syurga. Bilangan 9 pula mungkin melambangkan Wajah Diri. Memang sukar untuk kita fahami hari ini kerana hanya mereka yang arif yang dapat mengenal makna sebenar.
Abdullah Mohamed (1985) menyatakan bahawa bilangan 5 anak tangga melambangkan makam-makam nafsu dalam diri (ada yang mengatakan 4, 6 dan yang terbanyak ialah 7).
Ia bermula dengan makna tempayan dan batok (pencedok air).
Tempayan dilambangkan sebagai ‘perbendaharaan yang tersembunyi’ (terhimpun segala jadi), manakala air di dalamnya dilambangkan sebagai ‘ilmu’. Batok melambangkan ‘pencari ilmu’ (yakni tuan rumah). Perbuatan mencedok air itu diibaratkan seperti ‘menimba ilmu’. Barangkali ungkapan ‘menimba ilmu’ itu berkait dengan air, seperti perumpamaan dan bandingan lautan dengan ilmu Allah dalam Al-Quran (Luqman:27 & Kahfi:109).
Membersihkan kaki melambangkan betapa ilmu itulah yang akan menyucikan diri. Kemudian, langkah menaiki anak tangga:
Anak tangga pertama: Nafsu Ammarah iaitu nafsu yang mendorong seseorang melakukan maksiat. Ditinggalkan makam nafsu ini, naik ke:
Anak tangga kedua: Nafsu Lawwamah iaitu makam nafsu yang masih terdorong oleh Ammarah tetapi mula mencela perbuatan maksiat.
Anak tangga ketiga: Nafsu Mulhammah iaitu makam nafsu yang mendorong untuk berbuat baik.
Anak tangga keempat: Nafsu Mutmainnah iaitu makam nafsu yang tenang, tidak bergundah dan menyerahkan diri kepada Allah.
Anak tangga kelima: Nafsu Radhiah iaitu makam nafsu yang redha kepada Allah dalam segala-galanya. (Ada yang menyebut selepas Radhiah ada Mardhiah dan terakhir ialah Kamilah).
Apabila memasuki rumah, inilah hakikat yang perlu dicapai oleh manusia, yakni menjadi sebaik-baik insan.
Namun, bukanlah perbuatan menaiki anak tangga itu yang menjadi penyucian jiwa seseorang. Sebaliknya, orang Melayu terdahulu mengisi kegiatan harian dengan perkara ‘supaya sentiasa mengingati Allah atau Zikrullah’. Oleh sebab tangga rumah ialah antara yang selalu dilalui, maka di situlah ditandakan dengan peringatan.
Rujukan: Abdul Rahman Al-Ahmadi, 2000. Petua Membina Rumah Melayu dari Sudut Etnis Antropologi. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia. (Sumber diambil dari Abdullah Mohamed, 1985. Senibina Islam Aplikasi di Malaysia. Warisan Kelantan IV, Perbadanan Muzium Kelantan).