Setahu saya Zunar merupakan seorang kartunis yang terkenal dengan kartunnya yang kontroversi. Kartun Anti Racism adalah hasil Zunar yang pertama kali saya baca, lukisan di muka hadapan sangat menarik di mana ianya merupakan ‘puzzle’ berbentuk hati yang melambangkan ‘love’ atau cinta, dengan cebisan-cebisan puzzle itu mengandungi nama kaum-kaum yang terdapat di Malaysia.
Kartun ini dimulakan dengan sedikit latarbelakang Zunar dan ianya berkisar pengalaman beliau berkawan dengan pelajar berbilang kaum semasa di sekolah. Di akhir pengenalan ini Zunar menyatakan kebimbangannya dengan sentimen kebencian antara kaum yang melanda negara dan menolak sekeras-kerasnya perkauman.
Apa yang menarik perhatian saya adalah penulisan Zunar ini adalah lebih kepada kepentingan politik. Misalannya isu makan babi adalah haram, tetapi rasuah $2.6 Billion adalah halal. Dimanakah letaknya isu perkauman di sini? Tetapi ianya lebih kepada isu politik. Lagi satu adalah isu ‘cross’ yang melambangkan salib. Bagi saya isu setengah pihak yang lebih teliti dengan apa-apa lambang berbentuk ‘cross’ yang dikaitkan dengan salib bukan merupakan isu perkauman. Ini adalah isu aqidah dan persepsi masing-masing. Ada orang yang tidak kisah dengan ‘cross’ dan tidak mengaitkannya dengan salib, namun ada juga pihak yang cuba mengelak dari simbol ‘cross’ sebab dikaitkan dengan salib. Itu terletak pada pendirian masing-masing dan tiada kena mengena dengan isu perkauman.
Apakah definisi racism? Makna racism yang diberikan oleh google adalah ‘prejudice, discrimination, or antagonism directed against someone of a different race based on the belief that one’s own race is superior’ di mana sesuatu kaum itu merasakan yang ianya adalah lebih baik dari kaum yang lain. Bagaimana isu rasuah dan ‘cross’ ini menjadi isu perkauman adalah tidak jelas.
Pada pandangan saya, apa yang dinyatakan oleh Zunar mengenai isu perkauman di dalam sistem pendidikan haruslah dikemukakan dengan fakta-fakta supaya ianya lebih adil. Apa yang menjadi kerisauan ialah pernyataan yang tidak holistik dan lebih merupakan persepsi tanpa fakta-fakta boleh mengundang kepada masalah perkauman. Ini adalah ibarat tikus membaiki labu.