surveyor

Bayang di Sebalik Legasi

Oleh Shahabuddin Amerudin

Angin malam terasa hangat, tetapi suasana di restoran itu sedikit tegang. Di sekeliling meja, wajah-wajah rakan lama yang dulu penuh keyakinan kini dibayangi kerutan usia dan kerisauan. Majlis perkahwinan anak rakan sekelas bertukar menjadi tempat pertemuan tak rasmi untuk menghidupkan kembali kenangan lama. Gelak ketawa yang tadi memenuhi ruangan mula perlahan, digantikan dengan perbualan serius tentang isu yang lebih besar.

“Eh, korang dengar tak pasal pindaan Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958 yang baru diluluskan?” Rizal tiba-tiba mencelah, suaranya sedikit berat.

Semua pandang antara satu sama lain. Topik itu hangat diperkatakan bulan lalu. Ramai yang marah, tak kurang juga yang keliru. Tapi seperti biasa, riuh sekejap, lepas tu senyap. Masing-masing sudah terbiasa dengan permainan politik. Aku hanya tersenyum tipis, cuba menahan diri daripada terlibat terlalu awal dalam perbualan ini. Namun, Rizal tak puas hati dengan senyapku.

“Kau senyum apa, bro? Tak rasa apa-apa ke pasal pindaan akta tu?” dia mendesak.

Aku meletakkan cawan teh yang sudah suam di atas meja perlahan. Mataku bertemu pandangan mereka satu per satu, cuba membaca apa yang sebenarnya mereka mahu dengar. Aku tahu, di balik senyuman dan riak tenang itu, ada kerisauan yang lebih besar.

“Pada aku,” aku mula, suara perlahan tetapi jelas, “Pindaan tu bagus, tapi… ada perkara lain yang lebih besar yang patut kita risaukan.”

Rizal mengerutkan dahi, “Lebih besar? Apa yang lebih besar dari akta ni? Ni kan undang-undang yang akan ubah cara kita bekerja.”

Aku senyum lagi, kali ini lebih sinis. Aku tahu apa yang bermain di fikiran mereka. Mungkin ada yang takutkan perubahan, takutkan kehilangan pendapatan atau status. Tapi itu bukanlah yang mengganggu fikiran aku.

“Aku tanya korang ni, berapa lama lagi korang rasa boleh turun site buat kerja? Setahun? Lima tahun?” Soalan itu keluar perlahan tetapi menusuk.

Sejenak, suasana senyap. Wajah-wajah yang tadi yakin mula berubah. Ada yang menjeling, ada yang tunduk. Tak siapa yang berani menyahut.

“Kita semua tahu kerja ni bukan main-main. Mata dah mula kabur, nafas makin pendek, tapi kerja kita masih sama. Redah paya, panjat bukit. Kau rasa kau mampu buat ni lagi berapa lama?” soalku lagi, kali ini lebih tajam.

Rizal cuba bersuara, tetapi suaranya terhenti di tengah jalan. Masing-masing tahu apa yang aku maksudkan. Kita sudah tak muda lagi. Dan realitinya, kerja ini bukan untuk orang tua.

Perbualan kami bertukar arah. Kisah tentang anak-anak mula dibuka, mengalihkan sedikit rasa berat di dada. Ada yang bangga anaknya kini jadi doktor, jurutera, arkitek. Masing-masing senyum lebar ketika bercerita tentang kejayaan zuriat mereka.

Tapi aku tahu, ada soalan yang akan membuatkan senyuman itu hilang. Aku lemparkan soalan itu tanpa amaran.

“Ada anak korang yang minat nak jadi surveyor macam kita?”

Seperti yang aku jangka, suasana bertukar sunyi. Hanya bunyi desiran kipas yang kedengaran. Mata-mata yang tadi ceria kini tunduk, hilang arah. Aku lihat mereka saling menjeling, menunggu ada yang berani bersuara. Tapi, tak ada. Semuanya tahu jawapan yang tersimpan di hati masing-masing. Tak ada anak-anak mereka yang mahu jadi surveyor. Kenapa?

Aku sambung, “Kita tak boleh salahkan mereka. Surveyor bukan kerja glamour. Anak-anak sekarang hidup dengan TikTok, Instagram. Kerja kita? Redah hutan, berpanas. Tak ada apa yang menarik untuk mereka. Kisah sedih je yang muncul kat feed mereka.”

Rizal menyandarkan badannya ke kerusi, menarik nafas dalam. “Betul jugak tu. Anak aku tak minat pun. Padahal, aku ni Juruukur Tanah Berlesen.”

Aku mengangguk. Itulah yang menghantui kami semua. Anak-anak tak mahu meneruskan legasi ini. Bahkan, pelajar IPTA yang ambil jurusan geomatik pun bukan kerana minat. Kebanyakannya dipaksa atau hanya untuk mencukupkan kuota.

“Bila aku tanya student-student ni, kenapa ambil geomatik? Jawapan mereka, sebab ayah suruh. Ada yang jawab, ‘ayah surveyor’. Tapi, minat tak? Semua diam,” aku berkongsi pengalaman, menggeleng kepala.

Mata Rizal semakin suram. Dia tahu apa yang aku cuba sampaikan. Masa depan kerjaya ini makin kabur. Jika kita tak tanamkan minat dalam generasi muda, dalam beberapa tahun lagi, siapa yang akan teruskan kerja ini? Warga asing? Bukan anak-anak kita.

“Anak kau sendiri ada yang minat kerja survey?” Rizal tanya, dengan nada yang hampir berbisik, seakan tak mahu dengar jawapannya sendiri.

Aku diam, menelan segala yang terbuku di dada. Mataku terarah ke luar jendela, ke arah kegelapan malam yang tak menjanjikan apa-apa. Aku tahu jawapannya, tapi aku letih. Letih dengan kenyataan yang aku perlu terima.

“Dah la… tukar topik lain,” aku jawab, akhirnya.

Senyap.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top