Ujub merujuk kepada perasaan kagum dan bangga terhadap diri sendiri. Ia timbul apabila seseorang merasa dirinya hebat dan terpesona dengan kelebihannya.
Walaupun ujub sering disalah anggap sama dengan riak, kedua-duanya berbeza. Riak adalah apabila seseorang menunjuk-nunjuk kepada orang lain, manakala ujub berlaku secara diam dalam hati apabila seseorang merasa bangga dengan dirinya sendiri.
Kadangkala, kita boleh menghindari riak, tetapi masih tidak menyedari kehadiran ujub dalam diri.
Contohnya, seseorang mungkin melaksanakan solat tahajjud seorang diri tanpa pengetahuan orang lain, dengan niat mengelak riak kerana ia dilakukan hanya kerana Allah. Namun, ujub muncul apabila terdetik dalam hati, “Aku hebat, setiap malam bangun solat tahajud tanpa pernah terlepas, sedangkan orang lain hanya tidur.”
Penyakit ujub ini adalah salah satu penyakit hati yang sangat halus dan sukar dikesan. Ia boleh datang pada bila-bila masa, tanpa kita sedari.
Orang yang rajin beribadah merasa kagum dengan ibadahnya. Orang yang berilmu merasa bangga dengan ilmunya. Orang yang cantik merasa kagum dengan kecantikannya. Orang yang dermawan merasa hebat dengan kebaikannya. Orang yang berdakwah merasa bangga dengan dakwahnya.
Justeru, kita harus sentiasa berwaspada dan menghindari sifat ujub. Ingatlah bahawa segala nikmat yang kita miliki adalah milik Allah semata-mata, dan bukan kerana kehebatan diri kita sendiri.