Kenapa lepas berbuka puasa badan jadi lemah?

PERASAN tak setiap kali selepas berbuka puasa, badan akan terasa lemah meskipun sudah menikmati pelbagai juadah.

Sepatutnya selepas seharian berpuasa, dapat makan dan minum akan memberikan tenaga tapi rasa semakin lemah sampaikan hendak menunaikan solat Maghrib dan Tarawih pun tak larat.

Sebenarnya, keadaan itu berlaku disebabkan faktor makan berlebihan selain pengambilan gula yang tinggi.

Pengambilan makanan dan minuman manis ketika berbuka boleh menyebabkan badan lemah kerana gula mendorong pankreas untuk menghasilkan insulin bagi menurunkan kadar gula dalam darah.

Insulin yang berlebihan pula akan menurunkan gula dalam darah tetapi kesannya badan menjadi lemah dan lesu.

Makan berlebihan membuatkan sistem penghadaman yang seharian berpuasa dipaksa bekerja lebih keras. Kesannya, tubuh akan mengeluarkan lebih banyak tenaga untuk mencerna makanan.

Tidak hanya membuatkan badan terasa lemah dan lesu, perut juga boleh mengalami masalah seperti sakit perut, mual, kembung dan sembelit.

Bagi mengelakkan masalah itu, sebaik-baiknya amalkan pemakanan seimbang ketika berbuka puasa dan bukannya mengikut nafsu.

Paling baik, hindari makanan bergoreng dan pilih hidangan yang direbus, dikukus atau dipanggang. Ingat, puasa bukan bererti tiket emas untuk memanjakan diri dengan pelbagai hidangan menyelerakan.

SOALAN LAZIM VAKSIN COVID-19

APA ITU COVID-19?

Penyakit COVID-19 disebabkan oleh coronavirus yang disebut SARS-CoV-2. Gejala mungkin muncul 2 hingga 14 hari selepas terdedah kepada virus. Gejala yang mungkin dialami adalah:

•demam atau menggigil;

•batuk;

•sesak nafas;

•keletihan;

•sakit otot atau badan;

•sakit kepala;

•kehilangan deria rasa baru atau bau;

•sakit tekak;

•kesesakan atau hidung berair;

•loya atau muntah; atau

•cirit-birit.

SIAPAKAH GOLONGAN BERISIKO TINGGI UNTUK MENDAPAT JANGKITAN COVID-19?

Golongan berisiko adalah:

•Kanak-kanak

•Warga emas berusia 65 tahun ke atas

•Pesakit dengan penyakit kronik

•Pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah

•Wanita hamil

APAKAH KEPENTINGAN MENGAMBIL VAKSIN COVID 19?

Vaksin COVID-19 diberikan untuk mengawal penularan penyakit COVID-19. Apabila semakin ramai orang mendapat vaksinasi, semakin ramai penduduk membentuk antibodi dan seterusnya mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit COVID-19 yang lebih teruk. Secara tidak langsung ia boleh melindungi golongan yang berisiko yang tidak layak menerima vaksinasi.

APAKAH JENIS VAKSIN YANG AKAN DIGUNAKAN DI MALAYSIA?

•Terdapat beberapa jenis yang akan digunakan di Malaysia iaitu:

•Vaksin Covid-19 mRNA keluaran Pfizer-BioNtech

•Vaksin Covid-19 viral vector keluaran Astra Zeneka

•Vaksin Covid-19 inactivated keluaran Sinovac

•Vaksin Covid-19 recombinant viral vector keluaran Cansino

•Vaksin Covid-19 viral vector keluaran Gamaleya

SIAPAKAH YANG LAYAK MENERIMA VAKSIN COVID-19 PFIZER-BIONTECH?

Semua penduduk Malaysia berusia 18 tahun yang layak boleh menerima vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech. Keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan, mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 seperti warga emas, pesakit dengan masalah perubatan seperti pesakit jantung, kencing manis, darah tinggi, asthma, kanser dan sebagainya.

SIAPA YANG TIDAK LAYAK MENERIMA VAKSIN COVID-19 PFIZER-BIONTECH?

Anda tidak layak menerima vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech sekiranya anda:

•mempunyai sejarah kemasukan ke hospital akibat dari alahan yang teruk;

•mengalami reaksi alahan yang teruk setelah menerima dos pertama vaksin jenama ini;

•mempunyai reaksi alahan yang teruk terhadap mana-mana vaksin yang pernah diterima sebelum ini;

•sedang hamil;

atau•sedang menyusukan bayi

APAKAH HUKUM PENGAMBILAN VAKSIN COVID-19?

Majlis Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember 2020 mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

ADAKAH SAYA DIBERI PILIHAN UNTUK MEMILIH JENIS VAKSIN COVID-19?Tidak. Penerima vaksin tidak dibenarkan untuk memilih jenis vaksin COVID-19 yang akan diterima. Ianya bergantung kepada bekalan stok sedia ada di pusat vaksinasi.

APAKAH PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN SELEPAS MENERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19?

Setelah menerima suntikan vaksin COVID-19, penerima vaksin perlu:

1.Berada di ruang pemerhatian yang ditetapkan sekurang-kurangnya selama 15 minit.

2.Anda mesti memaklumkankepada petugas kesihatan atau mendapatkan rawatan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda berikut selepas menerima vaksin COVID 19:

•Kesukaran bernafas

•Pembengkakan muka, bibir dan tekak

•Denyutan jantung yang sangat cepat

•Ruam teruk timbul di seluruh badan

•Merasa pening dan lemah tubuh badan

3.Penerima vaksin perlu sentiasa mengamalkan norma baharu dan mengikuti langkah pencegahan penyakit COVID-19.

4.Anda perlu menyimpan kad vaksinasi yang diberi oleh anggota kesihatan. Apabila anda mendapat dos pertama, anda akan diberi kad vaksinasi untuk menunjukkan bila anda perlu mendapatkan dos kedua Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech.

ADAKAH SAYA AKAN DILINDUNGI SEPENUHNYA SELEPAS MENERIMA VAKSIN COVID-19 PFIZER-BIONTECH?

Vaksin akan mula menunjukkan keberkesanan melalui peningkatan antibodi dalam badan bermula dari hari ke-12 selepas dos pertama diberikan. Pembentukan antibodi akan meningkat secara mendadak selepas pemberian dos kedua. Ini bermakna, seseorang akan dilindungi secara optima selepas menerima kedua-dua dos untuk mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit COVID-19 yang serius. Walaupun seseorang itu telah menerima dos lengkap vaksin, beliau masih perlu mengamalkan langkah pencegahan seperti mengamalkan3W iaitu Wash, Wear, Warn dan mengelakkan 3C iaitu mengelakkan Confined space (Sempit), Crowded (Sesak) dan Close conversation (Sembang dekat). Walau bagaimanapun, pada masa ini, tempoh perlindungan jangka panjang terhadap COVID-19 masih belum diketahui.

BOLEHKAH SAYA MENOLAK UNTUK MENERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19 PFIZER-BIONTECH?

Anda boleh memilih untuk tidak menerima vaksin kerana penerimaan vaksin COVID-19 ini adalah secara sukarela. Sekiranya anda adalah petugas barisan hadapan, mempunyai penyakit kronik dan warga emas, penerimaan vaksin ini boleh mengurangkan risiko keterukan penyakit apabila anda dijangkiti.

SEKIRANYA SAYA MENGALAMI KESAN SAMPINGAN SELEPAS SUNTIKAN?

Sekiranya anda mengalami kesan sampingan selain yang telah dinyatakan di atas, sila lapor ke klinik kesihatan terdekat dan dapatkan rawatan dengan segera. Terdapat kemungkinan kesan sampingan yang lain yang belum dilaporkan.

BAGAIMANA SAYA BOLEH MENDAPATKAN MAKLUMAT LEBIH LANJUT BERKAITAN VAKSIN?

1.Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut, sila bertanya kepada petugas kesihatan berhampiran

2.Anda juga melayari laman sesawang yang mengandungi maklumat yang lebih tepat dan dipercayai seperti:

•WHO: www.who.int

•CDC : https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/index.html.

•FDA : https://www.fda.gov/emergency-preparedness-and-response/mcmlegal-regulatory-and-policy-framework/emergency-use-authorization

Ucapkan 7 kalimah mulia ini… Salah satunya ‘password’ pengikat rohani di sisi Allah

SETIAP insan mengimpikan kebahagiaan dalam hidup. Namun harus diketahui makna bahagia itu berbeza-beza.

Bagi golongan tertentu, memiliki harta dan kemewahan itu bahagia, tetapi bagi yang meyakini qada dan qadar maka hidup bersederhana ataupun miskin dianggap bahagia asalkan hati sentiasa tenang.

Dalam Islam, kebahagiaan (as-sa’adah) tanda kemahuan setiap hamba dengan hidayah Allah SWT. Malahan ia tidak hanya dirasai ketika masih bernyawa di dunia, juga semasa kehidupan abadi di akhirat kelak.

Sesungguhnya solat itu tiangnya, namun amalan harian dapat membantu setiap umat lebih tenang jiwanya dan menempuh kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat.

Ulama, Al-Faqih Abul-Laits As-Samarqondi berkata: Barang siapa yang memelihara tujuh kalimah ini, maka dia orang mulia disisi Allah dan para malaikat, Allah akan mengampuni dosa-dosanya walaupun seperti buih air laut, diapun akan menemukan kemanisan taat kepada Allah dan hidup serta matinya adalah baik baginya.

Alhamdulillah adalah kalimah pujian seorang hamba atas kemudahan dan kemurahan Allah yang menyertai pekerjaannya.

Tujuh kalimah ini teramat mulia di sisi Allah serta malaikat dan ia menempatkan insan yang beristiqamah untuk mengamalkannya bagi mendapatkan keampunan.

Inilah juga kebahagian hakiki yang dicari setiap hamba Allah. Tujuh kalimah itu ialah:

1. BISMILLAH

– Bacalah ia apabila hendak mula melakukan sesuatu.

– Dengan membaca basmalah, berarti seorang hamba menyertakan permohonan keberkahan dan limpahan rahmat Allah dalam pekerjaannya.

2. ALHAMDULILLAH

– Apabila selesai melakukan sesuatu

– Ketika kita dapat menyelesaikan sesuatu yang menyenangkan maka ucapkan kalimah ini.

– Ia adalah kalimah pujian seorang hamba atas kemudahan dan kemurahan Allah yang menyertai pekerjaannya.

3. ASTAGHFIRULLAH

– Apabila membuat kesilapan atau terucap sesuatu yang tidak sepatutnya kerana Islam sangan mengecap perlakuan seperti ini. Maka sepatutnya pelaku memohon keampunan Allah.

Sesungguhnya solat itu tiangnya, namun amalan harian dapat membantu setiap umat lebih tenang jiwanya dan menempuh kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat.

4. INSYAALLAH

– Apabila merancang untuk melakukan sesuatu. Malahan, Rasulullah pernah diingatkan Allah agar mengucapkan kalimah tersebut jika menjanjikan sesuatu. Ini terkait dengan janji untuk menjawab pertanyaan yang diajukan kaum Quraisy.

5. LA HAWLA WALA QUWWATA ILLA BILLAH

– Ucapkanlah ia jika menghadapi perkara yang tidak diingini kerana ia menegaskan kekuasaan Allah dan menunjukkan kelemahan hamba di hadapan Yang Esa.

6. INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI’UN

– Jika menghadapi musibah maka kalimah ini yang mujarab kerana ia menunjukkan sikap tawakal setiap hamba seperti yang dituntut dalam Islam.

7. LA ILAHA ILLALLAH MUHAMMADUR RASULULLAH

– Sepanjang hari, setiap detk dan saat, siang dan malam seikhlas hati, tidak terpisah di lidah dan di hati.

– Kalimah ini umpama password bagi setiap umat Islam untuk mengikat rohaninya dengan Yang Maha Besar kerana sesungguhnya hanya rohani akan kembali kepada Allah, manakala jasad akan kekal di tanah.

Dengan itu, jagalah keindahan dan kesihatan rohani kita Malahan, jika dibaca di akhir hayat seseorang akan menjadi penjamin syurga sekali gua membuka pintu syurga di akhirat kelak. Wallahu a’lam bishawab.

Solat sunat sempurnakan ibadat, jangan alpa… ada 5 waktu haram menunaikannya?

BAYANGKAN sehelai kain yang berlubang dan lompong itu umpama lalainya umat Islam dalam mengerjakan solat wajib lima waktu sehari.

Tentu sekali ia sesuatu yang menggusarkan jika tidak dapat memenuhi tuntutan agama. Maka ketika ini, amalan menunaikan solat sunat dapat menyempurnakan ibadat kita.

Namun, perlu diingat dalam mengerjakan solat sunat, aspek keikhlasan penting untuk kita menjadi hamba yang dikasihi Allah.

Apakah maksud solat sunat?

Solat sunat disebut juga solat Nawafil atau Tatawwu’ iaitu solat yang dilakukan secara sukarela untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Orang yang mengerjakannya dengan ikhlas lebih dikasihi dan diberi lebih perhatian oleh Allah SWT berbanding orang yang hanya mengerjakan solat fardu semata-mata.

Solat sunat mempunyai fadilat yang tersendiri namun hakikatnya disembunyikan oleh Allah SWT.

Pada zaman Rasulullah SAW, sahabat sangat cemburu melihat baginda banyak melakukan amalan sunat, maka mereka turut berlumba-lumba melakukannya.

Solat sunat mempunyai fadilat yang tersendiri namun hakikatnya disembunyikan oleh Allah SWT.

Daripada segi hukum pula, mengerjakan solat sunat adalah mendapat pahala jika dikerjakan dan tidak berdosa jika ditinggalkan.

Biasanya solat sunat dilakukan sama ada secara berjemaah atau sendirian.

Enam solat sunat berjemaah adalah:

*Tarawih

*Aidilfitri

*Aidiadha

*Mohon hujan (Istisqa’)

*Gerhana matahari dan bulan

*Witir

Terdapat 15 jenis solat sunat yang boleh dilakukan sendirian termasuklah Tahajjud, Dhuha, Taubat dan Musafir.

Berikut adalah 15 Solat sunat yang dilakukan sendirian:

*Rawatib (mengiringi solat fardu)

*Tahiyyatul Masjid

*Tahajjud

*Dhuha

*Istikharah

*Isyraq

*Awwabin

*Wuduk

*Taubat

*Hajat

*Ihram

*Tawaf

*Musafir

*Mutlak

*Tasbih

Terdapat pelbagai kelebihan solat sunat termasuk mendekatkan diri kepada Allah.

Apakah kelebihan mengerjakan solat sunat?

Umumnya melakukan amalan solat sunat dapat menambah kesempurnaan dan menampung kekurangan solat fardu, meningkatkan keimanan dan mendekatkan dirinya dengan Allah.

Selain itu, ia juga membantu seseorang itu memperolehi ketenangan diri dan perasaan, juga sentiasa mendapat rahmat dan petunjuk daripada Allah serta mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan pada Allah.

Menurut hadis-hadis Rasulullah SAW, ada sembahyang sunat yang mempunyai keistimewaan tersendiri, bukan sahaja dari segi ganjaran tetapi juga fadilat, hikmah dan faedahnya.

Misalnya orang yang mengamalkan solat Tahajjud ditengah malam, ia bakal dikurniakan ketetapan iman, dimurahkan rezeki, di samping dipercayai dan dihormati oleh orang ramai serta doanya dimakbulkan Allah SWT.

Begitu juga mereka yang mengamalkan sembahyang sunat Dhuha, rezekinya tidak putus dan dimudahkan segala urusannya.

Bagi orang yang mengerjakan solat Tarawih di bulan Ramadhan pula diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.

Selain itu, orang yang mengamalkan sembahyang sunat Isyraq pula dikurniakan pahala seperti pahala Haji dan Umrah. Dan bergitulah pada solat-solat lain, ada keistimewaan yang tersendiri.

Ketika matahari hampir terbit atau sedang terbit diharamkan solat sunat.

Bilakah waktu yang diharamkan solat sunat?

Waktu yang diharamkan sembahyang sunat yang juga dikenali sebagai waktu tahrim adalah seperti berikut:

*Sesudah solat subuh

*Ketika matahari hampir terbit atau sedang terbit.

*Ketika rembang iaitu matahari tegak di atas kepala.

*Ketika matahari hampir terbenam.

*Sesudah solat asar.

Moga ilmu ini memberi manfaat buat bekalan kita untuk meneruskan kehidupan dengan tenang mengikut ajaran Islam yang indah ini.

Yakinlah! Tertib 7 rahsia doa dimakbulkan

TIDAK dinafikan resam manusia, hanya ketika berdepan masalah, dugaan berat barulah seseorang itu akan sujud dan menadah tangan memohon bantuan Yang Maha Esa.

Sememang namanya manusia, yang sentiasa tergesa-gesa tanpa mahu menggunakan akal fikiran waras untuk membuat keputusan.

Dengan itu didatangkan dugaan dan masalah untuk memastikan hambaNya berdoa dan memohon bantuan Allah.

Jadi tidak seharusnya dipertikaikan jika setiap doa yang dipanjatkan belum ada yang dikabulkan. Namun, sebagai hambaNya, jangan sekali-kali bertanggapan buruk kerana sesungguhnya jalan hidup setiap insan sudah lengkap dirancang sejak seseorang itu terbentuk dalam kandungan ibu lagi.

Berdoa juga ada adab dan tertibnya.

Apa yang pasti, percayalah Allah mendengar semua doa hambaNya. Sekiranya belum dimakbulkan, kita seharusnya bersabar atau renungkan apa sebenarnya rahsia untuk memastikan doa kita dipenuhi.

Sesungguhnya ada adab tertentu yang perlu diamalkan jika mahu menghadap Yang Maha Esa, bukan sekadar tangkap muat saja tanpa mengira waktu dan cara yang tertib.

Apakah rahsia doa dimakbulkan?

1. Mencari waktu yang mustajab

Bilakan sebenarnya waktu tersebut? Ulama menyebut hari Arafah, sepanjang Ramadan dan sepertiga malam terakhir.

Rasuluah SAW bersabda: “Allah turun ke langit dunia setiap malam, ketika tersisa sepertiga malam terakhir. Allah berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku kabulkan, siapa yang meminta-Ku, Aku beri, dan siapa yang minta ampunan pasti Aku ampuni.” (HR. Muslim)

Mulakan doa anda dengan memuji kebesaran Allah dan berselawat ke atas Nabi.

2. Situasi doa akan dikabulkan termasuk ketika perang, hujan, sujud dalam solat, antara azan dan iqamah

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Doa antara azan dan iqamah tidak tertolak.” (HR. Abu Daud, Nasa’i, dan Turmudzi)

Nabi bersabda: “Keadaan terdekat antara hamba dengan Tuhannya adalah ketika sujud. Maka perbanyaklah berdoa.” (HR. Muslim)

3. Menghadap kiblat dan menadah tangan

Dari Jabir RA, Nabi SAW ketika berada di padang Arafah, beliau menghadap kiblat, dan beliau terus berdoa sampai matahari terbenam. (HR. Muslim)

4. Berdoalah dengan khusyuk, rendah hati dan penuh harapan kepada Allah

Allah berfirman: “Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.” (Sura Al-Anbiya’: 90)

Berdoalah dengan bersungguh-sungguh dengan suara yang lembut.

5. Bersuara penuh syahdu, bukannya berteriak-teriak

Allah juga berfirman: “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Al-A’raf: 55)

6. Memuji Allah dan bersalawat ke atas Nabi

Nabi pernah mendengar ada orang yang berdoa dalam solatnya dan dia tidak memuji Allah dan tidak bersalawat kepada Nabi, kemudian beliau bersabda: “Orang ini terburu-buru.”

Seterusnya sabda Baginda: “Apabila kalian berdoa, hendaknya memulai dengan memuji dan mengagungkan Allah, kemudian bersalawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Kemudian berdoalah sesuai kehendaknya.” (HR Ahmad)

7. Wajib yakin kalau doa pasti termakbul dan tidak seharusnya mudah berputus asa

Nabi bersabda: “Janganlah kalian ketika berdoa mengatakan: Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau mau. Ya Allah, rahmatilah aku, jika Engkau mau. Hendaknya dia mantapkan keinginannya, karena tidak ada yang memaksa Allah.” (HR. Bukhari & Muslim)

Demikianlah adab yang seharusnya diikuti sekiranya mahu dekat dengan Allah dan berharap doanya dimakbulkan.

Hebatnya maksud kalimah duduk antara 2 sujud… Ketahui gerak kaki Rasulullah ketika rukun solat itu

BENARLAH sesungguhnya ilmu itu jika terus digali maka bertambah bermakna hidup ini.

Begitulah juga jika setiap insan yang menunaikan solat lima waktu selain sembahyang sunat memahami maksud bagi setiap bacaan yang dilafazkan.

Misalnya, rukun solat iaitu duduk di antara dua sujud yang ada lapan kalimah penuh mendalam maksudnya.

Berikut maksud setiap bait lafaz ketika rukun berkenaan untuk manfaat semua.

Sebagai umat Islam kita perlu faham setiap apa yang dibaca dalam solat agar lebih khusyuk.

1. Rabbighfirli (Tuhanku, ampunilah aku)

Ya Allah, ampunilah semua dosa-dosaku. Hamba hanya manusia berlumuran dosa yang tidak luput dari kesalahan, sedangkan Engkau adalah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun, ampunilah dosa-dosaku dan jauhkan hamba dari segala macam perbuatan dosa.

2. Warhammi (Kasihinilah aku)

Sayangilah hambamu yang lemah dan tak berdaya ini. Jangan sampai hamba ditinggalkan sendiri tanpa belas kasihmu.

3. Wajburni (Cukupkanlah segala kekuranganku)

Ya Allah, cukupkanlah segala kekuranganku. Jangan sampai hati ini selalu merasa kurang yang akan selalu menyeksaku dan malah semakin menjauhkan aku darimu Ya Allah. Jadikan hamba ini orang yang selalu bersyukur atas apa yang Engkau berikan kepadaku.

4. Warfa’ni (Angkatlah darjatku)

Tingkatkan pangkat iman dan taqwa ku di hadapanmu Ya Allah. Dan angkatlah darjatku di hadapanmu Ya Allah. Jangan sampai diriku dihinakan olehmu di dunia mahupun akhirat.

Moga akan lebih khusyuk ketika mengerjakan solat jika maksud setiap bacaan itu diketahui.

5. Warzuqni (Berikan rezeki kepadaku)

Berikanlah hambamu rezeki kecil berupa sandang, pangan dan papan untuk menopang ibadahku, berikan pula hambamu rezeki besar berupa udara, air, tanah dan api. Dan mudah-mudahan Engkau limpahkan kepadaku nikmat yang agung, iaitu nikmat iman dan Islam.

6. Wahdini (Berilah aku petunjuk)

Tunjukkan jalan Islam yang benar dan lurus kepadaku Ya Allah. Jangan biarkan aku tersesat saat menempuh perjalanan duniawi yang penuh cubaan dan godaan ini. Berikanlah aku keteguhan dan kekuatan iman yang kukuh.

7. Wa’afini (Berikan kesihatan kepadaku)

Betapa besarnya nikmat sehat yang Engkau berikan kepadaku selama ini. Mudah-mudahan sihatku ini dapat aku gunakan untuk beribadah kepadamu bukan untuk menentang perintahmu. Sihatkan rohaniku, bersihkan hambamu ini dari segala penyakit hati yang boleh merosak iman di dadaku.

8. Wa’fu’anni (Berikan ampunan kepadaku)

Ampunilah segala kesalahan dan dosa-dosaku. Tanpa keampunanmu, celakalah hambamu ini Ya Allah. Jangan biarkan hambamu ini mengulang-ngulang kesalahan yang sama.

Moga akan lebih khusyuk ketika mengerjakan solat jika maksud setiap bacaan itu diketahui.

Cara duduk antara dua sujud yang betul.

Bukan itu sahaja, malahan sunnah untuk mengikut amalan Rasulullah dan ia sememangnya dituntut Islam. Hal berkaitan solat Nabi Muhammad SAW misalnya wajar diteladani.

Ketahuilah bahawa Rasulullah apabila bangun dari sujud, maka beliau akan membaca takbir. Setelah itu Baginda akan duduk dengan tenang.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna sholat seseorang hingga dia sujud sampai ruas tulang belakangnya mapan, kemudian mengucapkan “Allahu Akbar” kemudian mengangkat kepalanya (bangkit dari sujud) hingga duduk dengan tegak.” (HR Abu Dawud No. 857).

Malahan, cara duduk di antara dua sujud Rasullullah pula dengan membentangkan kaki kirinya, lalu duduk di telapak kaki kirinya itu.

Kemudiannya Baginda akan menegakkan telapak kaki kanannya serta menghadapkan jari-jari kaki kanannya ke arah kiblat.

Begitu telitinya Rasulullah ketika melaksanakan rukun itu dan bagi semua umat Islam tentunya afdal meneladani sunnah ini.

Powernya istighfar! Ikuti kisah teladan3 lelaki, 3 masalah bersama Imam Hasan Al-Basri

ISTIGHFAR atau Astaghfirullah adalah tindakan meminta maaf atau memohon keampunan kepada Allah yang dilakukan umat Islam.

Sesungguhnya ia adalah perbuatan yang dianjurkan dan sesuatu amalan penting di dalam ajaran Islam.

Astaghfirullahal-ladzi la ilaha illa huwal-hayyul-qayyum, wa atubu ilaih, yang bermaksud: “Aku memohon ampun kepada Allah, Yang tiada Tuhan yang berhak disembah selain Dia, Yang Maha Hidup, Yang Maha Mengurus, dan aku bertaubat kepada-Nya.” (Riwayat al-Hakim dari Ibnu Mas’ud dan At-Tirmidzi dari Bilal bin Yasar bin Zaid)

Bagi memudahkan pemahaman berkaitan mustajabnya amalan istighfar, ulama bernama Ahmad Musthafa al-Maraghi ada menulis kisahnya menerusi kitab Tafsir al-Maraghi.

Sebagai umat Islam kita perlu menataati setiap perintah-Nya.

Kisah ini wajar menjadi teladan dan ia berkisar tokoh sufi bernama Hasan al-Basri, yang juga anak kepada pembantu sahabat Nabi Muhammad SAW yang terkenal sebagai penulis al-Quran, Zaid bin Tsabit, manakala ibunya Khairoh pula pembantu seorang isteri Baginda, Ummu Salamah.

Berpindah ke Basrah pada usia 14 tahun, beliau kemudiannya dikenali sebagai seorang tabi’in iaitu generasi setelah sahabat Rasulullah SAW, sekaligus pernah berguru kepada beberapa sahabat Baginda sehingga muncul sebagai ulama terkemuka dalam peradaban Islam.

Imam Hasan sering didatangi segenap lapisan masyarakat bertanyakan hukum agama dan meminta nasihat.

Diceritakan pada satu hari, seorang lelaki telah datang mengadu kepadanya kerana berdepan masalah kelaparan. Beliau dengan penuh hikmah menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”

Seterusnya beliau didatangi seorang yang menceritakan masalah yang dilaluinya kerana ketiadaan zuriat. Sekali lagi Imam Hasan menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”

Berpegang teguhlah pada al-Quran.

Kemudian datang pula seorang lelaki merintih mengenai kebunnya kekeringan kerana musim kemarau. Jawapan sama diulangi dengan penuh hikmah, “Beristighfarlah kepada Allah.”

Jawapan Hasan al-Basri menghairankan masyarakat sekitarnya. Salah seorang daripada penduduk itu bertanya, “Beberapa orang lelaki datang dan mengadu pelbagai masalah, tetapi tuan hanya menyuruh mereka semua untuk melafazkan istighfar.”

Hasan al-Basri menjawab: “Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah berfirman seperti itu.”

Firman Allah yang dimaksudkan oleh Hasan adalah Surah Nuh ayat 10-12. Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup dan jadikan setiap kegundah-gulanaan menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Begitu indahnya hidup ini jika dipenuhi dengan amalan-amalan yang sememangnya tersedia dalam kitab suci al-Quran. Yang penting kita mendalaminya dan menyakini setiap isinya kerana pasti ada penyelesaian atas apa sahaja masalah yang dilalui.

Makan terlalu kenyang antara 6 sifat tercela, menjadikan manusia sombong dan gagal kawal nafsu

IMAM al-Ghazali dalam kitabnya yang berjudul al-Arba’in fi Usul al-Din (Empat Puluh Asas-asas Agama) telah menjelaskan bahawa terdapat 10 perkara yang menjadi asas utama sifat-sifat tercela.

Antara perkara yang boleh mengotorkan jiwa manusia adalah rakus dalam pemakanan. Ia merupakan asas pertama yang disebut al-Ghazali ketika menerangkan sifat-sifat tercela berkaitan jiwa.

Perut dianggap menjadi sumber kepada syahwat yang menimbulkan keinginan nafsu. Untuk mencapai keinginan tersebut, seseorang itu memerlukan harta dan berkaitan dengan harta ini ia pasti melibatkan penghormatan bagi seseorang.

Tidur pun ada adabnya… lakukan 14 cara ini dan sediakan wasiat bawah bantal barangkali ia tidur terakhir bagi kita

TIDUR adalah suatu keperluan kepada manusia untuk berehat.

Allah SWT menjadikan malam untuk berehat dan siang untuk bekerja seperti firmanNya yang bermaksud: Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya). – (Surah Yunus ayat 67).

Apakah yang perlu dilakukan atau adab-adab berkaitan dengan tidur?

Menurut beberapa hadis, pandangan Imam al-Ghazali dalam kitab Bidayah al-Hidayah dan Sheikh Abdul Samad al-Falembani yang menghuraikan pandangan Imam al-Ghazali dalam kitabnya yang berjudul Hidayah al-Salikin, adab-adab tidur adalah seperti berikut:

Sebelum tidur dirikan solat witir.

1. Sebelum tidur jangan melakukan perkara sia-sia, dan tidur awal lebih baik berbanding melakukan perkara tersebut.

2. Sebelum tidur dirikan solat witir, tetapi jika ingin buat qiyamullail maka disarankan lewatkan solat witir.

3. Perlu berwuduk dan tidur mengadap kiblat seperti kedudukan jenazah yang berada di dalam kubur.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Jika kamu datang ke tempat tidurmu maka berwuduklah sepertimana kamu berwuduk untuk solat. Kemudian berbaringlah dengan lambung kananmu dan sebutlah: Ya Allah aku berserah diri pada-Mu. Aku serahkan urusanku pada-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dengan penuh rasa cinta dan takut. Tidak ada tempat berlindung kecuali kepada-Mu. Aku beriman dengan kitab yang telah Engkau turunkan dan juga beriman dengan Nabi yang telah Engkau utuskan. Jika kamu mati maka kamu mati dengan fitrah dan jadikanlah ia akhir ucapan yang kamu ucapkan. – (Hadis riwayat al-Bukhari).

Bersihkan tempat tidur agar selesa.

4. Bersihkan tempat tidur dan baca bismillah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi tempat tidurnya, hendaklah dia mengambil (memegang) bahagian dalam kainnya, kemudian mengibas tempat tidurnya dengan kain tersebut serta sebutlah nama Allah (iaitu membaca Bismillah), kerana sesungguhnya tidak ada seorang pun yang tahu apa yang terjadi setelah dia meninggalkan tempat tidurnya. Sekiranya dia mahu berbaring, berbaringlah di sebelah rusuk kanannya dan berdoa; Maha suci Engkau, Ya Allah Wahai Tuhanku, dengan namaMu aku berbaring, dan dengan namaMu aku angkat pinggangku. Jika Engkau menahan nyawaku, maka berilah keampunan kepadanya dan jika Engkau melepaskannya, maka peliharalah sebagaimana hamba-hambaMu yang soleh. – (Hadis Riwayat Muslim).

5. Jika dapat, sediakan wasiat di bawah bantal, kerana barangkali ini tidur terakhir bagi kita.

6. Bertaubat dan berazam tidak ulangi maksiat.

7. Tidak tidur melebihi 8 jam kerana ia akan membuatkan umur menjadi sia-sia kerana terlalu banyak tidur.

8. Membersihkan gigi sebelum tidur.

Berusaha bangun tidur sebelum terbit fajar dengan zikir dan doa bangun tidur.

9. Sediakan air untuk berwuduk ketika bangun nanti dan niat untuk berqiyamullail.

10. Membaca doa tidur, ayat al-Kursi, ayat amanarrasul hingga akhir surah al-Baqarah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas (kemudian hembus ke telapak tangan lalu menyapu ke seluruh badan, diulang baca tiga kali), surah al-Mulk, bersyahadah, berselawat dan berzikir sehingga tertidur.

Hadis yang diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah R.anha yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW jika Baginda berbaring ke tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda akan menadah tangan kemudian menghembuskan ke kedua tapak tangannya. Lalu Baginda membaca: Qul Huwallahu Ahad, Qul ‘Auzu Birabil Falaq dan Qul A’uzu birabbinnas. Kemudian Baginda akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali. – (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir surah Al-Baqarah pada waktu malam, maka ia sudah cukup. (Hadis riwayat al-Bukhari).

11. Jika bermimpi buruk, disarankan baca a’uzubillah, hembus ke kiri, tidak menceritakannya kepada orang lain dan dirikan solat sunat.

Bertaubat dan berazam tidak ulangi maksiat.

Rasulullah SAW yang bermaksud: …Jika sekiranya seseorang itu bermimpi satu mimpi yang ditakutinya hendaklah dia meludah ke belah kirinya dan hendaklah dia memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada kejahatannya, nescaya dia tidak akan memudaratkannya.-(Hadis riwayat al-Bukhari)

Sabda baginda SAW lagi berkenaan perkara yang sama yang bermaksud:…Jika sekiranya sesiapa dalam kalangan kamu bermimpi sesuatu yang buruk, hendaklah dia berdiri dan mendirikan solat sunat, serta janganlah dia memberitahu mimpinya itu kepada orang lain. – (Hadis riwayat Muslim).

12. Berusaha bangun tidur sebelum terbit fajar dengan zikir dan doa bangun tidur.

13. Ada satu jenis tidur lagi iaitu qailulal yakni tidur sebentar sebelum masuk waktu zohor untuk memudahkan bangun malam untuk qiyamullail nanti.

14. Qailulah tersebut sebentar sahaja dan perlu bangun sebelum masuk waktu zohor.

Semoga kita cuba untuk mengamalkan adab-adab ini ketika tidur nanti.

Jiwa kacau, hati tak tenteram? Ubatilah ia dengan berzikir, pahala dapat Allah pun sayang

ZIKRULLAH adalah satu ibadat yang istimewa kerana ia terbuka dan mudah diamalkan meskipun seseorang itu berada dalam apa-apa keadaan pun.

Menurut Imam al-Nawawi, para ulama bersepakat bahawa hukumnya harus berzikir seperti bertasbih, bertahmid, bertakbir, berselawat, berdoa dan seumpamanya secara dalam hati dan lisan bagi mereka yang berhadas, berjunub, haid dan nifas.

Maka, umat Islam perlu ambil peluang ini untuk tidak meninggalkan amalan ini, apatah lagi ia adalah arahan Allah Ta’ala dan Rasulullah SAW yang mempunyai banyak fadilat (kelebihan).

Terdapat banyak ayat dalam al-Quran dan hadis yang memerintahkan umat Islam agar memperbanyakkan zikir kepada Allah dan menjelaskan kelebihan menyertai majlis zikir.

Contohnya firman Allah dalam surah al-Ahzab, ayat 41 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan Allah dengan ingatan yang banyak.”

Firman Allah dalam surah surah al-Ra`d, ayat 28 yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”

Manakala, contoh hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang berkeliling di jalan mencari orang yang berzikir. Apabila mereka bertemu kelompok orang yang berzikir kepada Allah, mereka pun saling memanggil: Kemarilah kepada apa yang kamu hajatkan. Maka para malaikat menaungi mereka dengan membentangkan sayap-sayap mereka sehingga ke langit dunia.”

Dalam hadis sahih yang lain riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Musa al-Ash’ari RA, Nabi bersabda: “Perumpamaan orang yang berzikir dan orang yang tidak berzikir ialah seperti orang yang hidup dan orang yang mati.”

Umat Islam boleh memilih mana-mana zikir yang disukainya antaranya mengucapkan tasbih (SubhanAllah), tahmid (Alhamdulillah), takbir (Allahuakbar), tahlil (La ila ha illAllah), istighfar (Astaghfirullah) dan lain-lain.

Umat Islam boleh memilih mana-mana zikir yang disukainya antaranya mengucapkan tasbih (SubhanAllah), tahmid (Alhamdulillah), takbir (Allahuakbar), tahlil (La ila ha illAllah), istighfar (Astaghfirullah) dan lain-lain.

Mereka juga boleh memilih sama ada berzikir secara perlahan (al-sir), kuat (al-jahr), berseorangan, berjemaah, zikir lisan mahupun di dalam hati dengan jumlah bilangan yang diingini. Inilah antara kesimpulan yang boleh difahami berdasarkan nas dan pandangan ilmuwan warasah al-anbiya’ (pewaris para nabi) menerusi karya Sheikh ‘Abd al-Qadir ‘Isa.

Karyanya yang berjudul Haqaiq ‘an al-Tasawwuf menjadi rujukan utama salah satu silibus subjek teras bidang Usuluddin di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Apakah makna zikir dan apakah hukum berzikir dengan kalimah mufrad?

Timbul persoalan, apa sebenarnya makna zikir dan adakah boleh umat Islam berzikir dengan nama secara mufrad (kalimah tunggal) dari kalangan nama-nama Allah sahaja seperti ‘Allah Allah’ atau ‘al-Rahman al-Rahman’ atau ‘Ahad Ahad’?

Menurut ringkasan fatwa Pejabat Mufti Mesir (Dar al-Ifta’ al-Misriyyah) bertarikh 26 Ogos 2014, erti zikir menurut istilah atau syarak ialah ingatan seseorang hamba kepada Tuhannya ‘Azza wa Jalla, sama ada semata-mata mengingati zat-Nya atau sifat-sifat-Nya atau segala perbuatan-Nya atau hukum-hakam-Nya atau membaca kitab-Nya atau mengadu dan berdoa kepada-Nya atau memuji-Nya dengan penyucian, pujian, pengesaan, kesyukuran dan pengagungan.

Zikir kepada Allah Ta’ala dengan semua sebutannya (sighah) berfaedah jadi ubat untuk penyakit-penyakit hati, sebutan zikir ada pelbagai jenis, antaranya datang dari Rasulullah, para sahabat, para tabi’in, para ulama, para arifin, dan setiap sebutannya ada kesan pada hati secara khusus dan tertentu.

Contoh sebutan zikir ialah ‘Allah Allah’, atau ‘al-Latif al-Latif’, dan begitu juga lafaz domir (kata ganti diri) ‘huwa huwa (Dia Dia)’ dan zikir dengan semua lafaz ini hukumnya adalah harus bukan bidaah.

Berzikir kemudian berdoalah, agar Allah menerima permintaan kita.

Bagaimanakah penggunaan lafaz ‘Allah’ dari perspektif bahasa Arab?

Adapun zikir lafaz mufrad seperti ‘Allah’ atau ‘al-Rahman’, ia adalah munada (yang diseru) dihilangkan huruf nida’nya (yakni dihilangkan kalimah ‘ya’ yang bermaksud ‘wahai’). Munada termasuk kalangan kalam mufid (ayat lengkap) kerana mereka mentakwilkan huruf nida’ dengan makna ‘aku menyeru’, dihilangkan huruf nida’ adalah harus dan tersebar penggunaannya dalam bahasa Arab.

Adakah Nabi dan para sahabat tidak buat (al-tarku), maka hukumnya haram?

Ada yang berpendapat zikir isim mufrad tersebut tidak disyariatkan antara sebabnya adalah tiada dalil daripada Rasulullah dan salaf soleh. Para ulama bersepakat bahawa al-tarku (ertinya lebih kurang: tiada dalil daripada Rasulullah dan sahabat menunjukkan hukumnya adalah haram) bukanlah ia satu-satunya cara pendalilan, kerana cara pendalilan adalah menggunakan nas (al-Quran dan hadis), ijmak dan qiyas.

Maka, al-tarku bukanlah satu-satunya cara untuk keluarkan hukum syarak, ini adalah kesepakatan dalam kalangan ulama Islam, dan di sana terdapat shawahid dan athar (dalil) menunjukkan bahawa para sahabat sendiri tidak berpandangan bahawa apabila Rasulullah tidak buat maka hukumnya pasti haram atau makruh; dan demikianlah apa yang para fuqaha fahami sepanjang zaman.

Adakah lafaz zikir ‘Allah’ sahaja tiada makna pengagungan kepada-Nya?

Terdapat bantahan berkenaan zikir mufrad (Allah Allah) kerana tiada padanya makna pengagungan (ta’zim), maka perlu sempurnakannya (contohnya Allah Akbar) agar ia ada makna pengagungan.

Sesungguhnya zikir ‘Allah’ secara mufrad mengandungi makna pengagungan dan inilah yang difahami para ulama (antara contohnya) Imam Abu Hanifah berpandangan bahawa isim mufrad ‘Allah’ mengandungi makna pengagungan tanpa memerlukan syarat ia mesti dalam ayat yang sempurna. Inilah sebahagian fatwa dari Mufti Mesir berkenaan isu zikir ‘Allah Allah’.

Umat Islam digalakkan berdoa selepas menunaikan solat dan jangan terus meninggalkan tempat sembahyang.

Kesimpulan dari beberapa nas, pandangan para ulama dan ringkasan fatwa Mufti Mesir ini ialah, zikir merupakan amalan yang sangat penting dan tidak boleh ditinggalkan dalam apa jua keadaan selagi tidak bercangah dengan syarak seperti berzikir di dalam tandas secara lisan.

Selain itu, diharuskan untuk berzikir dengan kalimah mufrad seperti ‘Allah Allah’ atau ‘Ahad Ahad’ atau ‘al-Rahman al-Rahman’ dan ia bukanlah bidaah atau haram yang menyebabkan seseorang itu masuk ke neraka.

Apatah lagi terdapat hadis sahih riwayat Imam Muslim, Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad dengan lafaz sedikit berbeza, Rasulullah bersabda: “Tidak berlaku kiamat sehinggalah tiada lagi disebut Allah Allah”.

Menurut ulama yang mensyarahkan hadis ini iaitu Imam Mulla ‘Ali al-Qari dalam kitab Mirqah al-Mafatih Sharh Mishkah al-Masabih dengan memetik pandangan Imam al-Tayyibi bahawa kiamat tidak berlaku selagi mana masih ada orang yang menyebut ‘Allah Allah’ dan masih ada orang yang menyembah Allah Ta’ala.

Ini bermakna, hadis ini juga dijadikan antara dalil bahawa dibolehkan zikir ‘Allah Allah’. Berzikir juga menjadi petanda menunjukkan seseorang itu beriman kepada Allah. Maka, berzikirlah walau sekadar ‘Allah Allah’!