Pindaan Rang Undang-Undang Juruukur Tanah Berlesen (Pindaan) 2024 membawa perubahan besar dalam pendidikan dan latihan dalam bidang Sistem Maklumat Geografi (GIS). Pindaan ini memperkenalkan keperluan piawaian dan pengawalan yang lebih ketat, yang memberi kesan langsung kepada individu dan organisasi yang terlibat dalam kerja-kerja GIS, termasuk mereka yang hanya mengikuti kursus pendek dalam tempoh satu hingga tiga hari, atau beberapa minggu berbanding dengan pendidikan formal yang mengambil masa sehingga empat tahun.
Kursus pendek sering digunakan untuk memperkenalkan konsep asas atau kemahiran praktikal dalam GIS kepada profesional yang ingin meningkatkan kemahiran mereka dengan cepat. Namun, dengan adanya pindaan undang-undang ini, timbul keperluan untuk mempersoalkan sejauh mana kursus pendek ini dapat memenuhi keperluan piawaian industri yang semakin ketat. Pindaan ini mewajibkan agar hanya individu yang mempunyai kelayakan dan pemahaman mendalam tentang piawaian teknikal yang dibenarkan untuk melakukan kerja-kerja berkaitan GIS, terutamanya dalam projek yang melibatkan data geomatik penting seperti pembangunan infrastruktur atau pengurusan utiliti.
Dalam kursus pendek GIS, peserta mungkin hanya diajar tentang cara menggunakan perisian GIS untuk menghasilkan peta atau menganalisis data spatial secara asas. Namun, bagi memastikan kualiti dan ketepatan kerja mereka, mereka juga perlu memahami sistem koordinat dan datum dengan lebih mendalam, cara menukar antara unjuran peta yang berbeza, dan teknik untuk menilai kualiti serta ketepatan data ukur yang digunakan. Jika peserta kursus pendek tidak dilengkapi dengan pengetahuan ini, hasil kerja mereka mungkin tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan, seterusnya membawa risiko tindakan undang-undang.
Bidang GIS bukan sekadar melibatkan penggunaan perisian untuk menghasilkan peta atau menjalankan analisis spatial, tetapi juga merangkumi aspek-aspek teknikal yang memerlukan pengetahuan yang mendalam. Contohnya, kemahiran pengaturcaraan dan scripting adalah sangat penting dalam membangunkan sistem dan aplikasi GIS yang kompleks. Penggunaan bahasa pengaturcaraan seperti Python atau R untuk menganalisis data spatial, serta keupayaan untuk menulis skrip automasi, adalah kemahiran yang sangat diperlukan oleh profesional GIS. Tanpa kemahiran ini, individu mungkin tidak dapat menjalankan tugas-tugas yang lebih kompleks dan bernilai tinggi dalam industri ini.
Selain itu, pembangunan pangkalan data GIS dan pertanyaan SQL juga merupakan aspek kritikal dalam bidang ini. Pangkalan data GIS sering digunakan untuk menyimpan dan mengurus data spatial yang besar dan kompleks, dan kemahiran dalam menulis pertanyaan SQL yang berkesan adalah penting untuk mengakses dan menganalisis data ini dengan tepat. Dalam projek pembangunan infrastruktur atau pengurusan utiliti, kesilapan dalam pengurusan pangkalan data GIS boleh membawa kepada keputusan yang salah dan akibat yang serius.
Penukaran format data adalah satu lagi kemahiran teknikal yang penting. Dalam GIS, data spatial mungkin datang dalam pelbagai format, dan kemampuan untuk menukar format data dengan betul adalah penting untuk memastikan bahawa data tersebut dapat digunakan dalam sistem yang berbeza. Ini memerlukan pengetahuan yang mendalam tentang pelbagai format data spatial seperti Shapefile, GeoJSON, KML, dan lain-lain, serta alat-alat yang digunakan untuk menukar antara format-format ini.
Selain itu, pengetahuan tentang infrastruktur IT dan sistem yang menyokong GIS juga menjadi semakin penting. Sistem GIS sering beroperasi dalam persekitaran yang kompleks, yang melibatkan pelayan, pangkalan data, rangkaian, dan perisian khusus. Tanpa pemahaman tentang bagaimana semua komponen ini berfungsi bersama, individu mungkin menghadapi kesukaran dalam membangunkan, menyelenggara, atau mengoptimumkan sistem GIS. Sebagai contoh, pengetahuan tentang konfigurasi pelayan, pengurusan pangkalan data yang berkesan, dan keselamatan rangkaian adalah penting untuk memastikan bahawa sistem GIS berfungsi dengan lancar dan selamat.
Dalam bidang GIS, kerja-kerja seperti pembangunan pangkalan data spatial, analisis pola penggunaan tanah, dan pemodelan aliran sungai adalah contoh tugas yang memerlukan pemahaman mendalam tentang piawaian teknikal dan undang-undang yang berkaitan. Graduan daripada program pendidikan tinggi dalam GIS, seperti diploma atau ijazah, biasanya memiliki kemahiran untuk menjalankan tugas-tugas ini dengan mematuhi piawaian industri.
Sebagai contoh, dalam projek pemodelan banjir, pemahaman tentang kualiti dan ketepatan data elevasi adalah penting untuk menghasilkan model yang boleh dipercayai. Kesilapan dalam pemodelan boleh menyebabkan kawasan yang berisiko tinggi tidak dikenal pasti, seterusnya membawa kepada kerugian harta benda dan nyawa. Oleh itu, memastikan profesional yang terlibat dalam projek ini mempunyai kelayakan yang mencukupi adalah satu keperluan yang tidak boleh diabaikan.
Pindaan Rang Undang-Undang Juruukur Tanah Berlesen (Pindaan) 2024 memperkenalkan keperluan piawaian yang lebih ketat dan menekankan pentingnya profesionalisme dalam bidang GIS. Pendidikan formal dalam GIS kini menjadi semakin penting untuk memastikan bahawa individu dan organisasi yang terlibat dalam kerja-kerja berkaitan dapat mematuhi piawaian undang-undang dan menghasilkan kerja yang berkualiti. Bagi mereka yang hanya mengikuti kursus pendek, terdapat keperluan untuk mempertimbangkan pendidikan lanjutan jika mereka ingin terus relevan dan beroperasi dengan mematuhi undang-undang dalam industri yang semakin dikawal ini.
Organisasi juga perlu lebih berhati-hati dalam memilih individu yang mempunyai kelayakan yang sesuai untuk menjalankan kerja-kerja penting dalam GIS, bagi mengelakkan risiko tindakan undang-undang dan memastikan kejayaan projek. Ini menjadikan kelayakan akademik dalam bidang ini sebagai satu keperluan yang hampir wajib untuk mereka yang ingin terlibat dalam projek-projek berskala besar atau berurusan dengan data geomatik yang sensitif. Justeru ini mungkin mendorong peningkatan permintaan untuk program diploma dan ijazah dalam geomatik dan GIS, serta tekanan kepada institusi pendidikan untuk memastikan kurikulum mereka relevan dengan keperluan semasa.
Rujukan: Dewan Rakyat. (2024, March 25). Parlimen Kelima Belas, Penggal Ketiga, Mesyuarat Pertama, Bil. 17.