Setiap kali menonton cerita raja-raja Korea, Cina dan Turki zaman dahulu, saya merasakan mereka sangat hebat, sebab mementingkan catatan harian tentang apa yang berlaku setiap hari sebagai peninggalan sejarah dan warisan tidak ternilai kepada generasi yang akan datang. Saya sangkakan ini tidak berlaku dalam pemerintahan raja-raja Melayu, dan menganggap kesultanan Melayu tidak semaju dan sebijak raja-raja yang lain. Tetapi sangkaan saya meleset. Sebaik saja memulakan pembacaan buku ‘Sejarah Melayu’ oleh Shellabear, barulah saya sedar yang raja-raja Melayu juga mengutamakan catatan sejarah bagi tatapan anak cucu mereka. Tun Sri Lanang pernah bertitah ‘bahawa beta minta perbuatkan hikayat pada Bendahara, peri peristiwa dan peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkannya oleh mereka itu, syahadan beroleh faedahlah ia daripadanya’ (Shellabear 2016: xvii).